FORUM

FORUM

KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

5/30/07

Untung Jadi Banduan di Malaysia !

Bangunan Terbiar Dijadikan Penjara Atasi Kesesakan
KAJANG, 30 Mei (Bernama) -- Beberapa bangunan terbiar di seluruh negara akan disewa oleh Jabatan Penjara dan diubahsuai bagi menempatkan banduan yang menjalani hukuman ringan sebagai langkah mengurangkan kesesakan dalam penjara.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Mustafa Osman berkata buat permulaan, beberapa bangunan di sekitar Kajang dikenal pasti bagi program itu yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan ini.

"Kita sedang merisik dan berunding dengan pihak tertentu dan jika mereka bersetuju kita akan segera mengambilnya dan membuat sedikit pengubahsuaian dengan menaikkan pagar keselamatan dan mengadakan jagaan yang minimum," katanya kepada pemberita selepas perbarisan tamat latihan oleh 222 kakitangan Jabatan Penjara di sini hari ini.

Kini terdapat 48,000 banduan di penjara seluruh negara, dan yang menghadapi kesesakan kritikal ialah Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang dan Penjara Kluang.

Mustafa berkata Kajang dipilih sebagai percubaan bagi menempatkan banduan dari Penjara Kajang sebelum program itu diperluaskan ke kawasan lain.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana bangunan berkenaan akan dikawal seperti penjara biasa," katanya.

Beliau berkata langkah itu dapat mengelak banduan yang menjalani hukuman ringan daripada bergaul dengan banduan yang menjalani hukuman berat.

"Banduan yang menghadapi hukuman ringan tidak memerlukan latihan kemahiran sebaliknya lebih kepada pemantapan jati diri dan disiplin," kata Mustafa.

Beliau meminta pemilik bangunan atau kilang yang tidak digunakan dan mahu menyewakannya supaya menghubungi Jabatan Penjara.

Mustafa juga berkata Jabatan Penjara kini mempunyai 11,000 orang kakitangan dan masih kekurangan kira-kira 4,000 warder.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=264803

**********************************************
Pada tahun 2006 kerajaan Malaysia membelanjakan RM 1,274,490 ( RM 1.27 juta ) sehari bagi menampung perbelanjaan penghuni-penghuni di penjara di seluruh negara. Perbelanjaan itu adalah untuk 42,483 orang tahanan di semua institusi penjara termasuk di Depot Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin. Ini bermakna sebanyak RM 465,188,850 ( RM 465 juta ) setahun wang rakyat digunakan untuk menampung perbelanjaan penghuni-penghuni penjara.

Kos-kos yang terpaksa ditanggung kerajaan tidak termasuk kos perubatan itu adalah meliputi kos pengurusan harian dan kos pemulihan. Kos pengurusan harian ialah makan dan minum, penyediaan tempat tahanan, penggunaan air dan elektrik, penyediaan pakaian, perkhidmatan dobi dan tenaga kawalan manakala kos pemulihan meliputi latihan vokasional, kebajikan, program kaunseling, ceramah agama, kemudahan perpustakaan, perjumpaan keluarga dan urusan surat menyurat. ( Sumber Bernama http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=219724&vo=104 )

Sementara itu untuk menanggung warga negara yang sanggup meracun diri sendiri dan masa depan mereka yang ditempatkan di pusat serenti, kerajaan terpaksa membelanjakan RM500,000 sehari bersamaan dengan RM 182,500,000 ( RM 182 juta ) setahun. Ini diambil kira dengan adanya 28 pusat serenti di seluruh negara yang menempatkan sekitar 10,000 pelatih bagi satu-satu masa dengan jumlah tanggungan untuk seorang penagih yang dirawat di pusat serenti sebanyak RM50 setiap hari. (Sumber Berita Harian http://www.bharian.com.my/Current_News/HM/Tuesday/Minda/20060718095150 )

Ini bermakna sejumlah RM 647,688,850 ( RM 647 juta ) setahun dibazirkan begitu sahaja untuk memulihkan serta mengasingkan para banduan, tahanan dan penagih dadah agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat.

Dengan wang sebanyak RM 647 juta ini sepatutnya boleh diberikan secara percuma kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di IPTA atau IPTS. Menurut maklumat dari laman web PTPTN , bagi pelajar IPTA, jumlah pinjaman yang diluluskan adalah antara RM1,000 hingga RM6,500 setahun. Manakala bagi pelajar IPTS, jumlah pinjaman adalah antara RM3,700 hingga RM20,000 setahun. Ini bermakna dengan RM 647 juta ini boleh menampung pembelajaran sekurang-kurangnya 32,384 orang pelajar dan paling ramai sebanyak 647,688 orang pelajar setahun. Ini bermakna kesemua lulusan SPM dan STPM di Malaysia ini akan dapat menikmati pembelajaran peringkat tinggi secara percuma. ( Sumber http://www.ptptn.gov.my/c/portal/layout?p_l_id=PUB.1.22 )

Dalam pada itu kerajaan baru-baru ini telah mewajibkan ibu bapa untuk mempunyai simpanan wang dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berkuatkuasa 1 Januari tahun depan sebelum anak mereka layak memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Simpanan wajib adalah sebanyak RM3,000 bagi keluarga yang berpendapatan bulanan melebihi RM2,000 sebulan. Ibu bapa yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan pula wajib menyimpan RM500. ( Sumber Bernama http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=249981 )

Melihat senario di atas, ibu bapa yang ada kemampuan mungkin telah memulakan tabungan untuk membiayai pembelajaran anak-anak mereka di peringkat tinggi. Tapi bagaimana pula dengan ibu bapa yang kurang berkemampuan serta pencapaian akademik anak-anak mereka tidak membolehkan mereka untuk mendapatkan biasiswa. Mahu tidak mahu mereka terpaksa membuat pinjaman atau melepaskan sahaja anak mereka ke alam pekerjaan.

Baru-baru ini Buletin Utama TV3 ada menyiarkan bagaimana pendekatan Islam Hadhari yang digunakan untuk membimbing para-para banduan telah dapat memulihkan para banduan, dengan adanya kuliah agama, kuliah tafsir, kuliah sirah nabi dan beberapa siri kuliah agama.

Sekiranya penjara, pusat tahanan serta pusat serenti di Malaysia ini dapat memberikan pendidikan agama yang sempurna disokong dengan pengajian vokasional serta teknikal serta lain-lain kemahiran di Malaysia, apakah akan ada ibu bapa yang terdetik di hati mengatakan adalah lebih baik menghantar anak ke penjara sekiranya tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran ?

Apakah dugaan yang menimpa rakyat Malaysia sekarang ini yang menyebabkan masalah banduan, PATI, penagih dadah tidak dapat dikurangkan apatah lagi untuk mensifarkannya ?
http://pasn9.blogspot.com/2007/03/pendidikan-percuma-untuk-pelajar-ipt.html

5/28/07

Kenapa Keputusan Kes Lina Joy 30 Mei ?

Fikir fikirkan, renung renungkan, muhassabah muhassabahkan sesama kita.
************************************
Keputusan rayuan Lina Joy diketahui 30 Mei
Utusan Malaysia . PUTRAJAYA 25 Mei 2007– Penghakiman rayuan wanita Melayu yang mengaku murtad, Lina Joy terhadap keputusan dua mahkamah yang menolak permohonannya untuk memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalan MyKadnya akan diketahui pada 30 Mei ini.

Perkara itu disahkan oleh peguam Benjamin Dawson yang merupakan salah seorang daripada barisan peguam mewakili wanita tersebut.

Rayuan Lina Joy atau Azlina Jailani selesai didengar Julai tahun lalu di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd. Sheriff.

Pada rayuan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dinamakan pihak responden pertama, Kerajaan Malaysia (responden kedua) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (reponden ketiga).

Lina Joy, 43, diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus Das, merayu terhadap penghakiman majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalan.

Beliau yang mengaku bukan lagi penganut Islam, mendakwa bahawa pihak responden enggan membuat deklarasi mengenai haknya untuk mengamalkan agama pilihan iaitu Kristian.

Pada 13 April 2006, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Lina Joy untuk merayu di mahkamah itu berhubung permohonannya yang hendak memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya (kini MyKad).
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0526&pub=utusan_malaysia&sec=mahkamah&pg=ma_04.htm&arc=hive

5/23/07

Kem Motivasi Anak Soleh 4 Jun Jempol

KEM MOTIVASI ANAK SOLEH
Bersama AKHWAN AFFANDI
Isnin 4 Jun 2007
Masa : 8 pagi – 6 petang
Di Muassasah Darul Syarif, Jalan Batu Kikir – Bahau, Batu Kikir, Jempol, N.Sembilan
Terbuka kepada remaja 8 tahun ke 17 tahun
Yuran penyertaan cuma RM 15
Hubungi Ustaz Nazri Zainuddin 019-6644320

5/22/07

Penduduk NS Bantah Penjualan Arak

Berita Harian 21 Mei 2007. KUALA PILAH: Kosnya lebih murah daripada sekotak rokok berjenama tetapi kesan khayal dikatakan jauh lebih hebat. Samsu murah kini pilihan kepada mereka yang mahu merasai keseronokan tanpa perlu membelanjakan wang yang besar terutama remaja yang masih bersekolah.

Masyarakat setempat di sini mendakwa samsu berharga antara RM3 hingga RM4 sebotol itu boleh didapati dengan mudah di kedai runcit di pekan Senaling, dekat sini.

Berdasarkan maklumat penduduk, samsu yang popular dengan panggilan Cangkul itu selalunya dibeli remaja serta diminum secara berkumpulan di tempat tertentu selepas waktu persekolahan atau di sebelah malam.

Berikutan kandungan alkoholnya yang tinggi, pengguna akan mencampurkannya ke dalam kopi atau minuman ringan. Bagaimanapun, sebelum ini dimaklumkan pemilik kedai runcit terbabit lebih senang menjual samsu berkenaan kepada pelanggan yang dikenali saja.

Dengan bantuan seorang penduduk setempat, dua botol samsu, masing-masing dari dua jenama samsu itu dibeli dari kedai berkenaan pada harga murah.

Kedua-dua label minuman keras berkenaan dijual pada harga RM3 hingga RM4 dengan maklumat tertera pada botolnya mencatatkan alamat pengeluarnya di Perak dan Klang, Selangor. Kandungan alkohol minuman berkenaan sehingga 28 peratus.

Penjualan mudah minuman berkenaan merisaukan pemimpin setempat, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Senaling, Abu Hassan Mohd Noh, 83, yang mahu tindakan sewajarnya segera diambil.

"Sebenarnya, dua kedai runcit itu dikesan menjual samsu secara terbuka sejak dua tahun lalu. JKKK Senaling sudah menghantar surat kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri mengenai perkara ini.

"Saya difahamkan kedai itu mempunyai lesen menjual arak. Bagaimanapun disebabkan samsu yang dijual itu begitu murah harganya, menyebabkan kedai terbabit menjadi tumpuan anak muda Melayu dan India di sekitar daerah ini," dakwanya.

Beliau berkata, pengurusan sekolah menengah berhampiran juga memaklumkan sesetengah pelajarnya menjadi pelanggan kedai runcit terbabit walaupun tertera amaran minuman itu tidak sesuai untuk mereka berusia bawah 18 tahun.

"Baru-baru ini, saya dimaklumkan secara lisan bahawa lesen menjual arak oleh kedai terbabit sudah ditarik balik, tetapi saya lihat ia masih dijual. Jadi, saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, walaupun kedai berkenaan mempunyai lesen menjual arak, pemiliknya perlu lebih peka dan bertanggungjawab dengan tidak menjual minuman keras kepada pelanggan Melayu terutama remaja yang masih bersekolah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senaling, Datuk Ismail Lasim, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penjualan arak di kedai runcit di pekan Senaling itu, termasuk kepada pelajar.

Beliau meminta Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) bertindak tegas ke atas pemilik kedai runcit berkenaan jika pengusahanya terus menjual arak walaupun lesen penjualan minuman itu dibatalkan.

"Lesen menjual arak kedua-dua kedai runcit itu sudah dibatalkan lebih setahun lalu dan MDKP sudah diarahkan memastikan pemilik kedai berkenaan menghentikan terus penjualan minuman keras," katanya.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya dan Kemudahan Awam Negeri Sembilan serta Ketua Umno bahagian Kuala Pilah, berkata pihaknya turut memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Kuala Pilah supaya memantau dan mengambil tindakan ke atas orang Islam yang membeli minuman keras dari kedai itu.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/EdisiTengah/20070521093634/Article/

5/17/07

EXCO Kelantan Derma Kedua-dua Mata

Sila rujuk laporan The Star 17 May 2007 dan Harakahdaily dibawah.
Takiyuddin pledges his eyes
KOTA BARU: Kelantan state executive councillor Datuk Takiyuddin Hassan has pledged to donate his eyes in the event of his death.

“I believe it is an honourable act,” he told a press conference here to say that he would donate his corneas to the eye bank of the Tun Hussein Onn Eye Hospital in Petaling Jaya.

In the event of his death, his eyes would be removed surgically and donated to the eye bank for cornea transplants.

Takiyuddin, who is the state PAS secretary, had thought about donating his eyes for some time.

He came forward to make his pledge after becoming involved in an awareness programme for eyesight and listening to eye specialists from the hospital.

He added that he also consulted and got the blessings of Demit state assemblyman Mohamed Daud, who is regarded a religious scholar in PAS.

“I was told that Islam allows such organ donations, so the religious aspect is clear,” said Takiyuddin, adding that Mohamed and Kelantan state assembly deputy speaker Nassuruddin Daud were his witnesses when he filled the eye donor form.

He said it was simple to be a donor, as it only required the filling of a form and to get the family to understand that it is a binding agreement.

Takiyuddin said the country was in dire need of corneas and hoped other PAS leaders would emulate his example.

The Malaysian Association for the Blind said Kelantan has an estimated 50,000 people who are either blind or sight impaired.

MAB president Prof Dr Ismail Md Salleh said this was the largest chunk of the 65,000 people in the country who are blind and sight impaired.

However, he added only 18,000 have registered with the association.

Dr Ismail said the high rate of vision impairment in Kelantan was due to the fact that they are fishermen, who do not protect their eyes, and diabetes.

The professor, who was born blind, also hoped politicians would become activists for eye donation.

“We face a constant shortage of corneas in our eye-bank,” he said.




http://www.thestar.com.my/news/story.asp
*******************************************
Setiap saat seorang penduduk dunia alami kebutaan

KOTA BHARU, 16 Mei (Hrkh) – Mengejutkan, apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya mendedahkan setiap saat seorang penduduk dunia berdepan dengan penyakit kecacatan penglihatan.

Manakala setiap minit pula seorang kanak-kanak terdedah dengan risiko menjadi buta.

Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Prof Dato’ Dr Ismail Mohd Salleh berkata, statistik tersebut dikeluarkan WHO yang menggambarkan begitu kronik penyakit kebutaan sekiranya tidak diberi rawatan segera.

“MAB sehingga kini menjalankan pelbagai program pencegahan kebutaan termasuk kepada kanak-kanak prasekolah. Program yang dijalankan itu melibatkan perbelanjaan yang besar.

“Setiap tahun sebanyak RM5 juta diperlukan bagi menjalankan program rawatan, di mana ia mampu merawat 2,500 orang. Perbelanjaan itu ditanggung MAB dan kerajaan hanya menyumbang 27 peratus daripada jumlah itu,” katanya pada majlis penyampaian cek sumbangan kerajaan negeri kepada MAB di JKR 10 di sini, hari ini.

Kelantan menyumbang sebanyak RM100,000 kepada MAB yang disampaikan anggota Exco, Dato’ Takiyuddin Hassan kepada Dr Ismail. Sempena program itu turut diadakan pemeriksaan dan rawatan mata (katarak) percuma.

Dr Ismail berkata, jumlah penduduk di dunia yang berdepan dengan masalah penglihatan sekarang seramai 140 juta orang.

Dan dalam tempoh 20 tahun akan datang jumlah kes kebutaan dan rabun dijangka meningkat kepada 280 juta orang sekiranya usaha-usaha bagi mengurangkan risiko tersebut tidak dilakukan.

“Sebanyak 90 peratus kes kebutaan dapat dicegah melalui pembedahan. Bagaimanapun masyarakat kita enggan mendapatkan rawatan segera,” katanya.

Beliau berkata, bagi mendapatkan dana untuk menjayakan pelbagai program kesedaran dan rawatan, MAB terpaksa mengadakan pelbagai program amal.

Dr Ismail juga berharap mendapat kerjasama daripada kerajaan Kelantan bagi mengenal pasti tapak untuk dibina cawangan Hospital Mata Tun Hussien Onn di negeri ini.

Menurutnya, bekas Pusat Serenti dikenalpasti antara tapak sesuai digunakan bagi tujuan itu sekiranya mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.

Beliau juga mendedahkan Kelantan mempunyai perangkaan tertinggi kes rabun dan kebutaan disebabkan gaya hidup mereka yang suka kepada makanan manis secara berlebihan.

Katanya, akibat mengambil gula berlebihan mengundangkan kepada risiko kencing manis dan penyakit tersebut boleh menyebabkan kebutaan.

Selain itu, golongan nelayan juga dikenalpasti mudah terdedah dengan penyakit tersebut kerana mereka terdepan dengan angin kuat ketika di laut dan kemasinan air laut.

“Sebab itu MAB memberi tumpuan kepada Kelantan bagi menjalankan program rawatan melalui hospital bergerak yang masuk ke kampung-kampung,” katanya.

Menurutnya melalui program yang dijalankan seramai 10,500 kanak-kanak telah diberi cermin mata dan melakukan 350 pembedahan katarak.

MAB juga mempunyai pejabat cawangan di Jalan Telipot, Kota Bharu sejak beberapa tahun lalu.

Takiyuddin pula berkata, melalui sumbangan sebanyak RM100,000 kepada MAB dan Hospital Mata Tun Hussien Onn membolehkan kira-kira 200 rakyat Kelantan mendapat rawatan percuma.

“Sama-samalah kita mencegah penyakit tersebut dengan mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya.

Kata beliau juga kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membantu pesakit kronik setiap tahun.

Pada majlis itu Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri mengisi borang menderma kedua-dua belah matanya apabila meninggal dunia kelak.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, wakil-wakil rakyat, Penyelia Dun dan penasihat program berkenaan, Prof Dr Viramani.

Pada program yang sama seorang pesakit strok, Mohd Hashim Abdullah menerima sumbangan kerusi roda elektronik daripada kerajaan negeri.

http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=7726&Itemid=29

5/12/07

Ceramah Us Ahmad Awang 21 Mei Seremban

SemuA Dijemput HadiR ke CERAMAH UMUM
- Bersama :
Ustaz Hj Ahmad Awang
& Sdr Hanipa Maidin
- Isnin 21 Mei 2007 . Jam 9 malam
- di Pasti Zulfaa, Taman Sri Kasih, Jln Senawang-Paroi, Seremban (hadapan Kompleks Kastam)
Maklumat lanjut hubungi Hj Taufek 019-6576540

5/9/07

Pembetulan Fakta Kes Pelajar Disimbah Asid

Merujuk kepada laporan pelajar yang disimbah asid di asrama sekolah di Rembau pada 26 Mac 2007 yang lalu yang menyebut :
“Mangsa adalah seorang anak yatim, pelajar lelaki tingkatan 4 berasal dari Kg Astana Raja, Kota, NS. Sejak kematian ibunya dia dipelihara oleh emak saudaranya, sementara ayahnya telah berkahwin lain”

Terdapat kesilapan pada kenyataan tersebut. Berikut ialah pembetulan fakta :
“ Mangsa adalah seorang pelajar lelaki tingkatan 4 berasal dari Kg Astana Raja, Kota, NS Sejak ibu dan ayahnya berpisah semasa kecil, dia dipelihara oleh emak saudaranya”.

Sebarang kesulitan amat dikesali. Sekian dimaklumkan.

5/7/07

Tanah Sekolah Agama di Selangor DiSeleweng ?

ADUAN PILIHAN MINGGU INI...TANAH SEKOLAH AGAMA DIKOMERSIALKAN (Dari Laman Web Persatuan Pengguna Islam Malaysia)
Tujuan saya membuat aduan ini adalah kerana tanah lot PT 4 ( Lot 55232 & 55233 ) seluas 2 ekar di USJ 17, Mukim Damansara Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan telah disalahguna untuk tujuan komersial walaupun mengikut perancangan awal, tanah tersebut sepatutnya digunakan untuk membina sekolah agama, tetapi entah kenapa tiba-tiba tanah tersebut telah diiklankan untuk membina kawasan perumahan.

Pelan pembangunan tanah untuk dimajukan sebagai sekolah agama yang diamanahkan kepada Majlis Amanah Islam Selangor sebagai pemegang amanah telah bertukar sebagai cadangan pembangunan rumah berkembar 2 tingkat.

Persoalannya di manakah tanggungjawab MAIS sebagai pemegang amanah dan bagaimana pelan pembangunan ini diluluskan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan begitu mudah.

Bagaimana perkara seperti ini terjadi di bumi Malaysia dan Islam sebagai agama rasmi. Saya berasa sedih, muak dan jelik dengan kerakusan mereka yang menggadai maruah serta agama untuk memenuhi kantung poket sendiri.

Kalau tiada badan yang memperjuangkan perkara seperti ini bagaimanakah nasib anak bangsa kita dan maruah Islam di negara yang melaungkan Islam Hadhari. Saya amat berharap PPIM dapat membantu mengutarakan isu ini bagi membela maruah umat Islam yang semakin terhakis akibat ketamakan dunia oleh anak bangsa kita sendiri yang termakan sogokan mereka yang ingin menjatuhkan maruah ummah.

-Penduduk USJ 17-

http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/news.php?extend.340

5/5/07

Pengawalan Rumah Judi dan Penjualan Minuman Keras

Ruj. Kami : SU/PAS/KR/1.02(8)
Tarikh : 18 Rabiul Akhir 1428 – 6 Mei 2007

Kepada :

Yang Di Pertua dan Pegawai Daerah
Majlis Perbandaran Seremban. Faks : 7637449
Majlis Perbandaran Nilai. Faks : 7997300/7400
Majlis Daerah Rembau. Faks : 6855117

Assalamualaikum,

Tuan ,

PENGAWALAN RUMAH JUDI DAN PENJUALAN MINUMAN KERAS

Merujuk kepada perkara di atas PAS Kawasan Rembau melahirkan rasa kebimbangan yang amat sangat terhadap gejala keruntuhan akhlak terutama di kalangan orang Islam dan orang Melayu di kawasan ini.

2. Justeru itu pihak kami mengharapkan agar pihak tuan dapat mempastikan agar pemberian lesen rumah judi serta lesen penjualan arak adalah terkawal dan tidak melibatkan orang Islam secara langsung atau tidak langsung.

3. Sepertimana yang termaktub dalam Rang Undang-Undang Rumah Perjudian Terbuka (Pindaan) 2000 Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 kerajaan telah mengadakan kawalan yang ketat ke atas aktiviti perjudian yang di antaranya adalah, kerajaan tidak lagi mengeluarkan lesen-lesen baru bagi semua bentuk perjudian dan adalah dilarang orang yang beragama Islam, mereka di bawah umur 21 tahun dan murid sekolah daripada memasuki premis-premis perjudian.

4. Sementara dalam isu penjualan minuman keras ataupun arak menurut syarat-syarat pemegang lesen di bawah Seksyen 35 Akta Eksais 1976 , Lesen Kedai Runcit, Peniaga Borong dan Rumah Awam telah menetapkan antaranya pemegang lesen runcit tidak dibenarkan pelanggannya minum arak di kedainya, mempamerkan lesennya pada setiap masa di suatu tempat yang mudah dilihat di premis berlesen, hendaklah beroperasi antara waktu-waktu yang ditetapkan, pemegang lesen tidak boleh mengadakan atau membenarkan sebarang pertunjukkan muzik atau lain-lain hiburan dalam premis berlesen kecuali mendapat kebenaran Ketua Pegawai Polis atau Pesuruhjaya Polis, pemegang lesen tidak boleh membenarkan pelanggannya mabuk atau melakukan kekacauan atau perjudian di dalam premis berlesennya, pemegang lesen tidak boleh membekal atau menjual liquor kepada seseorang yang mabuk atau seseorang yang dibawah umur 18 tahun, pemegang lesen tidak boleh menjual liquor yang memabukkan kepada seseorang yang beragama Islam, hendaklah mengadakan Papan Kenyataan "MEMINUM ARAK DAN SEUMPAMA DENGANNYA ADALAH HARAM BAGI ORANG-ORANG ISLAM". Papan Kenyataan ini hendaklah dipamerkan di bahagian bar bagi rumah-rumah awam. Pemegang terlebih dahulu hendaklah mendapat lesen iklan daripada Majlis Daerah, Pemegang Lesen Rumah Awam tidak dibenarkan mengambil/menempatkan pekerja wanita/lelaki Islam di bahagian bar.

5. Disamping itu pihak kami juga menggesa agar Penguatkuasa Jabatan Agama Islam menguatkuasakan Seksyen 79A Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) (Pindaan)
2004 yang menyatakan : “Orang Islam yang berjudi atau didapati berada di tempat perjudian
adalah melakukan suatu kesalahan di bawah dan apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 3,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya” , terutamanya di pekan Rembau, pekan Rantau dan pekan Senawang
Kerjasama daripada pihak tuan adalah amat diharapkan dan dihargai untuk membentuk generasi warganegara Malaysia amnya serta orang Islam dan bangsa Melayu khususnya yang berakhlak mulia dengan itu akan mengurangkan gejala yang tidak sihat di kawasan ini yang bukan sahaja merugikan diri mereka, malah membinasakan institusi kekeluargaan dan masyarakat Islam khususnya serta rakyat amnya.

Sekian, terima kasih.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

Yang menjalankan amanah ,
Rosli bin Yaakop
Yang Di Pertua PAS Kawasan Rembau
PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN REMBAU – PPM/NS 26/52-7824
Kg Senama, Jalan Rembau-Tampin, 73000 Rembau, N.Sembilan
Tel/Faks : 06-6776254 , HP : 019-2171942
http://pasns.blogspot.com

s.k. :
1. YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan Fax : 7631394
2. Ketua Polis Daerah Rembau – Fax : 6857363
3. Ketua Polis Negeri Sembilan – Fax : 7623506
4. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Faks : 7631395
5. Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan - Fax : 7620648
6. Bahagian Penguatkuasa JHEAINS Fax : 7672767
7. Semua Ketua Cawangan PAS dalam Parlimen Rembau
8. Semua Ketua Cawangan UMNO dalam Parlimen Rembau
9. Semua Nazir dan Imam Masjid serta Surau dalam Parlimen Rembau
10. Semua Penghulu dan Pengerusi JKKK dalam Parlimen Rembau

5/4/07

Pekan Rantau “Mini Las Vegas” N.Sembilan

Utusan Malaysia 4 Mei 2007. RAMAI orang Melayu Islam di Rantau, Negeri Sembilan main (judi) ekor. Memalukan berada dalam kedai ekor pada waktu solat Jumaat. Jabatan Agama Islam Negeri, apa peranan anda?
– MAT KASIHAN.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_05.htm

DUN RANTAU N27 ( Jumlah Pengundi 13,914)
Melayu: 54% Cina: 22% India: 22% Lain: 2%
WAKIL RAKYAT RANTAU : Datuk Mohamad Hasan (BN-Umno) , Menteri Besar Negeri Sembilan , Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan

PARLIMEN REMBAU P131 ( Jumlah Pengundi : 53,960)
Melayu: 69% Cina: 14% India: 14% Lain: 3%
AHLI PARLIMEIN REMBAU Datuk Muhammad Firdaus Rom Harun (BN-Umno)
No. 556, Jalan Cenderawasih 3
Taman Paroi Jaya
70400 Seremban
Tel 06 – 6851806 (P) ,06 – 6774163 (R)
H/p 012 – 6281428

5/3/07

Kediaman Anak Yatim Yayasan Sofa N.Sembilan

Program Anak Yatim dan Golongan Dua’fa’ Yayasan Sofa Negeri Sembilan telah menjalankan Program Pengambilan Anak Yatim dan Miskin yang di tempatkan di Kediaman Kg. Bukit Sembilan Chengkau Ulu, 71300 Kota, Negeri Sembilan bermula sejak sesi 2005 yang lalu.
YSNS merancang untuk mengumpulkan pelajar Anak-anak Yatim dan Miskin ini sehingga 200 orang pelajar. Segala kos bagi kelengkapan, pakaian sekolah dan penginapan serta makanan pelajar ini ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan secara percuma.

Mereka bersekolah di sekolah kerajaan yang berhampiran, iaitu di Sekolah Men. Keb. Astana Raja, 71300 Rembau Negeri Sembilan dan Sekolah Kebangsaan Chengkau, 71300 Rembau, N. Sembilan.

Berbagai Program Pendidikan Agama Islam disediakan di kediaman ini dan pelajar-pelajar berpeluang mempelajari lebih dekat Ilmu-Ilmu Agama serta pengajian kitab. Setiap pelajar tertakluk kepada peraturan dan disiplin Asrama yang disediakan bagi melicinkan setiap aktiviti harian pelajar. Kegagalan untuk mematuhi sebarang peraturan asrama ini akan dikenakan tindakan.

Sebarang bentuk bantuan , pertanyaan, sumbangan @ untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian : 019-663 7785 @ 019-227 9226
Sumbangan / Derma untuk tujuan ini atau sebarang bantuan, di atas nama Surau At Taufiqi Al Husaini , Akaun Bank Islam Nombor Akaun : 5012010058375 atau di atas nama Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Akaun Bank RHB Nombor Akaun : 25504700001867.

Yayasan Sofa Negeri Sembilan (0202-04-9) telah didaftarkan pada 17 Februari 2004, yang beralamat di Kampung Bukit Sembilan, 71350 Kota, Negeri Sembilan. Yayasan Sofa ditubuhkan dengan tujuan :

• Mewujudkan suatu dana atau tabung amanah bagi membiayai program-program Yayasan yang berbentuk keilmuan (dakwah) dan kebajikan.

• Memegang amanah dan menguruskan harta individu atau organisasi untuk manafaat kebajikan.

• Memberikan bantuan kepada pelajar miskin dan anak yatim untuk menuntut ilmu dan melanjutkan pelajaran.

• Memiliki harta dan aset-aset bagi melaksanakan program pendidikan untuk untuk kepentingan masyarakat.


PENGAMBILAN PELAJAR SESI PERSEKOLAHAN 2007

Alhamdulillah, lebih dari 70 permohonan yang diterima dan setelah dibuat tapisan tertentu , hanya 50 orang pelajar sahaja, terdiri daripada Tahun 4 hingga Tingkatan 3, yang diterima masuk. Tahap umur di antara 10 hingga 15 tahun ini adalah sesuai kerana tahap pendidikan kanak-kanak seusia ini adalah paling cepat berkembang dan mereka mampu untuk berdikari. Adalah dijangkakan bahawa kanak-kanak itu akan berpeluang untuk mengikut pendidikan awalannya di sini selama tempoh 6 tahun ( Tahun 4 hingga Tingkatan 3 ).

Alhamdulillah, program ini telah berjalan lancer walaupun terdapat beberapa kekurangan dan masalah, khasnya dari segi kemudahan pengangkutan, peralatan dan kos perbelanjaan. Oleh itu dalam tempoh terdekat ini, Yayasan ini sedang berusaha untuk mendapat sebuah pengangkutan / bas / van bagi memenuhi keadaan dan keperluan penuntut ilmu dan ana-anak ini.

SUMBER KEWANGAN

Untuk mendapatkan dana dan sumber kewangan bagi menampung kos pembiayaan Anak-anak Yatim dan Miskin ini, yuran dan derma di kalangan ahli telah pun dilaksanakan disamping :

1. Ahli-ahli Yayasan Sofa bersetuju untuk menjadikan anak-anak yatim dan miskin ini sebagai anak-anak dan keluarga angkat mereka dengan membentuk kumpulan dan berkongsi untuk membantu segala kos pembiayaan bagi seseorang pelajar itu.

2. Sumbangan bantuan / derma dari orang perseorangan dan pihak kerajaan dan syarikat swasta yang diterima dari masa ke semasa dalam membantu meningkatkan dana Yayasan Sofa.

3. Mengadakan program atau kursus yang boleh mendatangkan dana seperti kursus amali dan praktikal solat, kursus pemahaman fardhu ain , tafaqquh fi al din, kelas tahsin Al-Quran, kem cuti sekolah dan motivasi, tiusyen dan sebagainya.

4. Berusaha mendapatkan berbagai tajaan dan sponsor dalam bentuk barangan dan alatan untuk melengkapkan keperluan perkara yang berkaitan dengan pelajar anak-anak yatim dan miskin ini.

Yayasan Sofa sentiasa mengharapkan bantuan, kerjasama dan sumbangan, idea dan pandangan, demi meningkatkan lagi pencapaian dakwah dan perkembangan pendidikan serta kebajikan terhadap Anak Yatim dan Miskin serta golongan Dua’fa’ ini.

Kami mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan atau sumbangan demi kebaikan dan kebajikan yang lebih menyeluruh terhadap penuntut-penuntut ilmu ini.


WAKAF / SUMBANGAN / DERMA : PEMBINAAN MADRASAH BARU

YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN ( 0202/04/9 ) adalah sebuah institusi yang menjalankan aktiviti kebajikan dan pendidikan khusus bagi ahli masyarakat dan orangramai. Yayasan ini telah membangunkan sebuah kawasan seluas 15 ekar di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau Ulu, 71350 Kota, Negeri Sembilan, yang telah dibina sebuah bangunan untuk Kediaman dan Asrama Anak-anak Yatim dan Golongan Dua’fa’ , sebuah Dewan Pengajian dan beberapa bangunan yang lain.

Selaras kepada pertambahan ahli pengajian dan Pelajar Anak-anak Yatim dan Golongan Dua’fa’ ini, sebuah bangunan Madrasah yang lebih besar dan beberapa tambahan bangunan adalah sangat diperlukan. Bangunan baru ini adalah untuk keselesaan dan kegunaan ahli jemaah dan orangramai serta menampung bilangan pelajar anak yatim dam golongan dua’fa’ yang semakin meningkat.

Sehubungan dengan itu, di atas rasa tanggungjawab sosial dan keperihatinan kepada masyarakat, kami memohon kepada pihak tuan / puan agar sudi menghulurkan Wakaf / Sumbangan / Derma untuk tujuan ini atau sebarang bantuan, di atas nama Surau At Taufiqi Al Husaini , Akaun Bank Islam Nombor Akaun : 5012010058375 atau di atas nama Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Akaun Bank RHB Nombor Akaun : 25504700001867.

Kerjasama dan sumbangan pihak Datuk / Tuan / Puan bagi menjayakan hasrat hasanah dan kebajikan Yayasan ini, adalah didahului dengan ucapan ribuan terimakasih.


Sebarang bentuk bantuan , pertanyaan, sumbangan @ untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian :
019 663 7785 ( En. Hanif Abd. Hamid )
019 227 9226 ( En. Ainul Amriz Ismail )

URUSETIA :

Laman Web Yayasan Sofa Negeri Sembilan http://yayasansofa.blogsome.com/

E-mel : yayasansofa@gmail.com

Alamat surat menyurat:
YASASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Kampung Bukit Sembilan,
71350 Kota
Negeri Sembilan
Tel / Fax : 06 4450363

Latihan Bowling utk Muslimat 12 Mei Seremban

Nisa Negeri Sembilan akan menganjurkan latihan bowling khusus untuk muslimat pada hari Sabtu 12 Mei 2007 jam 10 pagi bertempat di kompleks membeli belah Seremban 2. Tenaga pengajar ialah Sdri Ayu dan yuran kursus cuma RM 15 seorang. Untuk pendaftaran atau maklumat lanjut sila hubungi Pn Norwani 013-3851202

5/2/07

Pelancaran Pusat Komuniti Muda Jempol 5 Mei

Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (DPPNS) dengan kerjasama PAS Kawasan Jempol akan melancarkan Pusat Komuniti Muda di Jempol , Negeri Sembilan pada 5 Mei 2007 ini bersempena dengan Ekspo Rakyat yang akan diadakan di Muassasah Darul Syariff, Jalan Batu Kikir – Bahau, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Sehubungan dengan itu DPPNS menyeru kepada golongan belia setempat agar menjadikan Pusat Komuniti Muda ini sebagai tempat yang dapat memberi manafaat kepada belia di kawasan ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan ingin turut serta menjayakan Pusat Komuniti Muda ini bolehlah menghubungi Tn Hj Taufek di talian 019-6576540. Antara perkakasan yang boleh disumbangkan untuk menjayakan Pusat Komuniti Muda ini ialah permainan dalaman (indoor game) seperti carrom, dart, dam, peralatan gymnasium, komputer dan perkakasan lain yang berkaitan.