KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

10/26/07

Pelajar, pekerja kilang dicekup di Taman Margosa

Harian Metro 26 Okt 07. SEREMBAN: Kerinduan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah, di sini, untuk bertemu kekasih hatinya di sebuah rumah teres mengundang padah apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jains), dalam operasi mencegah maksiat, petang semalam.

Jurucakap Jains, berkata pelajar perempuan berusia 17 tahun ditahan ketika bersama teman lelakinya, seorang pekerja kilang berusia 20 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Marcosa, Paroi, dekat sini, kira-kira jam 3.30 petang.

Katanya, pelajar itu dipercayai baru saja pulang dari sekolah kerana ketika ditahan dia masih berpakaian seragam dan terkejut ketika sepasukan anggota Jains tiba di rumah teres itu.

"Teman lelakinya terkejut sebaik kami memperkenalkan diri sebagai anggota penguatkuasa Jains dan selepas menyiasat dalam rumah itu terdapat seorang pelajar perempuan yang masih berpakaian seragam.

"Selepas disoal siasat dia tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim dengan lelaki terbabit dan ia satu kesalahan di sisi Islam kerana berdua-duaan dalam rumah berkenaan," katanya di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan, pelajar itu bersama beberapa rakan sebayanya dikatakan selalu berkunjung ke rumah sewa lelaki berkenaan yang turut didiami oleh beberapa lelaki lain.

Jurucakap itu berkata, maklumat itu turut disahkan oleh beberapa jiran mereka yang sering ternampak beberapa pelajar perempuan datang ke rumah sewa lelaki berkenaan setiap kali habis waktu sekolah.

"Operasi yang kami adakan semalam juga adalah hasil maklumat daripada beberapa jiran lelaki itu.

"Bagaimanapun, nasib nyata tidak menyebelahi pelajar perempuan berkenaan kerana ketika kami sampai hanya terdapat dia dan teman lelakinya dalam rumah sedangkan rakan yang lain mungkin sudah beredar," katanya.

Menurutnya lagi, pihaknya menahan kedua-dua pasangan berkenaan untuk mengambil butiran peribadi sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, selepas siasatan penuh dijalankan kelak, mereka berdua akan didakwa di Mahkamah Syariah di sini.

Jurucakap itu berkata, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, kerana berkhalwat atau cubaan melakukan persetubuhan haram.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak remaja mereka kerana dikhuatiri akan mudah melakukan aktiviti tidak sihat hingga menjejaskan nama baik keluarga serta masa depan mereka sendiri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/64718/Article/index_html