KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

12/22/06

Sejak Bila Pemuda PAS Membela Pak Lah, Pemuda UMNO Diam ?

"Bot PM" RM28 juta: Pemuda akan kemukakan bantahan kepada Turki
KUALA LUMPUR, 21 Dis (Hrkh) - Pemuda PAS akan menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Turki dan meminta kerajaan negara itu mengambil tindakan ke atas akhbar Hurriyet yang menyiarkan berita yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai "tidak betul langsung dan satu pembohongan".

Akhbar Turki, Hurriyet, baru-baru melaporkan Perdana Menteri melawat bandar Bodrum di negara itu untuk melihat bot persiaran bernilai US$8 juta (kira-kira RM28 juta) yang dilaporkan oleh akhbar itu sebagai ditempahnya.

"Walaupun berbeza fahaman politik, tetapi Pemuda PAS menganggap bantahan kepada kerajaan Turki itu perlu dibuat bagi mempertahankan kewibawaan "institusi perdana menteri" negara kita," kata ketuanya, Salahuddin Ayub.

Dalam siaran televisyen semalam, Perdana Menteri jelas kelihatan begitu marah dengan laporan akhbar tersebut.

“Laporan itu tidak betul langsung dan satu pembohongan. Saya tidak tahu bagaimana mereka mendapat maklumat itu hingga boleh menulis begitu,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Venezuela.

Beliau malah menegaskan akan meminta Hurriyet membuat pembetulan mengenai laporan berkenaan.

Perdana Menteri mengakui ada ke Turki, tetapi tidak pernah terfikir untuk membeli bot mewah.

“Memang saya ada di Turki, tetapi saya tidak pergi melihat bot,” katanya yang singgah di negara itu dalam perjalanan ke Venezuela.

Mengambilkira kesungguhan Perdana Menteri menafikan laporan itu, Salahuddin berkata pihaknya akan menuntut kerajaan Turki mengambil tindakan ke atas akhbar tersebut jika ia gagal membuktikan kebenaran laporannya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar pula mendesak Perdana Menteri sendiri mengambil tindakan undang-undang ke atas Hurriyet bagi membersihkan namanya.

"Meminta akhbar itu membuat pembetulan mengenai laporan berkenaan adalah tidak memadai sama sekali malah mungkin akhbar itu enggan membuat pembetulan sedangkan laporan itu pasti menjejaskan nama Perdana Menteri.

"Beliau mesti mengambil tindakan undang-undang ke atas Hurriyet supaya tidak ada pihak lagi yang berani membuat laporan yang disifatkan Perdana Menteri sebagai tidak betul langsung dan satu pembohongan," katanya.

Namun, kata Mahfuz lagi, perkara yang lebih baik untuk dilakukan ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan untuk menyiasat bagaimana berita itu boleh disiarkan oleh akhbar Turki itu dan apakah motif akhbar tersebut dalam menyiarkan berita itu.

"Penubuhan jawatankuasa itu bukanlah sesuatu yang berlebihan untuk membersihkan nama baik Perdana Menteri. Jika beliau sendiri yang menafikan, orang boleh kata, tidak ada siapa pun yang akan mengaku jika menghadapi keadaan seperti yang dihadapi oleh Perdana Menteri.

"Oleh itu, Perdana Menteri memerlukan pihak lain untuk membuat penafian dan membersihkan namanya setelah siasatan membuktikan laporan itu tidak betul langsung dan satu pembohongan," kata Mahfuz lagi.

Harakah keluaran terbaru mempersoalkan, benarkah Cobra Sultan, bot persiaran (yacht) bernilai sehingga US$8 juta itu dihadiahkan oleh seorang ahli perniagaan kepada Perdana Menteri?

Jika benar, perkara tersebut menimbulkan persoalan yang tidak berkesudahan; mengapa perahu layar itu dihadiahkan kepada Perdana Menteri, adakah perahu layar itu dihadiahkan oleh seseorang yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan di negara ini, bolehkah Perdana Menteri menerimanya dan pelbagai persoalan lain.

Seseorang kakitangan awam ditegah dari menerima hadiah atau hamper yang bernilai lebih dari RM50.

Cerita bot persiaran mewah yang boleh memuatkan 14 penumpang itu pertama kali didedahkan kepada rakyat Malaysia oleh bekas Editor Eksekutif Malay Mail, Ahirudin Attan dalam blognya, Rocky's Bru

Ahiruddin memetik laporan Hurriyet mengenai lawatan Perdana Menteri ke bandar Bodrum "untuk melihat bot persiaran yang ditempahnya".

Beliau tiba di bandar itu dengan jet peribadi milik Penerbangan Malaysia.

Turut menyambut kedatangan Perdana Menteri ialah, tokoh keenam paling kaya di Asia, Tan Sri T. Ananda Krishnan. Kekayaan Ananda berjumlah kira-kira RM8.77 bilion.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk memancing dengan menaiki sebuah bot mewah, "Obsessions", milik Kremala Holding.

Bot persiaran berukuran 44 meter panjang yang dilaporkan sebagai ditempah oleh Perdana Menteri itu diperbuat dari kayu Akaju, Maun, Sipo dan Brimanya yang diimport dari Afrika Selatan.

Ia dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 16 bulan selepas Perdana Menteri dilaporkan menempahnya.

60 orang terlibat menyiapkan perahu persiaran itu.

http://harakahdaily.net/v061/index.php?option=com_content&task=view&id=5772&Itemid=28