BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

10/25/07

Nisa' laksanakan impian wanita

Nisa' laksanakan impian wanita Oleh Md Fuzi Abd Lateh. Berita Harian 24 Okt 2007


MERIAH: Karnival jualan busana muslimah menarik perhatian ahli dan tetamu jemputan ketika diadakan di Perodua, Serendah.

Pertubuhan sukarela dianggotai profesional rancang, bantu pertingkat potensi remaja

PERANAN besar dimainkan badan sukarela memperjuangkan hak remaja dan wanita menjadi misi utama penubuhan badan amal dinamakan Nisa' Malaysia yang juga dilihat mampu menjadi wadah penyambung generasi muda kini.

Pengarahnya, Mastura Mohamad, berkata bermula 23 Mei 2005 lalu, badan itu diberi penjenamaan baru ditukar nama daripada Unit Amal Nisa' Wilbanat kepada Nisa' Malaysia dengan perjuangan luas membantu semua golongan tanpa mengira kaum dan latar belakang agama masing-masing.

Katanya, dengan keahlian melebihi 7,000 sehingga kini barisan jawatankuasa kerja pusat kian bergerak aktif membantu golongan sasaran, khususnya remaja berusia 13 tahun ke atas dalam pengisian pelbagai program bermanfaat dari semasa ke semasa.

"Perjuangan kami amat mudah. Membantu semua yang menghadapi masalah dan memerlukan perkhidmatan bimbingan berterusan menuju kejayaan yang dihajati. Walaupun tidak mempunyai pejabat urusan yang tetap, kami mampu mengadakan perjumpaan setiap hari hanya secara bergerak seperti dari rumah ke rumah dan dalam kereta.

"Perkhidmatan badan amal ini mempunyai tiga unit bahagian iaitu Unit Kerjaya, Unit Pembangunan Insan dan Unit Khidmat dan Kaunseling. Setiap unit mempunyai perancangan khusus menyusun pelbagai program untuk menyatukan ahli seluruh negara," katanya.


CANTIK: Demonstrasi mengikat tudung dibawakan Nisa' kepada ahlimereka.

Dengan dianggotai ahli jawatankuasa wanita pelbagai latar belakang seperti profesional, guru, peguam, usahawan, jurutera, doktor, kaunselor dan pakar teknologi maklumat, Nisa' dilihat mampu menggerakkan aktiviti yang diperlukan golongan sasaran.

Terbaru, mereka mengadakan program Karnival Busana Muslimah yang dianjurkan bersama Nisa' cawangan Hulu Selangor dengan Badan Agama Islam Perodua (BAIP) yang disertai lebih 300 ahli di Bangunan Korporat Perusahaan Automobil Kedua Negara (Perodua) di Serendah, Selangor.

Mastura berkata, kerjasama diberikan cawangan Hulu Selangor itu amat baik bagi menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat menyertai aktiviti jualan, pameran, pertunjukan fesyen butik muslimah, forum 'Wanita Cantik di mata, Cantik di Hati', sekali gus menandakan usaha mereka disambut baik.

Katanya, walaupun tidak mempunyai dana yang besar, sumbangan individu dalam menjayakan setiap program yang dirancang besar maknanya dalam melakukan kerja kebajikan ini, selain memberi laluan kepada semua ahli untuk aktif dalam acara yang disediakan.

Mengimbas sejarah penubuhan Nisa', beliau berkata, konsep awal mereka berdasarkan prinsip dan peraturan Pandu Puteri ditubuhkan pada 1992 lalu. Namun, kini bersesuaian dengan perubahan arus semasa mereka memberi penekanan konsep baru lebih kepada nilai yang positif dan keagamaan muslimah sejati.

Begitu pun, perjuangan persatuan berkenaan tetap menyeluruh dengan membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, bahkan semua kaum mempunyai peluang sama untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan badan berkenaan.

“Pendekatan kami lebih mesra remaja. Kami tangani masalah mereka dengan lebih nilai positif. Nisa' selami masalah mereka, cuba membantu. Remaja berpeluang meluahkan isi hati. Setiap masalah yang dihadapi ada penawarnya. Ahli kami ada senjata ampuh membantu mereka.

"Antara aktiviti remaja yang diadakan adalah seminar, kembara ilmu, Nisa' Games, Kursus Personaliti Diri, Sukaneka, kursus kepimpinan dan Tayangan Video dan Kritikan Lagu. Tidak ketinggalan juga panduan menghadapi temu duga kerja, seminar Penilaian Menengah Rendah (PMR) , bengkel usahawan dan Sembang Kerjaya," katanya.

Bantuan dalam segmen kaunseling pula, membabitkan khidmat 'pendengar setia' kepada remaja bermasalah dan mengalami kerunsingan hidup. Nisa' memberi kebajikan kepada ahli secara proaktif. Semua maklumat diperoleh akan disalur pula kepada Unit Pembangunan Insan dan Kerjaya.

Mereka juga lebih akrab menjalinkan hubungan dengan beberapa rumah perlindungan dan kebajikan seluruh negara bagi membantu remaja dan wanita yang menghadapi pelbagai masalah. Kaunseling percuma diberikan beberapa kaunselor sukarela membantu insan malang ini.

Wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan juga mempunyai pendedahan sama menerusi bantuan daripada ahli yang lebih berjaya. Bermula perniagaan kecil, jualan langsung, saiz besar, gedung perniagaan terkemuka dan luar negara, mereka mampu memberi pendedahan kepada wanita yang berminat untuk menceburi perniagaan.

"Nisa' juga sudah memperkenalkan penggunaan kad keahlian dalam kempen 'Jom Join Nisa'! dengan slogan 'Kita Laksanakan Impian Bersama' bagi mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan kami. Kad yang ada lebih memberi semangat kepada ahli terdiri wanita di semua cawangan 14 negeri dan Nisa' Pusat.

"Pangkalan data mengenai keahlian yang disimpan ini juga membantu pengurusan menghubungi ahli bagi menyertai program yang disusun setiap masa. Setiap negeri mempunyai cawangan utama Nisa' masing-masing. Kami kerap mengadakan perjumpaan dengan ketua setiap negeri untuk manfaat bersama,” katanya.

Maklumat terkini mengenai badan amal ini boleh dilayari laman web Nisa' http://www.webnisa.net/ pada bila-bila masa dan juga menghubungi Mastura di talian 016-6737991 dan setiausaha, Sofea Zakaria (012-3021741).

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Citra/20071024071437/Article/