KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

1/29/07

Masjid Sikamat, Seremban “Mati”

Pihak kami mendapat maklumat bahawa Masjid Sikamat Seremban yang tersergam indah yang serba baru dan besar sekarang ini mempunyai masalah yang serius dari segi pengurusan menyebabkan banyak aktiviti masjid berkenaan “mati”. Justeru itu kami menyeru kepada ahli Masjid Sikamat yang mempunyai maklumat berkenaan masalah di masjid berkenaan serta alternatif jalan penyelesaian agar dapat memaklumkan kepada pihak kami. Ini adalah untuk kepentingan masyakarat Islam di kariah berkenaan khasnya dan umat Islam di Negeri Sembilan amnya supaya perkara ini mendapat perhatian semua pihak terutama ahli-ahli kariah serta pemimpin setempat.

Berikut beberapa artikel dari Utusan Malaysia yang meceritakan masalah di Masjid Sikamat.

****************************
Keluhan kariah Masjid Sikamat

KARIAH masjid Sikamat, Seremban telah mengadakan mesyuarat agong khas pada 7 Mei 2006 yang lalu. Dalam mesyuarat tersebut telah diputuskan bahawa segala urusan pentadbiran dan kewangan masjid diambil alih oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Ini berikutan rasa tidak puas hati majoriti ahli kariah terhadap pengurusan lama masjid sebelum ini.

Bagaimanapun, sehingga kini kami tidak nampak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan berperanan di dalam menguruskan pentadbiran dan kewangan masjid ini.

Semua urusan pentadbiran masih dijalankan oleh orang lama. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga aktiviti gotong-royong membersihkan masjid pada Ahad lalu kurang mendapat sambutan.

– JEMAAH PRIHATIN,

Sikamat, Seremban.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0817&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_06.htm&arc=hive


*******************************
Alat pemancar telekomunikasi masih di menara masjid

PADA 17 Jun 2006, telah dilaporkan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan melarang syarikat telekomunikasi menggunakan menara masjid sebagai tempat meletakkan alat pemancar mereka.

Menurut beliau, tindakan itu bertentangan dengan dasar kerajaan negeri dan undang-undang pihak berkuasa tempatan malah mereka yang terbabit boleh didenda RM50,000 atau penjara selama dua tahun.

Setelah hampir tiga bulan kenyataan tersebut dibuat, didapati masih ada syarikat telekomunikasi yang gagal menurunkan alat pe mancar mereka. Ini tidak terkecuali di masjid kariah saya iaitu Masjid Sikamat Seremban.

Sehubungan itu, saya ingin bertanya alim ulama, adakah wajar menara masjid digunakan sebagai tempat meletakkan alat pemancar telekomunikasi?

Bayangkan orang yang menyalahgunakan telefon bimbit, seperti menghantar mesej lucah dan menyebarkan fitnah yang mana semuanya terhasil melalui alat pemancar telekomunikasi yang diletakkan di menara masjid.

– ZAINAL ABDUL,
Sikamat, Seremban.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1013&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_06.htm&arc=hive

*************************************
UMNO siasat undi tidak percaya terhadap wakil rakyat

SEREMBAN 2 Julai - Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan akan menyiasat tindakan UMNO Cawangan Bukit Ampangan mengemukakan undi tidak percaya terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat, Datuk Md. Yusop Harmain Shah baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya akan meminta laporan bertulis daripada UMNO Bahagian Seremban mengenai undi tidak percaya itu terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

‘‘Kita akan kaji kenapa mereka buat usul begitu, mesti ada sesuatu tidak kena. Sama ada panggil atau tidak Md. Yusop, tengok laporan dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini.

UMNO Cawangan Bukit Ampangan mengemukakan usul dan undi tidak percaya terhadap Md. Yusop yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Seremban dalam mesyuarat 24 Jun lalu.

Mereka dikatakan tidak berpuas hati apabila cadangan pembinaan balai raya di kawasan mereka tidak dilayan walaupun tujuh pucuk surat mengenainya dihantar bermula Julai 2002 hingga Mei 2006.

Ketua UMNO Cawangan Sikamat, Islakh Mardan berkata, pihaknya berbuat demikian kerana wakil rakyat itu tidak mampu membawa perubahan dan pembangunan di kawasan tersebut.

Md. Yusop ketika dihubungi berkata, mesyuarat tersebut tidak cukup ahli dan undi tidak percaya itu dibuat dengan motif tertentu.

Beliau difahamkan antara lapan dan 10 orang membuat keputusan itu manakala ahli Pemuda UMNO bertindak meninggalkan majlis kerana tidak bersetuju.

‘‘Isu balai raya tidak timbul kerana sudah ada sebuah balai raya di kawasan berdekatan malah sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, dia sepatutnya tahu cara membuat aduan, bukannya cara begini,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0703&pub=utusan_malaysia&sec=politik&pg=po_04.htm&arc=hive