KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

10/18/07

NGO Islam Kurang Buat Kebajikan di NS

Pengarah Hospital Seremban Rasmikan Semaian Kasih 2007

Seremban, 7 Okt – Pengarah Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Dr Jaafar Che Mat telah berbesar hati merasmikan program Semaian Kasih 2007 anjuran ISMA NS dengan kerjasama pihak Hospital Tuanku Jaafar, Ahad lalu. Di dalam program ini, ISMA NS telah mengambil initiatif menjalankan kutipan sumbangan ikhlas ahli dan masyarakat untuk diagihkan kepada para pesakit di hospital ini sempena Ramadhan dan Aidilfitri.

Majlis dimulakan pada jam 9.45 pagi dengan ucapan alu-aluan Tuan Pengarah Hospital. Dalam ucapan ringkasnya, beliau sangat mengalu-alukan penglibatan NGO seperti ISMA dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di Hospital Tuanku Jaafar. Satu perkara yang agak ketara, ujar beliau ialah betapa hambarnya penglibatan NGO Islam dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sebegini yang kebanyakannya dipelopori oleh badan-badan bukan Islam.

Ustaz Hj Abdul Halim Abdullah selaku Ketua Perhubungan Negeri telah menyampaikan kata-kata aluan bagi pihak ISMA. Antara lain, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada Tuan Pengarah dan pihak hospital atas kesudian menerima kunjungan ISMA. Beliau turut memperkenalkan ISMA kepada sekian hadirin yang hadir termasuk doktor-doktor pakar, ketua-ketua jabatan, matron dan ketua-ketua jururawat. Beliau turut mengingatkan kira-kira 50 ahli ISMA NS yang hadir ke acara ini untuk mengambil kesempatan beramah mesra dengan pesakit dan petugas hospital semasa serahan hadiah dijalankan serta menghayati program ISMA bersama masyarakat kali ini.

Majlis ringkas sebagai pemula acara ini ditamatkan dengan penyerahan cenderahati daripada ISMA oleh Ust Abdul Halim kepada Dr Jaafar.

Program seterusnya ialah penyerahan hadiah kepada para pesakit di wad-wad yang telah dikenalpasti iaitu Wad Orthopedik Lelaki, Wad Kanak-Kanak dan Wad Sakit Puan. Dengan koordinasi yang baik di kalangan ahli ISMA yang hadir serta kerjasama yang sangat menggalakkan daripada petugas hospital, kesemua 250 beg sumbangan telah berjaya diagihkan dalam masa lebih kurang sejam.

Ketika ditemubual wartawan, Dr Zainon Yahya selaku Pengarah Program Semaian Kasih 2007 ini berasa sungguh bersyukur dengan kelancaran majlis yang diadakan pada pagi ini. “Kami tidak menyangka sambutan yang sebegini meriah telah disediakan oleh pihak hospital. Ia memberikan semangat kepada kami untuk terus bekerja dan menyumbang, InsyaAllah”, ujar beliau.

ISMA Negeri Sembilan melangkah setapak lagi dalam usaha untuk memberikan khidmat kepada masyarakat dan ummat yang dikasihi melalui program ini sebagaimana motonya ISMA – Pelopor Keperihatinan Sejagat. Kita berharap program seumpama ini dapat dikembangkan kepada skop penerima yang lebih luas seperti fakir miskin, ibu tunggal, dan anak yatim pada masa hadapan.

Acara ini turut disertai oleh wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia serta mendapat liputan di Utusan Malaysia (9/10/2007) muka 27, di ruangan Utusan Selatan.

Omar Kassim
Setiausaha
Ikatan Muslimin Malaysia
(ISMA) Negeri Sembilan

http://www.ismaweb.net/ISMA/Article453.phtml

Jangan salahkan NGO Islam saja, salahkan diri kita sendiri juga sebagai umat Islam. Apa peranan kita ?

http://pasns.blogspot.com