FORUM

FORUM

KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

9/21/08

PAS Komited Jadikan NS Negeri Kebajikan

PAS Negeri Sembilan komited menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri kebajikan selaras dengan saranan Presiden PAS Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara kebajikan. Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan , Sdr Zulkefly Mohamad Omar dalam jelajah menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar Panchor , Ulu Beranang dan beberapa kawasan di DUN Lenggeng.

Siri jelajah rumah ke rumah menjejaki fakir miskin dan keluarga yang memerlukan ini adalah sebahagian dari Program Sekampit Beras Setiap Keluarga Setiap Bulan yang dilancarkan oleh PAS Negeri Sembilan beberapa bulan yang lalu. Menurut Zulkefly lagi program jelajah ini diperhebatkan lagi pada bulan Ramadhan ini , dan adalah merupakan program berterusan sepanjang tahun.

Zulkefly juga menegaskan bahawa semua ketua-ketua cawangan PAS termasuk wakil rakyat tunggal PAS di DUN Paroi telah digesa agar menjejaki keluarga miskin di setiap ceruk kampung dan kawasan perumahan , kerana terdapat beberapa laporan yang telah diterima bahawa ada keluarga yang benar-benar susah tidak mendapat bantuan kemungkinan mereka ini terlepas pandang oleh Penghulu , Ketua Kampung , Wakil Rakyat , Pegawai Kebajikan atau Pegawai Baitul Mal di kawasan mereka.

Walaupun negara kita telah mencapai kemerdekaan 51 tahun yang lalu, dan sekarang rakyat menikmati pelbagai kemudahan antaranya bekalan elektrik , namun semua ini tidak bermakna jika rakyat tidak mampu membayar bil elektrik , tambah beliau lagi. Hakikat ini didedahkan oleh Saudara Hassan Tamby selaku Pembantu Khas ADUN Paroi yang mengatakan bahawa baru-baru ini terdapat beberapa keluarga yang datang mengadu nasib di Pusat Khidmat DUN Paroi yang bekalan elektrik telah dipotong kerana tidak mampu untuk membayarnya memandangkan gaji mereka yang rendah.

Program membantu keluarga yang memerlukan dari rumah ke rumah ini telah disemarakkan lagi dengan kehadiran rombongan Dewan Muslimat PAS Pusat yang menghulurkan bantuan sumbangan pada 21 September 2008 yang lalu di Seremban. Program Singgah Iftar Dewan Muslimat PAS Pusat yang diketuai oleh Saudari Aiman Athirah Al Jundi selaku Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat adalah sebahagian program jelajah seluruh Malaysia untuk menjejaki dan membantu fakir miskin yang keciciran.

Mengulas lanjut Zulkefly menegaskan PAS Negeri Sembilan amat prihatin akan nasib rakyat di negeri ini yang semakin terhimpit akibat kenaikan harga barangan dan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dan saingan yang banyak dalam perniagaan. Apa yang penting ialah membantu mereka yang memerlukan ini dari segi keperluan asas. PAS Negeri Sembilan berhasrat agar negeri ini sifar murid yang keciciran di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. PAS Negeri Sembilan juga berhasrat setiap isi rumah di negeri ini tidak keputusan makanan asasi iaitu beras , disamping bekalan tenaga samada air yang bersih dan bekalan elektrik. Apabila keperluan asas rakyat negeri ini dapat dipastikan maka kita mengharapkan masalah keciciran pelajar , kekurangan zat makanan , gejala sosial , masalah jenayah akan dapat dikurangkan dengan drastik.

Zulkefly menegaskan lagi program ini tidak akan berjaya tanpa sokongan ahli dan orang ramai , baik dari segi bantuan tenaga , kewangan dan setidak-tidaknya doa. Mereka yang ingin menghulurkan bantuan untuk keluarga yang memerlukan di Negeri Sembilan bolehlah menghubungi Setiausaha Kerja PAS N.Sembilan Sdr Suhairi 019-2998345 atau Setiausaha Badan Perhubungan PAS N.Sembilan Sdr Shamsul 019-6532973. Ini adalah kerana senarai keluarga yang memerlukan bantuan ini semakin bertambah hari demi hari apabila mereka turun padang.

Blog baru Pemuda PAS N.Sembilan dan Jempol

Berikut adalah Blog terbaru Pemuda PAS N.Sembilan di http://dppn9.blogspot.com dan Pemuda PAS Jempol di http://pemudapasjempol.blogspot.com . Selamat melayarinya.

9/18/08

Ulama Muda PAS perlu direformasi

Petikan temubual bersama Tok Guru Nik Abd Aziz ( Hebat sungguh Tok Guru kita , walaupun diusia emas , tapi pemikiran glokal , muda dijiwa ) :

Saya lihat apa yang berlaku sekarang ini adalah ulama kita tidak berkembang.

Saya bersetuju dengan pandangan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa kepimpinan golongan tersebut (ulama), terutamanya golongan muda di bawah 40 tahun, kurang berkesan dan tidak menguasai ilmu-ilmu kontemporari.

Saya lihat masalah ini boleh ditangani dengan ulama menubuhkan satu unit yang dilatih untuk mendekati masyarakat bukan Islam.

Jika dijemput, kita kena terima jemputan daripada orang bukan Islam.Termasuk di kuil, seperti mana saya dijemput oleh orang Hindu menyampaikan ceramah di kuil tidak lama lagi. Apa yang penting, kita kena jaga hati mereka, jangan bagi terguris.

Pada masa yang sama, mesti ada ulama yang ada daya fikir untuk buat agenda baru. Maksud saya kaedah baru contohnya berdakwah dengan kartun.

Bentuk unit orang-orang muda dan bantu orang bukan Islam.

Tulis buku tentang hujah untuk melawan sekular, kebangsaan.

Macam saya sebut tadi, dewan ulama boleh tubuhkan unit khas untuk dekati mereka yang dikategorikan seperti orang bukan Islam, tinggal di bandar, masuk ke tempat-tempat yang di kalangan ulama ini sukar untuk pergi.

Kita buat pelan tindakan yang tersusun. Ini proses dakwah yang mesti dibuat secara berterusan.

Temuramah penuh di http://sanggahtoksago.blogspot.com/2008/09/nik-aziz-setuju-mohamad-sabu-kata-ulama.html

9/15/08

PAS turun padang bantu keluarga susah di DUN Kota

Dalam dua program Jejak Ukhuwah Ramadhan 2 di DUN Kota dalam parlimen Rembau yang dilanjurkan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Rembau yang diketuai oleh Pengerusinya Tuan Haji Abd Roni bersama Pemuda PAS Kawasan Rembau dan MTD DUN Kota, sebanyak 40 bungkusan barangan keperluan dimana setiap bungkusan mengandungi beras 5 kilo, gula 2 kilo, tepung 2 kilo, minyak 2 paket dan susu pekat 2 tin telah diagihkan kepada ibu-ibu tunggal, ibu-ibu tinggal dan fakir miskin di sekitar DUN Kota.

Dalam 2 hari lawatan dari rumah ke rumah pada 7 Sept dan 14 Sept yang lalu, maklumbalas dari penerima amat baik dan sumbangan dari PAS adalah merupakan sumbangan yang pertama sampai kepada mereka.

Ada di kalangan penerima yang kematian suami yang membesarkan 7 anak dengan hasil getah peninggalan arwah suami. Ada sebahagian anak yang tidak dapat bersekolah.
Ada juga di kalangan ibu tinggal yang menyara diri dan anak dengan membantu kedai makan yang menyewa rumah kampung dengan sewaan RM150. Ada sesetangah ibu tunggal yang sudah lanjut usia tinggal keseorangan di rumah yang uzur kerana anak-anaknya yang sudah pun bercucu tinggal di Kuala Lumpur. Ada di kalangan ibu tinggal yang sakit mental yang mempunyai 2 anak ditinggalkan oleh suami kepada ibu mertua yang juga ibu tunggal. Dan banyak lagi penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh rakyat di sekitar DUN Kota.

Sehubungan dengan itu Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Rembau menyeru kepada semua ahli dan orang ramai untuk bersama turun padang membantu meringankan keperitan dan penderitaan rakyat.

Menurut Tn Hj Shukri selaku Ketua Pemuda PAS Kawasan Rembau , aktiviti sebegini adalah merupakan Madrasah Ramadhan secara praktikal dimana mereka yang turun ke medan masyarakat merasa insaf bahawa kemewahan dan apa yang Allah kurniakan kepada kita adalah jauh lebih baik dari kemiskinan dan kedaifan yang dilalui oleh orang-orang miskin.

Program Jejak Ukhuwah Ramadhan seterusnya akan menemui keluarga fakir miskin di DUN Chembong dan DUN Rantau pada 20 dan 27 September 2008 ini.

Kepada mereka yang ingin menghulurkan sumbangan atau turut serta dalam program ini bolehlah menghubungi Tn Hj Abd Roni 012-2268230 atau Tn Hj Shukri 017-2446215.

9/11/08

Begitu Mudah Untuk Menjadi Bijak

Majlis Pelancaran Kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’
Program Sayangi Remaja peringkat Negeri Sembilan.
Tarikh : 13 Sept 2008 (Sabtu)
Tempat : Masjid Bandar Baru Senawang, Seremban
Masa : 4.00 petang – 8 malam (Lepas Asar dan disudahi dengan majlis Berbuka Puasa)
Penceramah Jemputan: Roha Hasan, AJK Wanita JIM Pusat.
Anjuran : Wanita Pertubuhan Jamaah Islah (JIM) Negeri Sembilan dengan kerjasama Masjid Bandar Baru Senawang

Semua dijemput hadit terutamanya para remaja, belia, guru-guru, pelajar sekolah atau sesiapa sahaja yang prihatin terhapa kebajikan dan kesihatan remaja.

Maklumat lanjut Kempen ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ boleh dirujuk dalam beberapa pautan seperti berikut:
http://mejawanitajim.blogspot.com/2007/05/anda-bijak-jauhi-zina.html
http://krjpetaling.blogspot.com/
http://intim.wordpress.com/2007/07/03/seks-bebas-di-kalangan-remaja-membimbangkan/

9/9/08

Buka Puasa Bersama Timb Presiden PAS 13 Sep Jelebu

Majlis Iftar dan Ceramah bersama Timbalan Presiden PAS
Sabtu 13 September 2008
Di Rumah Tuan Hj Kateran Marman , 161, Pasoh Satu, Simpang Pertang, Jelebu, N.Sembilan

Aturcara :
7:00 mlm – Ketibaan tetamu
7:13 mlm – Buka Puasa, Solat Maghrib
8:25 mlm – Solat Isya, Tarawih
9:30 mlm – Ceramah Umum bersama YB Ust Nasharudin Mat Isa dan Sdr Zulkefly Mohamad Omar

Semua Dijemput Hadir

Program Bantuan Fakir Miskin BPP N.Sembilan

Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan memberi peluang kepada tuan/puan muslimin dan muslimat semua untuk menyumbang dalam Program Bantuan Fakir Miskin BPPNS sempena Ramadhan dan Syawal 1429 Hijrah.

Antara sumbangan yang boleh disampaikan ialah :
1. Beras sekampit 5 kg - RM 18
2. Minyak masak 2 kg – RM 7
3. Gula 2 kg – RM 5
4. Tepung gandum 2 kg – RM 6

Sumbangan boleh dihantar ke :

Pusat Pengumpulan Program Bantuan Fakir Miskin BPPNS
Lot 13015, Bt 3 , Jalan Kuala Pilah
Kg Gedung Lalang Lama, Ampangan
70400 Seremban
( Rumah Ketua Penerangan PAS N.Sembilan , sebelah Surau Hitam)

atau hubungi :
Tn Hj Abd Aziz Md Isa 016-2076045
Cikgu Hassan Md Taha 013-3426346
Sdr Suhaire Sulaiman 019-2998345

9/5/08

Bertindak jika benar diperangkap

Sinar Harian 5 Sep 2008

SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan menyarankan agar pemimpin politik di negeri ini yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR), baru-baru ini kerana disyaki terlibat dengan rasuah supaya bertindak segera sekira benar beliau diperangkap atau dianiaya pihak tertentu.

Ini termasuk mengemukakan saman terhadap BPR sekiranya mereka benar-benar tidak terlibat dengan kegiatan itu, sepertimana yang dilakukan dua Exco Kerajaan Negeri Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) lalu.

Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar berkata, walaupun BPR berhak untuk menyiasat, tetapi pemimpin berkenaan juga mempunyai hak sebagai individu yang teraniaya untuk membuktikan beliau tidak bersalah.

“Soal diperangkap atau tidak, dia kena buktikan. Dia boleh saman BPR sepertimana Exco Kerajaan Negeri Perak yang mendakwa laporan yang disiarkan dalam media bercanggah antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini saya tidak nampak lagi kenyataan dia (pemimpin itu) atau tindakan menyaman BPR,” katanya.

Oleh sebab itu, katanya, semua pihak tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi berhubung tindakan BPR menahan pemimpin berkenaan, termasuk menyebarkan berita bahawa pemimpin tersebut diperangkap.

“Kita mahu BPR berani membuat siasatan sepertimana kes di Perak. Kalau dibiarkan, ia akan jadi satu masalah besar membabitkan amalan rasuah yang semakin berleluasa,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat lawatan penduduk di Jalan Tuanku Antah, di sini semalam. Turut serta, Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Taufek Abdul Ghani.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, kelmarin yang memberi kenyataan seolah-olah mempertahankan kedudukan pemimpin tersebut.

Pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, kelmarin, Mohamad tidak menolak kemungkinan dalam satu situasi, ada pihak yang memang hendak melihat pihak yang satu lagi jatuh dengan melakukan pelbagai cara, termasuk memasang perangkap yang boleh memusnahkan masa depan individu terbabit.

Dalam pada itu, Zulkefly berkata, kenyataan Mohamad yang juga Menteri Besar itu seolah-olah mempertikaikan tindakan menahan pemimpin berkenaan yang didakwa ada kaitan dengan pemilihan UMNO.

“BPR telah cukup bukti dan maklumat untuk ambil tindakan. Kalau MB mengatakan ia satu perangkap, saya rasa kenyataan itu agak dangkal. Sepatutnya beliau melihat perkara ini dengan lebih serius kerana ia melibatkan seorang wakil rakyat,” katanya.

Ahad lalu, ADUN Lenggeng, Mustafa Salim ditahan BPR di sebuah restoran di Mantin, selepas disyaki menerima suapan RM2,000 daripada seorang kontraktor.

Mustafa, 50, yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban yang menawarkan diri bertanding satu daripada jawatan tinggi bahagian itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000.

Sementara, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang, 47, pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen, di sini Selasa lalu atas dua tuduhan merasuah seorang Ketua UMNO Cawangan awal bulan lalu sebagai dorongan supaya mencalonkannya sebagai Ketua UMNO Bahagian itu.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1927659.asp

9/4/08

Majlis Berbuka Puasa 6 Sep Seremban

Majlis Berbuka Puasa dan Ceramah Umum
Bagi meraikan petugas PAS pada Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh
Semua Dijemput Hadir

SABTU 6 September 2008
6 petang – 12 tgh malam
Di Markas PAS Cawangan Ampangan (sebelah Surau Hitam), Seremban

Penceramah :
Ust Abd Ghani Abd Rahman – Pesuruhjaya PAS Melaka
Sdr Zulkefly Mohamad Omar – Pesuruhjaya PAS N.Sembilan
YB Dato Kamarul Baharin – Pengerusi PKR N.Sembilan / Ahli Parlimen Telok Kemang

Aturcara :
Tazkirah
Majlis Berbuka Puasa
Solat Maghrib
Solat Isya / Tarawih
Ceramah Umum

Anjuran : PAS N.Sembilan

9/3/08

Laporan Audit dedah banyak kelamahan Halal JAKIM

Berikut sebahagian daripada Laporan Ketua Audit Negara 2007 yang mendedahkan beberapa kelemahan dalam Sistem Persijilan Halal JAKIM.

…….Pihak Audit telah memilih 45 sampel produk yang menggunakan logo halal JAKIM yang dijual di pasaran antara bulan Februari hingga awal bulan Mac 2008 mendapati hanya 31 produk menggunakan logo yang masih sah.

Memandangkan jawatan Gred F41 adalah diperlukan oleh Bahagian Hub Halal untuk menyelenggarakan sistem maklumat Sijil Halal terutamanya menguruskan portal e-Halal yang sentiasa digunakan perkhidmatannya oleh orang ramai, jawatan tersebut adalah tidak wajar dipinjamkan ke Bahagian ICT.

Semakan Audit mendapati 13 pegawai Bahagian Hub Halal telah diwartakan sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan pada 15 September 2003 selaras dengan Seksyen 26 Akta Perihal Dagangan 1972. Bagaimanapun daripada 13 pegawai ini, didapati 6 telah berpindah ke jabatan lain, 2 telah bersara dan seorang telah meninggal dunia.

Permohonan telah dibuat oleh JAKIM pada 10 Oktober 2007 kepada KPDNHEP untuk membolehkan 79 pegawainya dilantik sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan, namun sehingga kini masih belum ada maklum balas terhadap permohonan tersebut.

Pihak Audit telah membuat semakan terhadap 849 permohonan yang telah mendapat Sijil Halal pada tahun 2006. Mengikut Piagam Pelanggan JAKIM, Sijil Halal perlu dikeluarkan dalam tempoh 4 bulan selepas caj perkhidmatan diterima serta memenuhi segala prosedur dan syarat pengesahan halal yang ditetapkan. Semakan Audit mendapati sebanyak 573 permohonan (67.4%) telah dikeluarkan Sijil Halal dalam tempoh yang ditetapkan manakala 245 permohonan (28.9%) telah dikeluarkan Sijil Halal melebihi tempoh yang ditetapkan. Selain itu, 31 permohonan (3.7%) telah dikeluarkan Sijil Halal sebelum bayaran caj perkhidmatan dijelaskan oleh pemohon.

Proses pemeriksaan premis mengambil masa sehingga melebihi 4 bulan disebabkan oleh faktor-faktor berikut :-
• Kekurangan pegawai terutamanya bagi Unit Kajian Dan Pengesahan, Cawangan Pengeluaran Sijil Halal Dan Logo halal yang terlibat secara langsung dengan kerja-kerja pemeriksaan premis. Mengikut struktur organisasi Bahagian Hub Halal, didapati
Unit ini mempunyai 8 kekosongan jawatan melibatkan Gred C48/S44/C44/S41/S27 mengakibatkan bebanan kerja kepada pegawai sedia ada. Sebagai contoh, permohonan Sijil Halal bagi tahun 2007 adalah sebanyak 1,355.
• Kekurangan kenderaan di Bahagian Hub Halal untuk menampung 10 kumpulan pemeriksa bagi menjalankan operasinya yang merangkumi seluruh negara.


3.5. RUMUSAN DAN SYOR AUDIT
3.5.1. Pada umumnya, JAKIM telah merancang pengurusan pensijilan halal dengan baik. Bagaimanapun dari segi pelaksanaannya, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Antara kelemahan tersebut adalah beberapa jawatan yang menguruskan pensijilan halal masih belum diisi sejak penstrukturan semula diluluskan pada tahun 2005; hanya sebilangan kecil pegawai JAKIM diberikan kuasa untuk menjalankan pensijilan halal dan penguatkuasaan; aktiviti penguatkuasaan masih kurang berkesan dan ini terbukti di mana wujudnya produk menggunakan logo halal JAKIM secara tidak sah di pasaran. Selain itu, masa yang lama diambil untuk memproses permohonan dan mengeluarkan Sijil Halal.

3.5.2. Pada 2 April 2008, Kerajaan telah memutuskan supaya aktiviti pensijilan halal diambil alih oleh Halal Development Corporation (HDC). Bagaimanapun sehingga 1 Jun 2008, urusan ini masih lagi dikendalikan oleh JAKIM kerana beberapa perkara yang berkaitan perlu diselesaikan sebelum ia diserahkan kepada HDC. Sehingga HDC mengambil alih urusan ini, JAKIM perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang telah dibangkitkan. Sehubungan ini, adalah disyorkan supaya JAKIM memberikan pertimbangan kepada perkara-perkara berikut :-

a. Memastikan jawatan-jawatan penting seperti ketua cawangan/unit serta pegawai yang terlibat dalam membuat keputusan tentang pemberian Sijil Halal diisi sepenuhnya dengan segera bagi menjamin urusan pensijilan halal berjalan dengan lancar.

b. Memandangkan Bahagian Hub Halal menyelenggarakan sistem maklumat Sijil Halal terutamanya menguruskan portal e-Halal yang sentiasa digunakan perkhidmatannya oleh orang ramai, urusan ini hendaklah dikendalikan oleh seorang pegawai sistem maklumat secara sepenuh masa.

c. Mengkaji semula penurunan kuasa yang terhad bagi membolehkan pegawai JAKIM untuk menjalankan aktiviti pensijilan halal dan penguatkuasaan dengan berkesan. JAKIM perlu memastikan pegawai-pegawainya yang terlibat dalam aktiviti pensijilan halal diwartakan dan mempunyai kad kuasa sepertimana yang dikehendaki di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

d. Memantau proses pemeriksaan pensijilan halal untuk memastikan ia dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Bagi tujuan tersebut, JAKIM perlu menetapkan norma masa bagi melaksanakan aktiviti ini.

e. Memandangkan terdapat produk-produk yang menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh JAKIM, pemeriksaan juga perlu dijalankan terhadap produkproduk berkenaan. Ini adalah penting bagi memastikan produk-produk tersebut dipastikan kesuciannya. Ini juga adalah selaras dengan misi Bahagian Hub Halal untuk memastikan produk yang menggunakan Sijil Pengesahan Halal atau yang
menggunakan perbahasaan halal adalah suci dan halal mengikut lunas syarak.

f. Bagi membolehkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan dengan berkesan, semua kemudahan dan peralatan yang diperlukan seperti kenderaan, kamera dan sebagainya hendaklah disediakan dengan secukupnya.

g. Bagi produk-produk yang telah ditarik balik Sijil Halal, adalah disyorkan agar produk-produk yang terlibat dihebahkan kepada pengguna melalui akhbar, laman web dan lain-lain media tentang status produk-produk tersebut.

h. Selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri bahawa hanya logo halal JAKIM yang patut digunakan pada produk dan makanan, JAKIM patut mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan penggunaan logo berkenaan dan proses pensijilan halal yang seragam diikuti oleh Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri. Ini adalah juga penting untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai.

i. Sistem e-Halal patut diperluaskan untuk memasukkan maklumat berhubung dengan status halal produk yang mendapat Sijil Halal daripada Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri.

Dimuat turun dari http://www.mpkapar.com/manikavasagam/wp-content/uploads/2008/09/laporan-ketua-audit-negara-2007.pdf

9/1/08

Siasatan Rasuah ADUN Lenggeng, BPR N.Sembilan perlu telus




Sidang Akhbar bersama pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Sembilan di Pejabat YB Loke Siew Fook , Seremban pada Isnin 1 September 2008 mengenai siasatan rasuah ADUN Lenggeng YB Mustafa Salim berkaitan projek melombong pasir.

*******************
Seremban - Pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Sembilan hari ini menggesa pihak Badan Pencegah Rasuah agar mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan siasatan kes penahanan ADUN Lenggeng yang dikatakan telah menerima wang suapan sebanyak RM2,000 dari seorang kontraktor yang menjalankan kegiatan melombong pasir agar tidak dilaporkan kegiatannya kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan.

Menurut YB Loke Siew Fook yang juga merupakan Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, pendakwaan haruslah dilakukan dengan segera serta dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan sepertimana yang dilakukan terhadap 2 orang EXCO Pakatan Rakyat di Perak baru-baru ini.

YB Loke juga mengharapkan agar pihak BPR tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mendakwa pihak yang terlibat. Ini adalah kerana menurut beliau sebelum ini BPR telah menahan bekas ADUN Palong lebih kurang 5 tahun lalu tetapi hingga ke hari ini kes tersebut masih belum dilakukan pendakwaan apatah lagi dibicarakan di mahkamah. Di samping itu menurut beliau lagi terdapat beberapa kes lain yang melibatkan wakil rakyat dan ahli politik Barisan Nasional Negeri Sembilan yang belum dilakukan sebarang pendakwaan walaupun BPR telah melakukan penahanan untuk siasatan sebelum ini.

YB Loke juga menggesa agar pihak BPR tidak mengamalkan dasar pilih kasih dalam kes siasatan yang melibatkan ahli politik Barisan Nasional dimana dalam kes penahanan ADUN Lenggeng tersebut BPR telah didapati tidak memberikan kerjasama kepada pihak media untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut. Ini menurut beliau akan memberikan pelbagai spekulasi kepada umum.

Ini amat berbeza sekali dengan kes penahanan 2 orang EXCO Perak baru-baru ini di mana pihak BPR telah membenarkan pihak media menyiarkan gambar 2 orang EXCO tersebut digari , ditahan reman selama beberapa hari , diikat jamin dan dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan dalam tempoh kurang seminggu. Sedangkan dalam kes penahanan YB Mustafa Salim , beliau telah dibebaskan dengan jaminan mulut sahaja dan ditahan tidak sampai setengah hari.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan , Zulkefly Mohamad Omar menyatakan PAS Negeri Sembilan sebelum ini telah banyak membuat laporan BPR terhadap pimpinan Barisan Nasional di negeri ini, namun tiada sebarang penahanan serta pendakwaan yang dilakukan terhadap kes-kes yang dilaporkan. Malah beliau menyatakan laporan BPR yang dibuat oleh pemimpin Umno sendiri terutamanya oleh bekas ADUN Lenggeng iaitu Dato Ishak Ismail dalam beberapa isu , juga hingga ke hari ini tiada sebarang pendakwaan dilakukan oleh pihak BPR.

YB Tuan Hj Aminuddin ADUN Sikamat pula menegaskan bahawa rakyat di Negeri Sembilan ini sudah mula hilang keyakinan terhadap keberkesanan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan kerana banyak kes perlombongan pasir dan pembalakan yang dijalankan tanpa lesen telah dilaporkan oleh media perdana akhir-akhir ini di Negeri Sembilan. Ianya menunjukkan bahawa hasil bumi Negeri Sembilan begitu mudah ‘dirompak’ oleh mereka yang rakus. Justeru itu penguatkuasaan agensi yang berkaitan haruslah diperkemaskan dari masa ke semasa.

Sementara itu YB Rashid ADUN Ampangan yang turut hadir dalam sidang media juga menyatakan bahawa tanggapan rakyat pada ketika ini ialah rasuah begitu sinonim dengan wakil rakyat. Justeru itu semua wakil rakyat haruslah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat serta mengelakkan diri dari terbabit dengan rasuah di semua peringkat.

Antara yang hadir dalam sidang media tersebut ialah YB Loke Siew Fook Pengerusi DAP N.Sembilan, Sdr Sabaruddin Setiausaha PKR N.Sembilan, Sdr Zulkefly Mohamad Omar Pesurujaya PAS N.Sembilan, ADUN Temiang, ADUN Bukit Kepayang, ADUN Sikamat dan ADUN Ampangan.