KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

10/1/07

Wartawan bantu keluarga mangsa kezaliman ISA di NS

Negeri Sembilan, ISA dan lambaian pembangkang menggamit mata (Bahagian 1)

Sehari bersama rakan-rakan Harakahdaily ke Felda Serting 1 di Bandar Pusat Jempol, Negeri Sembilan membuahkan banyak pengalaman tentang dan pengamatan maju mundurnya negeri yang penuh dengan adat pepatih itu.

Sejak jam 9.30 pagi, penulis menunggu rakan-rakan dari Kajang iaitu Jurugambar Wan Zahari Wan Salleh serta Wartawan, Salmiyah Harun untuk ke lokasi yang dijanjikan bagi menyerahkan bantuan kepada isteri tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Serting.

Setibanya rakan-rakan di Terminal One Seremban, penulis bergegas memakir kereta di kawasan letak ketera Terminal One untuk turut serta dengan rakan-rakan lain ke Serting.

Dalam perjalanan penulis sempat memerhatikan proses pembangunan yang sedang berjalan di Negeri Sembilan, sebuah negeri yang tidak asing kepada penulis kerana sudah 29 tahun mendiami negeri ini.

Begitu pun tidak banyak lokasi yang telah dikunjungi penulis meskipun telah lama bermastautin di negeri ini.

Sampai sahaja di Bukit Putus iaitu kawasan yang memisahkan Kuala Pilah dengan Seremban, tersergam projek lebuh raya yang akan meluruskan bukit yang sekian lama dengan keadaan jalan bengkang bengkok.

Bukit Putus memang terkenal dengan 'jalan maut' satu ketika lalu dengan keadaan jalan yang cukup menyeramkan. Beberapa kes lori dan kereta terbalik di sana menggamit minda saya berfikir sejenak mengapa tidak dari dahulu lagi jalan tersebut diluruskan.

Dengar-dengar sumber rakan menyatakan sebenarnya projek meluruskan jalan di Bukit Putus sepatutnya dimulakan sejak Tan Sri Isa Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan tetapi berikutan beberapa masalah sampingan menyebabkan projek terpaksa ditangguhkan.

Kini Dato' Seri Utama Mohammad Hassan yang mengambil alih kerajaan negeri dan projek telah dimulakan meskipun ada kedengaran dakwaan kroni-kroni menumpang nasib merasai pembahagian projek tersebut. Biasalah Umno begitulah caranya, membuat pembangunan untuk dilihat rakyat dan keuntungan disapu oleh sanak saudara.

Menuju ke Pekan Tanjong Ipoh, sebuah pekan yang agak lama di negeri tersebut terletak di tengah-tengah jalan antara Kuala Pilah ke Seremban.

Pekan ini cukup sibuk meskipun terlalu kecil kerana ianya terletak di tengah jalan tersebut. Tidak maju hanya kerana pekan ini tidak dihuni penghuni yang ramai, hanya sekadar beberapa ratus orang kampung yang mendiami kawasan sekitar Tanjung Ipoh dan Terachi.

Meneruskan perjalanan di sepanjang jalan Kuala Pilah-Seremban, penulis terserempak dengan sebuah rumah yang dipenuhi hiasan bendera PAS dan KeADILan.

Cukup kagum dan berani. Penulis dapat membayangkan bagaimana 'kuatnya' semangat pemilik rumah tersebut yang cukup berani memacakkan bendera PAS dan KeADILan di rumahnya. Meskipun beliau dikelilingi kubu kuat Umno di Kampung Talang.

Terfikir sejenak, semangat yang ditunjukkan oleh pemilik rumah tersebut mungkinkah sekali akan membuahkan satu lembaran baru dalam politik di Kuala Pilah?.

Kisah setempat pernah menunjukkan bahawa Kuala Pilah adalah antara kawasan yang dahulunya ada Ulama dan para alim yang mendiami. Masih teringat penulis, seorang rakan yang berasal dari Negeri Sembilan yang bersekolah bersama penulis menceritakan kisah seorang alim di Kuala Pilah.

Kata rakan penulis itu warga kampung tersebut cukup mengkagumi kewarakan individu tersebut yang walaupun buta, tetapi cukup kuat beribadat.

Hingga kata rakan saya itu kesan-kesan tertentu yang boleh dilihat oleh mata halus orang tertentu yang merasakan bahawa orang buta itu punyai keistimewaan tersendiri.

Mungkin penulis tidak dapat mendeskripsi seluruh kisah orang buta itu, tetapi menarik untuk dikisahkan jika ada para penulis sejarah mahu menulis soal orang buta itu melalui satu kajian lapangan bertemu masyarakat di sana.

Syiar agama yang dibawanya satu ketika dahulu memakmurkan kawasan tersebut hingga kata rakan surau dilimpahi rahmat dengan kehadiran tetamu Allah dari pelbagai tempat.

Terfikir dek penulis, tak mustahil jika satu hari nanti kawasan itu akan kembali menjadi kawasan yang dilimpahi rahmat andainya ada yang ingin memakmurkannya.

Dan tidak mustahil jika satu hari nanti bila rakyat Malaysia amnya Negeri Sembilan khasnya mula menerbitkan rasa cinta yang kuat kepada Islam, kawasan pertama yang boleh dimenangi PAS dalam Pilihan Raya Umum ialah Kuala Pilah.

Apa yang perlu usaha dari pihak PAS Negeri Sembilan untuk meneruskan misi dakwah di seluruh negeri bagi meyakinkan rakyat bahawa Islam pembela seluruh rakyat.

Sesuai dengan slogan yang dicanang oleh PAS Negeri Sembilan melalui Kelab Penyokong PAS "PAS For All".

Ikuti kisah selanjutnya dalam bahagian ke-2 : Balu ISA merintih empat tahun dipisahkan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi di tirai besi..

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php/utama/negeri-sembilan-isa-dan-lambaian-pembangkang-menggamit-mata-bahagian-1.html