BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

10/5/07

Kisah Derita Seorang Ibu di N.Sembilan di bulan Ramadhan

Keesokannya pula, Sabtu 29 September lalu Harakah meneruskan perjalannannya menyampaikan sumbangan ihsannya kepada keluraga mangsa Akta Kejam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Felda Serting, Negeri Sembilan.

Melangkahkan kaki ke Felda Serting 1 (kini Felda Raja Alias) di Bandar Baru Jempol menjejaki isteri tahanan ISA, Halimah Ishak pada 29 September lalu merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai yang dilalui krew Harakah.

Bukan setakat ingin meyampaikan bantuan wang ringgit dan barangan makanan kepada Halimah tetapi juga ingin melihat penderitaan yang ditanggung isteri kepada tahanan ISA, Khaider Kadar ini sejak suaminya ditahan pada tahun 2004.

Menjejaki keluarga tahanan ISA adalah satu peluang yang cukup bermakna kepada penulis dalam menghayati penderitaan mangsa dan keluarga mereka.

Hilang kasih sayang ayah kerana kejamnya ISA

Perjalanan tiga jam krew Harakah ke Serting bagi menyampaikan bantuan sempena Ramadhan dan Syawal kepada Halimah disambut Halimah dengan senyuman dalam kesedihan.

Halimah menginap dengan lapan anaknya di sebuah kedai kecil yang disewanya sejak 19 tahun lalu setelah beliau dan suami, Khader Khadran pindah ke Serting kerana suaminya bekerja di sana.

Begitu pun, tarikh 11 Januari 2004 membibitkan noktah hitam kepada Halimah dan Khaider yang terpaksa berhadapan dengan tindakan zalim kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Khaider ditahan di bawah ISA dengan tuduhan terbabit dengan pertubuhan pengganas Jemaah Islamyiah (JI).

Bagaikan petir menyambar tubuh, kesakitan, kesengsaraan dan kepayahan terpaksa ditempuhi kerana penahanan tanpa bicara itu. Kata Halimah, polis hanya mengambil beberapa buah kitab dan Sahih Bukhari milik suaminya sebagai asas penahanan Khaider yang dituduh sebagai seorang pengganas.

Sejak suami ditahan pada 11 Januari 2004, Halimah terpaksa menggalas tugas sebagai ibu dan ayah kepada lapan anaknya yang masih muda untuk mengenal erti kesusahan.

Keadaan rumahnya pula agak dhaif dengan bumbung syiling yang sudah mula bocor dan dengan hanya duduk di bahagian belakang kedai yang cukup sempit.

Di situlah juga anak sulung Halimah, Abu Hurairah dan isterinya menginap sama kerana Abu Hurairah terpaksa menolong ibunya bagi menjaga adik-adiknya dan membantu dalam menjual air soya di kawasan tersebut.

Tujuh lagi anaknya, Mashitah, Siti Sarah, Adam, Jamilah, Siti Hajar, Aishah dan Ismail turut merasai penderitaan yang dialami Halimah setiadanya suami tercinta.

Berbekalkan sebuah van buruk yang sudah uzur peninggalan suaminya, Halimah terpaksa juga memberanikan diri untuk memandu bagi menyelesaikan segala urusan mendapatkan bahan untuk membuat air soya dan memasarkannya di sekitar Serting.

Satu masa lalu, semua tugas-tugas itu digalas suaminya tanpa keluh kesah dan Halimah hanya membantu di kedai sahaja.Setakat ini Halimah hanya bergantung kepada pendapatan melalui penjualan air soya sahaja menggalas tugas suami bagi menampung perbelanjaan lapan anaknya.

Empat dari lapan anaknya masih bersekolah di sekolah pondok Pasir Puteh di Kelantan dan dua lagi belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Negeri Sembilan.

Menurut Halimah, pendapatan melalui penjualan air soya tidak seberapa tidak seperti dahulu dan hanya cukup-cukup makan sahaja.

Menceritakan pengalaman beliau beraya dengan beberapa kali menziarahi suami pada hari raya pertama di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) amat memilukan.

Menurut Halimah, beliau terpaksa mengusung anak-anaknya yang masih kecil seawal jam 6.00 pagi untuk ke Stesen Bas Bahau yang terletak kira-kira 35 kilometer dari rumahnya.

Belanja RM300 untuk lawat sehari suami di Kamunting

Perjalanan dari Bahau ke Kemta di Kamunting (Perak) memakan masa yang panjang dan Halimah terpaksa menahan segala kepayahan itu demi melihat wajah suami tercinta yang terpenjara kerana kezaliman pemerintah.

Perjalanan jauh terkadang membuatkan Halimah sudah mula hilang kesabaran memikirkan penderitaan yang dilalui.Bukan sedikit belanja yang terpaksa dikeluarkan bagi sekali lawatan, antara RM200 ke RM300 hanya untuk sampai ke Kemta.

Untuk pulang dari Kemta ke Negeri Sembilan pula, Halimah perlu bergegas untuk sampai di Kuala Lumpur bagi mendapatkan bas ekspress Kuala Lumpur-Bahau pada jam 9.00 malam.

Biasanya Halimah akan sampai pada jam 11.00 malam di rumahnya setelah awal pagi lagi keluar dari rumah semata-mata untuk ke Kemta menziarahi Khaider.

Ada kalanya Halimah dipermainkan oleh pegawai-pegawai penjara dengan pelbagai taktik semata-mata untuk melewat-lewatkan pertemuan dan menghalang isteri bertemu tahanan.

Apa yang dapat diusahakan hanyalah berdoa kepada Allah yang maha Esa supaya suaminya segera dibebaskan dari Kemta.Harapan itu masih ada, tetapi Halimah tidak redha dengan kezaliman yang dilakukan kerajaan ke atas suami dan keluarganya.

Lalu, Harakah mengajak pembaca semoga sudi menghulurkan bantuan dan meringankan beban golongan gelandangan ini seperti si miskin, kurang upaya, yang uzur, para penduduk setinggan yang menjadi mangsa penguasa,anak-anak yang hilang kasih sayang kerana ayah mereka di tahan akta kejam ISA dan anak-anak yatim serta ibu tunggal yang hilang tempat berpayung. Di sebalik kemeriahan suasana Ramadan dan menjelang Aidilfitri, marilah sama-sama menginsafi dan bersimpati...

Untuk itu jika ada pihak yang mahu menyumbangkan sumbangan wang ringgit bagi meringankan penderitaan Halimah sekeluarga, bolehlah memasukkan wang ke akaun Bank Pertanian Malaysia, Halimah Ishak (no akaun : 2-576-002164-2).

Bagi yang mahu menyampaikan bantuan sumbangan kepada golongan tidak bernasib baik, bolehlah mendermakan terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM (564070000336) dan sedaya mampu, Harakah dan Harakahdaily.net akan menyalur dan mengagihkan kepada mereka. Insya-Allah. - mks.

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama/tiada-siapa-peduli-penderitaan-mereka.html