
Antara yang hadir memberikan ceramah pada malam tadi ialah YB Dato’ Seri Hj Abd Hadi Awang Presiden PAS, Dato Dr Hassan Ali Naib Presiden PAS, Dr Hatta Ramli Bendahari PAS Pusat, Dr Badrul Amin Baharon dari Parti Keadilan Rakyat serta Dr Rosli Yaakop Pesuruhjaya PAS N.Sembilan.
Dato’ Seri Hj Abd Hadi Awang menegaskan dalam ceramah beliau betapa lemahnya kerajaan Malaysia sekarang ini menangani kes penghinaan Nabi Muhammad saw jelas terbukti tatkala masjid-masjid di seluruh dunia termasuk masjid di Mekah dalam khutbah mereka membicarakan isu karikatur penghinaan terhadap Nabi saw sedangkan masjid-masjid di Malaysia hanya membicarakan isu lain dalam khutbah yang tiada kaitan dengan isu karikatur penghinaan.

Dalam pada masa yang sama Hj Abd Hadi juga menjelaskan ketika UMNO pada hari ini membuat perarakan sempena memperingati Dato Onn Jaafar di Batu Pahat , Johor, rakyat Malaysia khususnya orang UMNO sendiri lupa bahawa Dato Onn Jaafar sendirilah yang pada akhirnya yang menentang UMNO. Menurut Hj Abd Hadi PAS sentiasa mengenang jasa pejuang bangsa dan negara. Ini adalah kerana apabila Dato Onn Jaafar keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Negara lalu bertanding dalam pilihanraya umum di Johor Bharu pada tahun 1955 Dato Onn telah kalah. Lalu pada pilihanraya tahun 1959 PAS telah memberi laluan kepada Dato Onn Jaafar untuk bertanding di kubu kuat PAS ketika itu iaitu di Kuala Trengganu lalu Dato Onn telah memenangi kerusi tersebut. Inilah menurut Hj Hadi sejarah yang sering dilupakan oleh rakyat malah orang UMNO sendiri.
Lebih RM 8000 telah berjaya dikutip pada malam tadi semasa pelancaran tabung bangunan markas PAS N.Sembilan. Mereka yang ingin menyumbang untuk pembinaan markas PAS N.Sembilan ini bolehlah berhubung terus dengan Sdr Zulkefly Mohamad Omar Setiausaha Badan Perhubungan PAS N.Sembilan di talian 019-2818816.
Sementara itu Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan juga menyeru kepada semua umat Islam di negeri ini untuk menghadiri Protes Aman membantar penyiaran karikatur Nabi Muhammad saw yang akan diadakan selepas solat Jumaat 3 Mac di Masjid Jamek Ampangan, Seremban.




















