BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

10/24/08

Daif betul pengangkutan awam N.Sembilan

Tidak dapat dinafikan lagi pengangkutan awam terutama bas di Negeri Sembilan begitu teruk. Yang menjadi mangsa ialah rakyat Negeri Sembilan sendiri terutama yang tinggal di Jempol dan Jelebu, juga Tampin. Bukan baru sekarang tapi dah lama dah.

Akhbar Sinar Harian 24 Oktober 2008 memaparkan kisah penderitaan penduduk di Jelebu dan Tampin yang tiada pengangkutan awam yang sempurna.

Sebelum ini juga telah disiarkan masalah pengangkutan awam di N.Sembilan pada pautan berikut :

Dua jam tunggu bas di Kuala Pilah hendak ke Batu Kikir http://pasns.blogspot.com/2006/06/dua-jam-tunggu-bas-di-kuala-pilah.html

50 TAHUN MERDEKA JELEBU TIADA BAS http://pasjelebu.blogspot.com/2008/02/50-tahun-merdeka-jelebu-tiada-bas.html

Bas di N.Sembilan macam zaman Jepun http://pasns.blogspot.com/2007/02/bas-di-nsembilan-macam-zaman-jepun.html

Meloponglah Orang Jempol dan Jelebu http://amkns.blogspot.com/2007/12/meloponglah-orang-jempol-dan-jelebu.html

Masalah bas awam beban penduduk Jelebu
Sinar Harian 24 Oktober 2008
JELEBU – Penduduk sekitar Jelebu menggesa supaya sistem pengangkutan awam di sini, terutama perkhidmatan bas yang kurang memuaskan, dipertingkat segera.

Mereka mendakwa perkhidmatan bas awam sedia ada hanya membabitkan laluan tertentu seperti Jelebu ke Seremban, manakala laluan ke kampung-kampung seperti Simpang Pertang masih belum beroperasi sehingga mereka terpaksa bergantung penuh kepada perkhidmatan ‘teksi sapu’.

Seorang penduduk, Mohd Ali Zon Sharif, 57, berkata masalah pengangkutan awam di daerah ini sudah lama dan semakin teruk sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, penduduk bukan saja menghadapi masalah untuk menjalankan aktiviti harian mereka, malah turut menyebabkan kawasan pekan Kuala Klawang lengang kerana tidak dikunjungi penduduk sekitar.

“Saya difahamkan, setakat ini bas hanya beroperasi di satu laluan saja iaitu Jelebu ke Seremban sedangkan laluan ke Simpang Pertang dan Chennah tidak ada sedangkan kawasan tersebut mempunyai ramai penduduk.

“Ketiadaan perkhidmatan bas turut menyebabkan kesukaran pelajar untuk ke sekolah pada setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Berikutan masalah itu, katanya, kebanyakan penduduk termasuk pelajar sekolah terpaksa mengambil risiko sendiri dengan menunggang motosikal dan dikhuatiri ramai tidak mempunyai lesen memandu.

“Ada antara penduduk kampung yang terpaksa bergantung kepada teksi sapu yang mengenakan kadar sewaan tinggi serta membebankan,” katanya.

Selain itu, beliau berpendapat, sekiranya masalah pengangkutan awam ini dapat diatasi, ia akan menggalakkan penduduk tempatan tinggal di kampung dan bekerja di bandar seperti yang dilaungkan kerajaan sebelum ini.

Bagi Adam Ahmad, 20, beliau turut mengakui perkhidmatan bas awam di sekitar Jelebu masih belum memuaskan dan perlu dipertingkatkan untuk keperluan orang ramai.

Pelajar Kolej Komuniti Jelebu dekat Titi itu berkata, walaupun ada antara laluan yang mempunyai perkhidmatan bas tetapi kekerapannya tidak menentu sehingga memaksa mereka menunggu lama.

“Pernah kami terpaksa menunggu sehingga hampir dua jam untuk mendapatkan perkhidmatan bas ke Titi. Secara purata kami terpaksa menunggu sekitar 45 minit untuk satu bas,” katanya.

Sementara itu, Khairol Yazid, 32, pula berharap masalah pengangkutan awam yang membabitkan penduduk sekitar Jelebu ini diatasi dengan segera bagi memastikan aktiviti seharian penduduk di situ tidak terjejas.

“Saya memohon pihak yang berkenaan untuk mengkaji dengan segera masalah pengangkutan awam ini kerana Jelebu kini semakin membangun dengan pelbagai tempat-tempat menarik untuk dikunjungi dan rugi jika kita tidak memanfaatkan kelebihan ini,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2082304.asp


Penduduk Tampin resah bas awam kurang
Sinar Harian 24 Okt 08
TAMPIN - Kekurangan bas di daerah ini menyusahkan penduduk yang menggunakan perkhidmatan terbabit untuk ke destinasi masing-masing.

Menurut mereka, masalah itu menyebabkan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri di sesetengah tempat menghadapi kesukaran untuk menuju ke tempat yang diingini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, penduduk memohon pihak bertanggungjawab supaya menambah bilangan bas dan juga destinasi bas terbabit bagi memudahkan orang ramai.

Md Hanafi Md Hanafiah, 24, berkata ketiadaan kenderaan awam telah menyukarkan pergerakan mereka terutama golongan warga emas yang ingin mendapatkan rawatan di bandar.

“Kekurangan perkhidmatan bas ini amat dirasai sehingga ada penduduk di sesetengah tempat terpaksa mencari alternatif lain untuk bergerak ke destinasi masing-masing.

“Malah, ada juga penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman terpaksa menumpang kereta jiran dan orang tidak dikenali untuk pergi ke kawasan yang mempunyai perkhidmatan awam berkenaan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu telah menyebabkan ramai penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk pergi ke tempat yang mereka hendak dituju.

“Jika perkara ini tidak diambil perhatian, saya khuatir ia akan mendatangkan masalah besar bagi sesetengah penduduk yang tinggal jauh di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai kenderaan sendiri,” katanya.

Bagi Mohd Shafik Rusdi, 27, dia memohon kepada pihak terbabit supaya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pengguna kenderaan awam berkenaan.

“Kami semua mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan tetapi kalau perkhidmatan bas yang sepatutnya memudahkan orang ramai tidak mencukupi, susahlah kami,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2083402.asp