BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

8/29/06

Apa Kata Mufti Brunei Isu Murtad

MURTAD DAN RISIKONYA
http://www.brunet.bn/gov/mufti/ic45_1999.htm
(Bilangan 87 Bahagian Akhir). Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

RISIKO RIDDAH MENGIKUT HUKUM FIQH
Persoalan riddah telah disentuh oleh para ulama, bahkan ia telah mengambil salah satu tempat yang terpenting di dalam senarai kes-kes hukum jenayah yang mereka bicarakan. Persoalan ini mereka letakkan di dalam bab atau bahagian khas yang sebahagiannya mereka namakan dengan Kitab Al-Riddah, Bab Al-Riddah, Ahkam Al-Riddah (hukum-hakam orang murtad).

Dengan merujuk kepada analisis hukum yang dikeluarkan oleh ulama tentang orang-orang murtad berdasarkan nash-nash syarak, hukum pertama yang mereka sepakati ialah tentang wajib membunuh orang-orang yang benar-benar didapati murtad. Ilmuan fiqh abad ini, Dr. Wahbah Al-Zuhaihi berkata : "Para ulama telah sepakat tentang wajib hukum bunuh ke atas orang murtad." Katanya lagi : "Dan telah ijmak para ahli ilmu tentang wajib hukum bunuh ke atas lelaki yang murtad dan hukum bunuh ke atas wanita yang murtad dan hukum bunuh ke atas wanita yang murtad mengikut pendapat jumhur ulama." (Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh : 6:186)

Mengikut analisis para ulama lagi, tindakan murtad merupakan salah satu jenis kekufuran yang amat keji dan sangat keterlaluan dan ianya menyebabkan terhapus dan hilangnya segala balasan pahala kebajikan yang pernah dilakukan sebelum murtad sekiranya mati di dalam kemurtadan (wal ‘iyazu billah). (Al-Sayyid Al-Bakri, I’anah Al- Thalibin : 4:132-134)

Perlaksanaan hukum bunuh di atas hanya akan berlaku apabila orang murtad berkenaan enggan bertaubat dan enggan kembali kepada Islam setelah dinasihati dan diarahkan bertaubat. Hukum memberi nasihat dan menyuruh bertaubat ini adalah wajib ke atas pemerintah. Taubat di sini mestilah dilaksanakan dengan mengucap dua kalimah syahadat. (I’anah Al-Thalibin : 4:139)

Selain daripada hukum di atas, banyak lagi hukum yang timbul kesan daripada tindakan keluar daripada Islam, antara lain ialah : Hilang hak penjagaan anak, baki hartanya diserahkan ke baitulmal, tidak sah menjadi wali nikah, hilang taraf kehormatan diri, putus perkahwinan setelah habis idah, tidak dibenarkan berkahwin sama ada dengan orang Islam atau kafir, tidak berhak harta waris dan lain-lain lagi.

DASAR HUKUM WAJIB MEMBUNUH ORANG MURTAD
Di antara dasar hukum wajib pihak berkuasa membunuh orang murtad ialah hadis-hadis berikut yang maksudnya : "Sesiapa yang menukar keislamannya hendaklah kamu bunuh dia." (Hadis para Perawi kecuali Muslim).

Maksudnya: "Tidak halal darah seseorang muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara : Tayyib (duda/janda) yang berzina, qishash nyawa dengan nyawa dan orang yang menukar agamanya yang terpisah daripada jemaah (kaum muslimin)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud).

Maksudnya: "Mana-mana lelaki yang murtad daripada Islam, hendaklah kamu menyerunya supaya kembali kepada Islam jika dia mahu. Jika tidak, pancunglah tengkuknya. Dan mana-mana perempuan yang murtad, hendaklah kamu menyerunya supaya kembali kepada Islam jika dia mahu. Jika tidak, pancunglah tengkuknya." (Hadis riwayat Thabarani daripada Mu’az bin Jabal).

Itulah di antara dalil-dalil yang menunjukkan betapa berat dan besarnya risiko murtad ( keluar daripada agama Islam).

Berdasarkan hasil analisis para ulama yang muktabar dan berkaliber daripada hadis-hadis ini dan dalil-dalil lain, adalah wajib dihukum bunuh orang murtad sebagai risiko terhadap kemurtadannya.

Orang yang tidak mengakui kedudukan dan fungsi dalil-dalil tersebut sebagai dalil wajib bunuh ke atas orang murtad setelah cukup persyaratan hukumnya, serta menafikan hukum berkenaan, mereka adalah golongan yang terpesong, tersilap dan terkeluar daripada konsep ahli sunnah bahkan terkeluar daripada Islam (kafir).

Termasuk golongan murtad itu, mereka yang antihadis yang hanya mengutamakan atau hanya berpegang kepada Al-Quran. Golongan ini menyampaikan diayah jahat mereka menerusi pelbagai media massa sama ada media cetak atau elektronik. Mereka cuba mempengaruhi orang-orang yang cetek pengetahuannya mengenai Islam dengan memaparkan berbagai teori yang mengelirukan tanpa bersumberkan kepada asas-asas hukum yang muktabar. Mereka mengutamakan andaian akal mereka daripada nas-nas syarak. Mereka ini adalah golongan yang sesat dan menyesatkan.

Termasuk juga yang terkeluar daripada agama Islam itu mereka yang menghina dan menolak hadis yang telah disepakati dan diijmahkan oleh ahli hadis tentang kesahihannya. Ini kerana mengikut para ulama yang muktabar, di antara sebab yang boleh membawa seseorang terkeluar daripada Islam (murtad atau menjadi kafir) termasuklah menghina atau menolak hukum yang telah diijmakkan umat Islam.