BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

12/29/06

Tiada Ucapan Tahun Baru Buat Anda

A Kadir Jasin ( Dato A Kadir Jasin – Bekas Ketua Editor NST)

TAHUN 2006 akan berlalu. Tahun baru 2007 akan tiba. Seperti kebiasaan, banyaklah orang akan mengucapkan selamat tahun baru dan mendoakan kebahagiaan.

Tidak kurang pula yang akan membuat ikrar, janji, azam, iltizam resolusi dan banyak lagi melalui pelbagai saluran termasuk akhbar, radio dan televisyen.

Seperti saya tidak menggunakan blog ini untuk mengucapkan Selamat Hari Natal yang baru berlalu dan Selamat Aidil Adha yang akan tiba atau Selamat Aidil Fitri, Selamat Deepavali dan Selamat Tahun Baru Cina sebelumnya maka saya tidak akan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2007 kepada saudara dan saudari.

Bukan saya tidak ingat atau tidak menghormati saudara dan saudari. Atau tidak mahu saudara dan saudara selamat dan bahagia pada tahun baru yang akan menjelang.

Saya mahu saudara dan saudari serta seluruh penghuni bumi Malaysia yang dicintai ini selamat dan bahagia apatah lagi dalam suasana watan kita yang semakin tidak berarah tujuan ini.

Ketika pelabur, pemodal dan peniaga meninggalkan pantai tanah pusaka dengan modal berbilion ringgit untuk melabur serta bermastautin di China, India, Vietnam dan Afrika.

Ketika penarafan bumi ibunda di dalam pelbagai bidang semakin merosot.

Ketika ancaman inflasi semakin ketara dan pemerintah yang dipilih dengan majoriti besar oleh rakyat mengizinkan kenaikan antara 20 hingga 60 peratus tol lebuh raya “kerana tidak ada jalan lain untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan dan mengurangkan defisit perbelanjaan.”

Ketika suasana semakin kacau dan nyawa kita semakin tidak selamat kerana jenayah sensasi dan tidak sensasi semakin menjadi-jadi; apabila yang dituduh melakukannya dan yang menjadi mangsanya adalah pembesar negara.

Dalam masa seminggu rumah dua menteri dimasuki pencuri; sebuah di Putrajaya, pusat pentadbiran negara yang diuar-uarkan ultra moden dan selamat, dan sebuah lagi di Sarawak.

Jadi bukan sahaja kita rakyat jelata yang tidak ada pengawal peribadi dan tiada liputan keselamatan – security cover -- yang memerlukan ucapan selamat dan doa agar terlepas daripada kecelakaan, malah pembesar-pembesar negara pun begitu juga.

Di akhir-akhir ini, bukan sahaja pembesar-pembesar negara yang ada pengawal peribadi yang menjadi mangsa jenayah malah mereka pula dikaitkan dengan jenayah yang dahsyat yang membabitkan pengawal peribadi.

Ketika bencana alam yang lain semakin teruk dan semakin kerap melanda; kini giliran Negeri Johor yang baru sahaja dijanjikan projek pembangunan raksasa SJER menderita banjir besar.

Dan ketika para pembesar negara semakin galak beristirahat di luar negara, melayari lautan samudera dan pulang seketika untuk menjenguk rakyat yang dilanda bencana.

Justeru itu, kita tidak syak lagi memerlukan ucapan selamat dan doa yang panjang.

Tetapi saya tidak akan menawarkannya kepada sesiapa pun, termasuk diri saya, melalui blog ini kerana ucapan Selamat Tahun Baru seperti banyak ucapan-ucapan lain sudah menjadi klise.

(Daripada bahasa Perancis cliche -- disebut ke-li-sey – yang bermaksud ungkapan atau frasa yang cantik dan sedap didengar tetapi menjadi kosong dan hambar apabila diulangi tanpa sebarang tindakan.)

Kosong dan hambar seperti ikrar janji seorang perokok untuk berhenti merokok atau seorang pembesar pilihan rakyat untuk kerap turun ke padang tetapi hilang sehingga pilihan raya sekali lagi menjelang.

Jadi, mohon maaf tiada ucapan Selamat Tahun Baru buat saudara dan saudari para pelawat dan pembahas yang saya hormati.

Sebaliknya lebih bermanfaat kalau kita gunakan ruang dan kesempatan ini untuk memikirkan bagaimana kita boleh mengatasi masalah dan kemelut yang semakin rumit yang akan mendatangi kita pada tahun 2007.

posted by A KADIR JASIN 10:50 AM
http://kadirjasin.blogspot.com/2006/12/tiada-ucapan-tahun-baru-buat-anda.html