KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/8/06

Kerajaan Naikkan Minyak Bagai Aksi Musang Takut - JIM

Kenyataan Media JIM: Kenaikan Harga Minyak: Ada Sesuatu yang Tidak Kena
2006-03-08
http://www.jim.org.my/module2.php?module=beritapil&id=1
Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen berkuatkuasa pada 28 Februari 2006 adalah kenaikan mendadak yang sangat mengejutkan. Ini merupakan peratus kenaikan tertinggi dalam ingatan. Kenaikan besar ini amat membebankan. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang pasti menyusul, walau apa amaran kerajaan, menambah kesusahan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah. Mengumumkannya pada jam 10.30 malam sebelumnya, bagaikan aksi musang yang takut berhadapan dengan natijah tindak-tanduknya. Rakyat tidak wajar diperlakukan begini. Ia hanya menambah kemarahan rakyat. Selepas ini kadar caj air dan tarif elektrik pula akan dinaikkan.

Penegasan kerajaan bahawa penjimatan dari pengurangan subsidi akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan terutamanya mempertingkatkan sistem pengangkutan awam, tanpa sebarang pembutiran projek, amat pelik. Ia mendedahkan cara perancangan secara runcit yang membimbangkan. Apa sudah jadi dengan perancangan strategik dan perancangan jangka panjang? Mungkinkah kerajaan akan menjelaskan kenaikan tarif elektrik untuk memperbaiki sistem pengagihan (distribution) atau caj air untuk mengganti sistem paip yang usang? Ke mana perginya keuntungan sebelum ini. Takkan rakyat juga dibebankan dengan perbelanjaan modal (capital expenditure) industri yang telah diswastakan?

Secara tidak langsung cara dan masa (timing) tindakan kerajaan ini merupakan pengakuan bahawa kerajaan menghadapi masalah kewangan dan ekonomi negara semakin buruk. Mungkin juga ini merupakan langkah awalan kepada tindakan-tindakan yang lebih pahit. JIM mengesyorkan supaya kerajaan mendidik rakyat dengan menjelaskan hakikat yang sebenarnya. Kerajaan yang tulus akan lebih dihormati oleh rakyat. Tindakan bermuslihat akan membuat rakyat merasa tertipu dan menjadikan mereka sinis terhadap kerajaan.

Saranan TPM agar rakyat mengubah gaya hidup, berbelanja dengan berhemah dan mengelakkan pembaziran merupakan saranan yang baik. Rakyat akan memerhati perubahan gaya hidup para pemimpin untuk diteladani.

Bagaimanapun kerajaan harus konsisten, teori ekonomi mana yang digunakan, kerana beberapa tahun yang lalu kerajaan berhujah menggalakkan rakyat berbelanja untuk menggiatkan ekonomi (consumer-driven growth).

Langkah-langkah memerangi rasuah dan membenteras penyelewengan perlu diusahakan dengan gigih oleh kerajaan. Kedua-dua unsur ini, bukan sahaja merupakan jenayah dan amalan jelek lagi berdosa, tetapi juga meningkatkan kos dan kemungkinan kegagalan. Kebelakangan ini terlalu banyak projek yang gagal seperti keretakan kepada jambatan Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) (RM40 juta untuk kos pembaikkan) dan bangunan MATRADE (kos asalnya RM167 juta telah melonjak ke RM287.5 juta). Kerajaan perlu lebih telus. Tidak ada sebab yang munasabah mengapa harga, proses dan pemberian projek yang dibiaya dengan duit rakyat dihalang daripada pengetahuan rakyat.. Tanpa ketelusan rakyat akan berpandangan bahawa projek-projek kerajaan disalurkan kepada kroni-kroni dengan harga yang ditinggikan (inflated).

JIM berpendapat Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber alam seharusnya boleh membela kebajikan dan kepentingan rakyat sekiranya khazanah kekayaan negara dapat diuruskan dengan adil, amanah, telus dan bertanggungjawab. Bukankah semua ini merupakan amanah Tuhan yang akan dipersoalkan kelak?

JIM juga ingin menegaskan bahawa tidak ada konsep “wang kerajaan” kerana semua wang dan aset yang dipegang oleh kerajaan adalah harta rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan.

Oleh itu JIM menggesa kerajaan:

1. Membelanjakan sumber alam dan wang rakyat dengan memberi keutamaan kepada kepentingan umum dan kepentingan rakyat yang daif;

2. Mengelak pembaziran dan memastikan harga projek tidak dilambungkan berlipatganda dibanding cadangan pakar perunding. Perjanjian-perjanjian yang merugikan rakyat seperti pembelian elektrik dari IPP hendaklah dikaji semula;

3. Menjadikan proses pemberian projek lebih telus serta memastikan maklumat penerima boleh diakses oleh rakyat;

4. Memerangi amalan rasuah dengan menggunakan apa jua kaedah termasuk sting operation;

5. Menggalakkan pendedahan penyelewengan dalam pentadbiran awam dengan meminda Undang-undang (seperti Akta Rahsia Rasmi) dan peraturan-peraturan yang berkaitan; dan

6. Menubuhkan suruhanjaya-suruhanjaya bebas untuk menyiasat semua projek-projek besar yang gagal (seperti jambatan MRR2) atau yang gagal disiapkan.

Pengamatan menimbulkan satu persoalan yang menarik; apakah banyaknya masalah-masalah yang melibatkan kerajaan dan rakyat semasa kepemimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan kitaran tabii ekonomi, nasib tak baik YAB atau ada usaha-usaha berniat?


Zaid Kamaruddin
Presiden
Selasa 7 Mac 2006