KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

10/16/07

Lombong pasir punca banjir kilat Kampung Ismail

Berita Harian 16 Okt 2007. SEREMBAN: Banjir kilat yang dialami 30 keluarga di Kampung Ismail, Blok B dan C, Ampangan dekat sini, petang sebelum Aidilfitri berpunca daripada aktiviti melombong pasir di Sungai Linggi hingga menyebabkan pengaliran air sungai berkenaan tersekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Awam dan Pembangunan Koperasi negeri, Datuk Zakaria Nordin, berkata keadaan bertambah buruk apabila hujan lebat, menyebabkan Sungai Batang Benar melimpah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ampangan berkata, kejadian itu menyebabkan sebahagian besar penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai berkenaan dilanda banjir kilat setiap kali hujan.

"Sebenarnya, banjir kilat yang melanda kampung terbabit tidak sekerap yang dihadapi penduduk Kampung Pasir. Berdasarkan rekod kejadian banjir kilat ini adalah kali kedua berlaku sepanjang tahun ini.

"Bagaimanapun, saya sedih kerana kejadian itu berlaku pada petang tatkala penduduk sibuk membuat persiapan Aidilfitri," katanya yang turut melawat mangsa banjir pada petang dan malam kejadian.

Tinjauan mendapati kebanyakan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan mereka termasuk makanan dan pakaian apabila air naik sehingga ke paras lutut dalam sekelip mata.

Zakaria meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memantau dan memastikan syarikat yang menjalankan aktiviti melombong pasir di Sungai Linggi mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mengelak kejadian sama berulang.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/EdisiWilayah/20071016070531/Article/index_html