KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/28/06

Pelancaran Tabung Prihatin Masyarakat Rembau

Menyedari kesempitan hidup rakyat yang saban hari semakin tertekan akibat kenaikan harga minyak, kenaikan harga barangan keperluan seharian juga kenaikan pelbagai caj perkhidmatan lain, Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau akan melancarkan Tabung Prihatin Masyarakat Rembau (TPMR) . Majlis pelancaran TPMR ini akan disempurnakan oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa , Timbalan Presiden PAS sempena lawatan dan ceramah perdana beliau di Markas PAS Rembau pada hari Sabtu 29 April 2006 bermula jam 9 malam.

Menurut Pn Maznah Talib selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau, adalah penting masyarakat yang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan daripada masa ke semasa. Sekiranya golongan ini tidak dibantu, akan wujudlah jurang sosio ekonomi yang amat ketara yang seterusnya akan mengundang pelbagai gejala sosial yang lain, ujar beliau.

Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau sebelum ini telah bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti kebajikan masyarakat setempat sebelum ini dimana bantuan telah dihulurkan kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya keluarga miskin, ibu tunggal, anak-anak yatim menjelang Idil Fitri dan juga bantuan persekolahan menjelang penggal persekolahan baru dibuka.

Namun begitu menurut Pn Maznah, dana yang kukuh dan berterusan adalah perlu untuk mempastikan bantuan kepada golongan yang memerlukan ini dapat diberikan dari masa ke semasa, bukan hanya pada waktu-waktu tertentu. Adalah menjadi hasrat Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau dengan majlis pelancaran TPMR ini akan menggalakkan warga Rembau yang berada di luar Rembau serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh agar menyalurkan bantuan kepada orang kampung mereka sendiri. Dengan ini akan terbentuklah masyarakat yang prihatin yang cintakan saudara mereka apatah lagi dari kampung halaman mereka sendiri.

Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui perjalanan Tabung Prihatin Masyarakat Rembau ini bolehlah menghubungi Pn Maznah di talian 013-2718054.