BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

10/18/07

DI SEBALIK KEMERIAHAN 1 SYAWAL

RAMADAN dan Syawal bagi 14 pelajar anak yatim berusia antara 10 dan 15 tahun di Rumah Anak Yatim Yayasan Sofa Negeri Sembilan di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau, amat berbeza dengan remaja lain yang sebaya dengan mereka.

Bagi mereka, hari raya bukannya untuk melaram dengan baju baru walaupun keinginan itu memang wujud, tetapi sebaliknya mereka amat bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat oleh Allah untuk menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan seterusnya merayakan kejayaan melawan nafsu itu pada 1 Syawal.

Jauh di sudut hati anak-anak yatim ini yang begitu ikhlas dan tulus mentelaah buku pelajaran semasa ditemui di asrama mereka, cukuplah Syawal yang tiba disambut dengan belajar bersungguh-sungguh.

Rutin yang bakal dilalui oleh mereka apabila menjelang Aidilfitri ialah kembali ke rumah masing-masing bagi yang masih mempunyai keluarga atau saudara-mara bagi yang telah bergelar yatim piatu.

Bagi Muhd. Farhan Shamsudin, 10, Aidilfitri tahun ini merupakan detik paling sedih kerana menyambutnya tanpa ayah tercinta yang meninggal dunia akibat kanser tahun lalu.

Lebih menyayat hati bagi anak bongsu tujuh beradik ini apabila pemergian ayah disusuli pula oleh ibu tercinta kira-kira enam bulan selepas itu iaitu pada Februari lalu.

‘‘Saya amat sedih tetapi apalah daya saya kerana Allah ternyata lebih menyayangi mereka berdua. Apabila teringat dan rindukan mereka berdua, saya akan baca al-Quran dan sedekahkan kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di asrama itu.

Halim Gool Muhamad, 14, yang boleh dikatakan sebagai ‘abang besar’ di asrama itu pula ternyata lebih tabah, sementelah telah tinggal di asrama itu sejak 2004.

Dia yang kematian ayah semasa berusia empat tahun masih beruntung kerana mempunyai ibu untuk menumpang kasih bersama enam lagi adik- beradik yang lain.

Bagaimanapun atas kerelaannya yang turut mendapat restu daripada ibu dan abang-abangnya, dia memilih untuk tinggal di asrama itu kerana konsep dan pendekatannya amat berbeza dengan asrama anak- anak yatim lain.

‘‘Kami dilayan terlalu baik, makan minum dijaga dengan sempurna, pengangkutan ke sekolah di luar juga disediakan, malah pada setiap hujung minggu pihak asrama akan menyediakan guru khas untuk mengajar tuisyen Matematik dan Sains,” katanya.

Bagi Faizzuan Ariff, 14, tanggungjawab yang digalasnya amat besar kerana sebagai anak sulung lima beradik, dia perlu menjadi teladan kepada adik- adiknya selepas kehilangan bapa sejak berumur lapan tahun.

‘‘Ayah meninggal dunia dalam kemalangan sewaktu pulang dari tempat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),’’ katanya.

Sebagai penyambung hidup, ibunya terpaksa bertungkus lumus membuat kuih- muih dan nasi lemak untuk dijual di merata kedai makan di sekitar Kampung Sungai Buluh, Jelebu.

‘‘Saya faham perasaan adik-adik dan sebagai abang sulung saya selalu ingatkan mereka supaya bersabar kerana Allah itu tidak akan sekali-kali berlaku kejam terhadap hamba-Nya. Segalanya yang terjadi itu mempunyai hikmahnya,’’ katanya yang bercita-cita untuk mendalami ilmu agama dan menjadi pendakwah.

Mohd. Firdaus Md. Nor, 14, pula tidak pernah menjadikan kematian bapanya akibat demam panas enam tahun lalu sebagai penghalang untuk terus berbakti kepada ibunya yang masih hidup.

Malah dia yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang berfikiran positif menjadikan kekurangan itu pemangkin untuk cemerlang dan membuktikan sesuatu kepada dunia luar.

(Teruskan hulurkan sumbangan anda kepada Tabung Yayasan Sofa Negeri Sembilan untuk membantu membangunkan Maahad As Sofa, Pembiayaan Anak Yatim dan sebagainya)

http://yayasansofa.blogsome.com/2007/10/12/di-sebalik-kemeriahan-1-syawal/