Utusan Malaysia 15 Sep 09
SAYA salah seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Negeri Sembilan (NS), ingin melahirkan rasa sedih di atas apa yang berlaku kepada kami yang hanya mendapat elaun bukan gaji sebanyak RM500 sebulan.
Bagi kami di NS, sudah berapa kali disajikan dengan cerita kenaikan tetapi sampai sekarang masih tiada apa-apa berita.
Pada awal tahun, penyelia Kafa telah memberi jaminan jika Kafa Wilayah Persekutuan mendapat kenaikan elaun maka kami di Negeri Sembilan mungkin akan mengikut jejak yang sama.
Kemudian pertengahan tahun, kami diberitahu bahawa Jakim akan menyemak elaun kami dan daripada pihak Cuepacs pun ada mencadangkan agar guru Kafa dijadikan jawatan tetap.
Tetapi apa yang amat menyedihkan sampailah surat ini ditulis, semua khabar itu umpama mainan politik sahaja.
Apakah kami yang lulusan agama ni tidak layak untuk menikmati kemudahan seperti kakitangan awam yang lain.
Cubalah pembaca sekalian mencongak apa yang kami boleh buat dengan elaun RM500 itu?
Tidak cukup sampai hujung bulan pun, kami termasuk dalam kategori rakyat termiskin.
Memanglah kami mengajar hanya 10 jam seminggu tetapi sepenuh masa di dalam kelas walaupun ada pertukaran kelas.
Tidak seperti guru KPM yang mengajar sebelah pagi walaupun 6 jam di sekolah bukan sepenuh masa ada kelas, sekurang-kurangnya mereka ada masa untuk berehat.
Hari ini kakitangan sokongan mendapat duit raya sebanyak RM500 walaupun gaji mereka hampir RM1,000 sebulan.
Guru Kafa mahu merasa duit raya, nampaknya tidak adalah.
Alasan yang selalu diberi biarlah kita ini bekerja kerana Allah.
Maaflah andai surat ini mengganggu JAKIM, JAINS dan sesiapa yang terlibat, tetapi inilah luahan rasa hati kami guru-guru KAP yang sekadar bergantung kepada elaun RM500 untuk hidup.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htmUcapan Sidang DUN N.Sembilan oleh ADUN Paroi pada April 2010http://mohdtaufek.blogspot.com/2010/04/ucapan-sidang-dun-2010siri-2-terakhir.htmlYB Dato’ Yang Dipertua,
Selaku orang yang diamanahkan bagi pihak Pakatan Rakyat NS untuk berperanan dalam Portfolio Agama, saya tanpa rasa jemu akan terus mendesak Kerajaan NS supaya menaikkan elaun guru-guru KAFA di Negeri Sembilan yang hanya berjumlah RM500 sahaja. Walaupun kerajaan Negeri Sembilan telah melaksanakan Kelas Agama Petang (KAP) tetapi masih ada sebahagian pelajar yang belajar di Sekolah Agama Rakyat (SARA) di bawah bimbingan guru KAFA yang hanya menerima elaun RM500 dari peruntukan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM). Elaun RM500 adalah dibawah garis kemiskinan yang ditetapkan di peringkat pusat ie RM750.
Harapan kita agar Kerajaan NS dapat mencontohi Kerajaan Pulau Pinang yang kerapkali dicop kononnya sebagai kerajaan anti Melayu / anti Islam dan juga Kerajaan Selangor yang telah menaikkan elaun guru-guru KAFA sehingga mencecah RM1000 , satu kali ganda lebih banyak dari elaun-elaun guru-guru KAFA di N.Sembilan.
Akhirnya saya berdoa mudah-mudahan segala usaha kita bersama bukan sahaja di pihak kerajaan bahkan kami juga , pihak Pakatan Rakyat turut berusaha untuk kebaikan rakyat akan diberkati Allah.
Yakinlah kita bahawa jika kita gagal berperanan untuk kebaikan dan keadilan semua pihak, rakyat akhirnya akan menjadi hakim kepada kita semua dan ingatlah kuasa dan kerajaan yang kita miliki tidak akan kekal selama-lamanya kerana Allah akan mengurniakan kuasa dan kerajaan ini kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Setakat inilah sahaja ucapan saya , sekali lagi terima kasih kepada YB Dato Yang Dipertua.
Saya dengan ini menyatakan sokongan saya kepada Usul Terima kasih atas Titah Ucapan Diraja.
Bela nasib guru KafaSinar Harian 30 April 2010
SEREMBAN – Organisasi Kelas Agama al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini lebih terbela sekiranya menggunakan platform persatuan untuk menjaga kebajikan guru Kafa.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Johani Hassan berkata, penubuhan persatuan bukan sahaja berperanan menjaga kebajikan ahli, sebaliknya mampu meningkatkan peranan dan organisasi pendidikan Islam di negeri ini.
“Isu elaun guru Kafa dikatakan berada di bawah kadar kemiskinan dan perkara ini ada disebut dalam sidang dewan.
“Guru Kafa jangan berfikir kami di pihak jabatan tidak mengambil perhatian isu ini kerana kami sentiasa memikirkan cara untuk mempertingkatkan imej dan peranan guru Kafa,” katanya pada Mesyuarat Agung Persatuan Guru-guru Kafa daerah Seremban kali ke-4 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini.
Menurutnya, persatuan diharap dapat dijadikan saluran guru Kafa memperjuangkan pelbagai perkara melibatkan kepentingan dan kebajikan mereka.
Peranan persatuan tingkatkan sistem Islam
Selain itu, menurutnya, pendidikan agama Islam perlu dipertingkatkan bersesuaian keadaan semasa dan persatuan untuk dijadikan penggerak kepada perubahan yang perlu dilakukan dalam usaha melahirkan pembangunan modal insan cemerlang dan bersahsiah.
“Sistem sedia ada perlu ditingkatkan dan usaha ini dapat dimulakan dengan persatuan. Platform persatuan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Cari kaedah untuk pertingkatkan peranan guru Kafa dan berada pada kedudukan meyakinkan masyarakat terhadap institusi Kafa,” katanya.
Bagaimanapun, dia menasihatkan guru Kafa turut memainkan peranan tanpa perlu meyerahkan segalanya kepada pihak tertentu.
Persatuan perlu lakukan transformasi
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guru-guru Kafa Daerah Seremban, Zulkifli Muhamad berkata, sudah tiba masanya persatuan melakukan transformasi bagi membela kebajikan guru Kafa.
Menurutnya, model gerak kerja baru perlu dirangka untuk merealisasikan usaha pembelaan kebajikan guru Kafa.
“Usia penubuhan persatuan ini mencecah tujuh tahun. Sepatutnya peranan dan fungsinya dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.
“Pembelaan kebajikan guru Kafa mesti menjadi agenda penting dalam perancangan persatuan dan kebajikan serta perlu merangkumi beberapa aspek seperti memperjuangkan kenaikan elaun menyediakan akses pendidikan lebih tersusun untuk mempertingkatkan keilmuan guru Kafa sekali gus mencari jalan memantapkan ekonomi persatuan,” katanya.
Menurutnya, pintu perbinca-ngan ke arah memantapkan peranan persatuan perlu dibuka dengan mengalu-alukan percambahan buah fikiran bukan sahaja dalam kalangan ahli sebaliknya daripada orang luar.
Ejen pembangunan modal insan
Dalam pada itu, menurutnya, mereka perlu menjenamakan semula peranan masyarakat tidak hanya sebagai pendidik.
Zulkifli berkata, guru Kafa perlu mentransformasi diri sebagai ejen pembangunan modal insan.
“Mereka mesti menjuarai peranan membangunkan modal insan dengan mengambil kira beberapa isu nasional melibatkan gejala sosial seperti kes pembuangan bayi menjadi antara bahan pengajaran mereka,” katanya.
Kebajikan lebih terjaga
Guru Kafa ditemui, Zairos Zawawi, 34, berkata, melalui persatuan, nasib guru Kafa lebih terbela apabila terdapat ruang untuk setiap ahli membangkitkan pelbagai isu berkaitan.
Menurutnya, jika sebelum ini sebarang permasalahan dihadapi hanya disebarkan sesama guru, tetapi dengan adanya persatuan menjadikan suara guru Kafa lebih didengari.
“Sebelum ini, kami selalu merungut berhubung elaun RM500 sebulan yang dirasakan tidak mencukupi.
“Selepas ini, mungkin melalui suara persatuan kami boleh membangkitkan isu ini tanpa perlu rasa bimbang,” katanya.
Guru Kafa Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tasik Jaya, Nor Asma’ Mohd Zin, 32, berkata, persatuan dapat memantapkan bidang kerja guru Kafa.
“Pelbagai perkara dapat dikongsikan bersama untuk kepentingan pendidikan Kafa di setiap tempat sekali gus melahirkan generasi celik al-Quran.
“Sekalipun sudah lima tahun menjadi guru Kafa, tetapi ini pertama kali saya mendaftarkan sebagai ahli persatuan setelah menyedari persatuan ini mampu menjadi saluran memperjuangkan kebajikan kami,” katanya.
Selain itu, guru Kafa Sekolah Agama Rakyat Taman Andalas, Nur Aida Mat Jusof, 36, berkata, dia mengharapkan kebajikan guru Kafa selepas ini akan lebih terjaga.
Menurutnya, apabila mempunyai jumlah kumpulan besar seperti ini segala urusan permohonan untuk kepentingan mereka akan lebih diberi perhatian oleh pihak berkenaan.
“Isu elaun guru Kafa sudah lama dan kami amat berharap kenaikan elaun kerana dalam keadaan sekarang, jumlah itu memang tidak mencukupi.
“Tetapi ketika itu mungkin suara kami tidak didengar disebabkan kami hanya bercakap sesama sendiri sahaja. Berikutan itu, diharap persatuan dapat menyelesaikan isu elaun pada masa akaan datang,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7628379.asp