BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

3/15/10

Banteras ‘sarang’ kaki mabuk


Sinar Harian 15 Mac 2010

KUALA PILAH – Rumah tinggal usang dan terbiar yang kini menjadi tempat lepak pelajar ponteng sekolah menggusarkan penghuni berdekatan apabila sering kali berlaku kes kecurian.

Kuarters terletak di Tebat Kering itu turut menjadi tumpuan ‘kaki mabuk’ dan ‘kaki lepak’ hingga dijadikan rumah tumpangan walaupun keadaan rumah kotor dan dipenuhi lalang.

Seorang penduduk, Razali Sharif, 50, berkata, kuarters ini sudah lama tidak berpenghuni menyebabkan segelintir pihak mengambil kesempatan menjadikannya tempat melepak dan minum arak.

“Rumah itu terletak di bahagian belakang dan sudah dipenuhi lalang, tetapi mereka tidak mempedulikannya asalkan ada tempat dituju. Lagipun tempat ini sunyi dan tidak ramai penghuni. Jika melakukan perbuatan tidak bermoral, masyarakat tidak dapat menghidu.

“Gotong-royong pernah dilakukan di sini, tetapi masih tiada perubahan. Jika pihak berkaitan bekerjasama dan bersungguh-sungguh seperti mengambil tindakan merobohkan rumah terbiar itu, saya percaya kawasan ini terpelihara dan bersih sekali gus mengurangkan masalah ponteng sekolah,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, walaupun kawasan ini sunyi dan tidak berlampu ketika malam, tetapi tiada kes kecurian dilaporkan kerana polis sentiasa melakukan rondaan setiap hari.

Sementara itu, penduduk dikenali sebagai Zura memberitahu pernah terserempak beberapa orang dalam keadaan mabuk di rumah kosong tersebut, tetapi mereka tidak mengganggu orang lain.

“Saya tinggal di rumah ini sudah 7 tahun tetapi alhamdulillah tiada sebarang perkara buruk berlaku. Dahulu, tempat ini memang meriah, ada jiran-jiran tetapi semakin berkurangan hingga tinggal saya sekeluarga sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, rondaan polis menyebabkan tempat ini bebas daripada kes kecurian.

“Memang tidak dinafikan tempat ini sunyi dan agak terpencil berbanding rumah berhampiran padang. Namun buat masa ini, tiada sebarang perkara mencurigakan,” katanya.

Sementara itu, Normah Sulaiman, 51, berkata, rumah kosong memang menjadi tumpuan pelajar ponteng sekolah.

“Ini berlaku di belakang rumah saya. Rumah itu sudah lama terbiar dan pastinya tidak berpenghuni. Oleh kerana ia terletak di kawasan agak tersorok, ia menjadi sarang pelajar berdekatan ponteng sekolah.

“Mereka bukan sahaja ponteng tetapi menghisap rokok kerana terdapat banyak puntung rokok bersepah di atas lantai rumah itu,” katanya.

Menurutnya, beberapa pelajar sekolah pernah bersembunyi di kawasan rumahnya kerana takut apabila dicari guru, namun disebabkan bimbang dikatakan bersubahat, Normah menghalau pelajar berkenaan ke tempat lain.

“Mereka bukan datang seorang tetapi secara berkumpulan. Mereka tanpa segan silu menghisap rokok walaupun masih memakai uniform sekolah.

“Saya tinggal seorang diri, bimbang pelajar itu melakukan perkara di luar jangkaan. Pernah juga mereka hendak tumpang bilik air, tetapi saya tidak izinkan,” katanya.

Normah juga memberitahu, hampir setiap hari ada pelajar ponteng dan bersembunyi di rumah usang tersebut.

“Saya tidak menuduh sesiapa, tetapi pakaian seperti seluar jean anak pernah hilang beberapa kali, jika alpa memang mudah lesap. Hendak sidai baju juga perlu berhati-hati.

“Kawasan ini memang sunyi, kerana itu ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan kerja-kerja tidak bermoral seperti mencuri,” katanya.

Menurutnya, rumahnya dimasuki pencuri tahun lalu dengan mengumpil pintu belakang rumah.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah dan terperanjat apabila melihat orang asing berada di dalam.

“Seminggu selepas kejadian, pencuri berjaya ditangkap hasil kerjasama polis setelah saya membuat laporan sejurus kejadian. Mujur tiada barang berharga hilang,” katanya.

Zakaria Rahadi, 49, memberitahu, tiada gotong-royong dilakukan untuk membersihkan kawasan tersebut.

“Tiada penyelenggaraan sempurna walaupun saya sudah menetap di sini lebih daripada 10 tahun. Setiap bulan duit dipotong sebanyak RM180, tetapi tiada sistem penyelenggaraan.

“Kami mengambil inisiatif membersihkan kawasan rumah sendiri memandangkan ia tanggungjawab bersama. Diharapkan pihak berkaitan dapat membersihkan kawasan terbiar supaya tidak menjadi sarang melepak pelajar sekolah sekali gus merosakkan anak bangsa,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6952393.asp