KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

2/28/07

Satu Lagi Kes Pelatih PLKN Wanita MATI !!!

Pelatih PLKN Dijumpai Tidak Sedarkan Diri Di Bilik Air, Meninggal Dunia

PASIR PUTEH, 28 Feb (Bernama) -- Seorang pelatih wanita Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dijumpai tidak sedarkan diri di bilik air di Jeram Linang dekat sini awal pagi tadi, disahkan meninggal dunia di hospital kemudian.

Pelatih itu dari Kem Kisana Beach Resort di sini, yang dikenali sebagai P. Prema, dijumpai tidak sedarkan diri oleh rakan-rakannya pada kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

Prema yang berasal dari Kajang, Selangor, dikejarkan ke Hospital Tengku Anis di sini sejurus kemudian dan disahkan meninggal dunia di hospital itu, kata Komander kem, Mejar Zulkarnain Abdullah ketika dihubungi Bernama.

Mangsa ialah antara kira-kira 400 pelatih PLKN dari kem itu yang sedang menjalani latihan di kawasan Jeram Linang sejak semalam.

Mayatnya akan dibedah siasat untuk menentukan punca kematiannya.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Abdul Hadi Awang Kechil yang dimaklumkan mengenai kejadian itu dijangka mengadakan sidang akhbar di kem itu lewat hari ini.

Sejak PLKN diperkenalkan pada 2004, dua pelatih mati lemas, satu kematian akibat pergaduhan (2005) dan dua kematian, masing-masing tahun lepas dan bulan lepas kerana masalah kesihatan.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=249013