BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

11/12/07

Mundurnya Kuala Pilah lepas 50 tahun Merdeka

Ya, betul, tak percaya tengok berita berikut. Di Air Kuning, Johol, Kuala Pilah. Ya Air Kuning, macam Gelombang Kuning tu

Sentral: Jalan bertar hanya impian
Berita Harian 12 Nov 2007

KETINGGALAN PEMBANGUNAN: Jalan becak di Kampung Teronjeng, Johol. Empat keluarga di laluan hujung kampung tanggung azab guna kemudahan tak sempurna sejak berpuluh tahun lalu

KUALA PILAH: Pembangunan prasarana asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan kerajaan bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada rakyat.

Buktinya, banyak kemudahan yang dibangunkan kerajaan dapat dilihat sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu berbanding sebelumnya hingga rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Kemudahan itu bukan saja disediakan di kawasan bandar atau pekan tetapi juga seluruh kampung atau kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, mungkin kerana terlepas pandang, masih ada penduduk yang sekadar mampu memandang orang lain menikmati kemudahan itu dan bagi kes di Kampung Air Kuning dan Kampung Teronjeng, Johol, dekat sini ia membabitkan jalan berturap.

Walaupun jumlah yang tidak mendapat kemudahan itu mungkin dianggap kecil, iaitu tiga keluarga di Kampung Air Kuning dan satu keluarga di Kampung Teronjeng, mereka tetap rakyat Malaysia dan berhak mendapat layanan sama rata dan adil.


JALAN BERLUBANG: Laluan tidak sempurna membahayakan pengguna terutama pada waktu hujan dan malam.

Jika alasan rumah terletak di hujung kampung, adakah perlu nenek moyang mereka dipersalahkan kerana mempunyai tanah di situ, mungkin itu jugalah satu-satunya aset yang mereka ada.

Akibatnya, keluarga berkenaan terpaksa menggunakan laluan yang tidak sempurna, terutama berulang alik untuk menjalankan urusan seharian, termasuk ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah.

Keadaan bertambah teruk apabila setiap kali hujan yang menyebabkan jalan masuk ke kawasan penempatan becak dan berlopak hingga ada kala membahayakan mereka, termasuk terjatuh akibat gagal mengawal motosikal yang ditunggang.

Bukan sekali dua baju dan kasut anak yang bersih, disaluti lumpur ketika dalam perjalanan ke sekolah, manakala kenderaan yang dinaiki acap kali terpaksa dicuci dan dibersihkan akibat kotor terpalit lumpur.

Mereka pernah mengemukakan masalah berkenaan kepada pihak berkuasa, tetapi sehingga kini tiada jawapan menggembirakan diterima hingga jalan berkenaan kekal tidak berturap sedari awal mereka tinggal di situ berpuluh tahun lalu.

Wakil tiga keluarga di Kampung Air Kuning, Md Said Maarop, 48, berkata dia sudah memohon berkali-kali supaya jalan masuk ke kawasan penempatan mereka diturap, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Bekas tentera itu berkata, ada beberapa pekerja datang mengukur laluan masuk ke kawasan tiga rumah itu, tetapi senyap tanpa khabar berita sedangkan kerja menurap semula jalan sedia ada di kampung itu dengan peruntukan RM3 juta baru dilaksanakan Mac lalu.
"Amat menyedihkan, kerja menurap jalan sedia ada di kampung ini tidak dipanjangkan sehingga ke rumah kami. Saya terkilan dan sedih kerana penduduk lain mendapat jalan sempurna sehingga depan rumah, tetapi kami dianaktirikan daripada menerima kemudahan itu.

"Lagi pun, bukannya jauh sangat untuk menurap jalan ke rumah kami dari persimpangan yang sudah berturap itu, iaitu hanya kira-kira 900 meter jaraknya. Takkan kerja menurap jalan itu tidak boleh disambung terus ke rumah kami," katanya

Beliau berkata, saudara dan rakan yang berkunjung pada hari raya atau majlis keraian diadakan terpaksa meletakkan kenderaan di luar persimpangan masuk dan berjalan kaki hampir satu kilometer ke rumahnya akibat jalan yang tidak sempurna.

"Itu belum lagi kesusahan yang dihadapi apabila hujan terutama berulang alik untuk menjalankan urusan harian, menghantar enam anak ke sekolah dengan menunggang motosikal melalui jalan berkenaan," katanya.

Warga emas, Makni Rejab, 71, dari Kampung Teronjeng pula mendakwa, sudah berpuluh kali dia mengemukakan masalah itu pada mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Sudah lebih 50 tahun saya tinggal di sini dan kini dah berumur 71 tahun, tetapi masih belum dapat lihat kerja penurapan laluan ke rumah saya dilakukan," katanya.

Dia mengakui mungkin kedudukan rumahnya paling hujung di kampung berkenaan dan terpaksa melalui ladang kelapa sawit menjadi alasan jalan itu tidak berturap sejak sekian lama.

"Hairannya, kemudahan asas lain seperti elektrik, air dan telefon boleh disambung ke rumah ini. Setidak-tidaknya, turaplah sebahagian daripada jalan itu jika tidak semua hingga sampai ke rumah ini," katanya.

Pengerusi JKK Kampung Melekai, Saad Kudin, 71, mengakui pihaknya sudah mengemukakan permohonan sejak tahun 2000 kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Pilah mengenai permohonan bagi menaik taraf jalan ke rumah penduduk terbabit.

Bagaimanapun, katanya, jawapan sama diterima iaitu permohonan yang dikemukakan itu akan disenaraikan untuk permohonan peruntukan sehingga beliau dituduh tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.

"Saya sedih kerana penduduk tuduh saya tak buat kerja, sedangkan saya sudah mengemukakan permohonan bagi menaik taraf jalan berkenaan. Malah, turut membenarkan tanah saya digunakan bagi membina jalan ke rumah penduduk terbabit," katanya.

Beliau mengakui jalan kampung berkenaan perlu dinaik taraf kerana sudah banyak yang rosak dan sempit dengan jarak keseluruhan hanya membabitkan sembilan kilometer membabitkan Kampung Melekai, Air Kuning, Teronjeng, Kelomboi dan Dusun Besar.

"Semua kampung ini berdekatan antara satu sama lain dan didiami kira-kira 750 penduduk," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/EdisiWilayah/20071112081252/Article/index_html