KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

12/14/06

Jangan biarkan budaya prom menular di Malaysia

Utusan Malaysia 14 Dis 06 - KINI ramai remaja didedahkan dengan majlis prom terutamanya di sekolah-sekolah yang terletak di kawasan bandar. Prom adalah satu majlis keramaian yang dikhaskan untuk para remaja yang baru menamatkan pengajian di sekolah menengah.

Majlis ini secara tradisinya bermula pada abad ke- 18 di Amerika Syarikat bertujuan untuk mendedahkan remaja dengan kehidupan yang lebih teratur dan beretika dalam pergaulan.

Perkataan prom berasal daripada perkataan promenade yang bermaksud majlis tarian yang formal di mana para jemputan memperagakan fesyen pakaian dan gaya tarian masing-masing. Pada mulanya prom diadakan di dewan-dewan sekolah, tetapi akhirnya berpindah ke hotel.

Apabila tarikh prom diumumkan di sekolah, setiap pelajar lelaki akan ‘melamar’ pelajar perempuan untuk bersama-sama ke majlis tersebut.

Adalah sesuatu yang amat ‘memalukan’ jika seseorang pelajar hadir tanpa pasangan. Akan tetapi, trend remaja Amerika kini sudah berubah dengan pelajar perempuan menjadi semakin agresif untuk ‘melamar’ pelajar lelaki pilihan mereka ke majlis tersebut.

Prom yang asalnya menjadi pentas yang lebih sopan kini telah menjadi medan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan apabila keadaan ekonomi rakyat Amerika menjadi bertambah baik.

Prom kini sudah menjadi seolah-olah malam anugerah bintang dengan mereka yang berkemampuan akan muncul dengan menaiki limosin.

Majlis prom dimulakan dengan muzik yang konservatif dan menjadi semakin rancak selepas itu. Kesemua mereka akan menari berpasang-pasangan sehingga di akhir majlis puteri dan putera Prom akan dipilih.

Muzik liar diselangi dengan muzik romantik akan terus dimainkan dan setelah majlis tersebut tamat kebanyakan pasangan itu terus dengan ‘agenda tersendiri’ mereka sehingga ke pagi di bilik-bilik hotel dan tempat lain.

Wajarkah budaya ini menular dan dibiarkan subur di kalangan remaja Malaysia? Sudah tentu tidak.

Budaya

Mungkin prom di Malaysia belum lagi sampai ke tahap Amerika, tetapi jika budaya ini terus dipupuk sudah pasti akhirnya ia akan menuju ke arah yang sama.

Kita telah meniru budaya ragging dan menyaksikannya sehingga ia menjadi tidak terkawal dan mengakibatkan kehilangan nyawa remaja seperti yang berlaku di sebuah sekolah agama berasrama di Negeri Sembilan sedikit masa dahulu.

Ragging yang pada mulanya bertujuan untuk berkenal-kenalan telah menjadi budaya buli dan dera sehingga Kementerian Pelajaran terpaksa berbelanja untuk menganjurkan kempen khas bagi membanterasnya.

Diharap tindakan segera diambil bagi memastikan agar prom tidak menjadi satu lagi ancaman terhadap budaya dan tatasusila murni kita.

ZULKEFLI MOHAMAD,
Setiausaha Penerangan,
Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm