KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

10/12/07

Penduduk miskin di bandar tak dilupa

Kerajaan negeri beri sumbangan ringankan beban buat persiapan sambut lebaran

Berita Harian 12 Okt 2007. SEREMBAN: Aidilfitri bukan saja hari kemenangan bagi umat Islam yang sempurna berpuasa, menahan lapar dan dahaga, melawan nafsu dan godaan jiwa, tetapi turut memberi limpahan rahmat kepada golongan memerlukan, kelompok miskin dan anak yatim, ibu tunggal serta fakir, saudara baru juga yang kurang upaya.

Sepanjang sebulan Ramadan, golongan asnaf inilah yang mendapat perhatian, dijemput ke pelbagai majlis sumbangan bantuan, tidak kira sama ada berlokasikan hotel atau restoran, lalu terisilah wajah mereka dengan riak senyuman kegembiraan.

Itulah istimewanya Islam, yang berada tidak lokek menghulurkan sumbangan, tidak kiralah dalam bentuk barangan atau kewangan, yang penting tiada pihak berasa tersisih dalam kemeriahan umat menyambut lebaran.

Pemerintah sendiri tidak pernah alpa dalam membela nasib rakyat, usaha berterusan direncana dan dilaksana bagi memerangi kemiskinan, bukan saja wang yang diberikan, tetapi meluas sehingga kemudahan kediaman.

Dulu, miskin hanya dikaitkan dengan orang kampung, tetapi peredaran zaman semakin menyempitkan tanggapan itu kerana kemajuan dan pembangunan menyebabkan kian ramai penduduk kota turut tersenarai dalam golongan sama.

Menyedari hakikat itu, kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memantau kualiti hidup masyarakat bandar bagi melihat realiti sebenar kehidupan mereka yang sebahagiannya lebih teruk daripada golongan miskin di luar bandar.

Kerajaan Negeri Sembilan juga serius dalam menangani masalah kemiskinan rakyat di bandar dengan menyalurkan pelbagai bantuan serta menyediakan kemudahan penginapan selesa kepada golongan berkenaan.

Sempena Aidilfitri kali ini, 152 penduduk di kawasan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) menerima bantuan kewangan dengan peruntukan keseluruhan RM300,000 melalui Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

Bantuan diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bukti keprihatinan pemimpin itu terhadap belenggu dihadapi sesetengah masyarakat kota yang selama ini semuanya dianggap sebagai mewah atau berada.

Seorang penerima, Zul Amirul Sidi Abdullah, 33, ketika ditemui, mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada kerajaan negeri kerana tidak melupakan rakyat yang memerlukan bantuan.

"Terima kasih memberikan bantuan ini, dapatlah juga meringankan beban saya dalam menampung keperluan keluarga bagi menyambut Aidilfitri," kata bapa kepada tiga anak berusia lima hingga tujuh tahun itu yang menetap di Rumah Pangsa Perdana Paroi, dekat sini.

Beliau yang tergolong dalam kelompok orang kurang upaya (OKU), berkata keprihatinan kerajaan yang tidak pernah terlepas daripada menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, membuktikan kerajaan sentiasa membela rakyat.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tidak mahu melihat ada golongan yang memerlukan bantuan, tercicir daripadanya.

"Kita komited melaksanakan dasar serta program bagi memerangi kemiskinan di kalangan rakyat Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata, peserta yang layak menerima bantuan dikenal pasti terlebih dulu oleh pihak berkuasa melalui bancian terperinci yang memilih penduduk dengan pendapatan seisi keluarga bawah RM585 sebulan sebagai penerima.

"Penerima bantuan ini termasuk ibu tunggal dan OKU. Ada tujuh jenis bantuan disalurkan, iaitu sewa rumah, persekolahan atau institusi pengajian tinggi, kos jaga anak, bantuan ke tempat kerja, pengangkutan ke sekolah, bantuan ihsan dan kos rawatan perubatan," katanya.

Mohamad berkata, kadar kemiskinan yang rendah di negeri ini menunjukkan dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan berjaya mencapai matlamatnya.

"Bagaimanapun, usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua, terutama pemimpin setempat. Kita di peringkat kerajaan negeri sudah mewujudkan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial yang mempunyai jawatankuasa khas.

"Jawatankuasa ini meneliti dan mengenal pasti setiap individu dan ahli keluarga yang miskin serta memerlukan bantuan untuk disenaraikan sebagai penerima. Kita tak mahu ada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan berkenaan," katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abdul Halim Abd Latif, berkata pihaknya menerima 200 permohonan daripada rakyat berbilang bangsa untuk disenaraikan sebagai peserta PPKB, tetapi hanya 152 didapati benar-benar layak selepas bancian dilakukan.

"Menerusi bantuan ini, kita berharap dapat membantu golongan miskin dan memerlukan ini, terutama umat Islam yang bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi." katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/EdisiWilayah/20071012081130/Article/index_html


JKM dapat bantuan tambahan RM2 juta

Berita Harian 12 Okt 2007. SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menerima bantuan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menampung jumlah peruntukan sedia ada bagi membantu 6,896 golongan memerlukan sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Mizan Maulud, berkata peruntukan tambahan itu menjadikan pihaknya menerima bantuan keseluruhan RM19 juta sepanjang tahun ini iaitu RM13 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan bakinya RM6 juta disalurkan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, peruntukan tambahan itu diberikan berikutan pihaknya menerima pertambahan bilangan permohonan yang memerlukan bantuan berbanding sebelumnya diyakini berpunca berikutan peningkatan kos sara hidup selain masalah sosial.

"Kita juga dapati permohonan bagi semua kategori bantuan bertambah kerana terdapat kes-kes penerima yang layak menerima bantuan tetapi tidak dirujuk sebelum ini dikemukakan kepada kita untuk dipertimbangkan bagi mendapatkan bantuan.

"Ini juga selaras dengan penekanan dan saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahukan semua golongan yang layak menerima bantuan seperti ibu tunggal, fakir miskin dan anak yatim tidak tercicir dan ketinggalan daripada senarai penerima bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan kepada golongan memerlukan sempena Program Rahmat Ramadan Parlimen Seremban di Lobi Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban 2, di sini.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Seremban, Datuk Hon Choon Kim. Hadir sama, Pegawai JKM Daerah, Mohd Zafri Hamzah.

Mizan berkata, pihaknya akan memastikan setiap permohonan yang diterima mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum mereka layak menerima bantuan dan ia akan dikaji semula setiap enam bulan.

"Bagaimanapun, kita berharap penerima tidak terlalu bergantung dengan bantuan yang diterima, sebaliknya mereka perlu berusaha mengubah nasib dengan berdikari termasuk menjalani latihan kemahiran dan sebagainya.

"Sebenarnya, banyak bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi membantu mereka mengubah nasib diri dan keluarga tetapi semuanya bergantung kepada mereka sendiri," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/EdisiWilayah/20071012080120/Article/index_html