FORUM

FORUM

KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/19/10

Coca Cola cabul hak asasi, jejas sumber air


KENYATAAN PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG (CAP)

Coca-Cola: Pelaburan tidak baik untuk komuniti, kesihatan awam
CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat bimbang apabila mendapati Syarikat Coca-Cola akan mendirikan kilang pembotolan minumannya di Negeri Sembilan, Malaysia. Ketika majlis pecah tanah yang diadakan pada 16 Mac 2010 di Bandar Enstek, Nilai, wakil syarikat menyatakan bahawa Coca-Cola akan menguasai pasaran minuman tempatan yang akan mensasarkan lebih daripada 60% penduduk iaitu mereka yang berusia di bawah 30 tahun.

Minuman Coca-Cola itu sendiri sebenarnya tidak elok, ia tidak lebih daripada karbonat, pewarna, asid, perisa, air yang dimaniskan yang berbahaya kepada kesihatan. Syarikat Coca-Cola juga tidak dapat lari daripada kontroversi kerana didakwa mencabuli hak asasi manusia dan alam sekitar di beberapa buah negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa minuman ringan yang dipenuhi dengan gula seperti Coca-Cola mempunyai kesan negatif ke atas kesihatan. Malaysia merupakan negara ke-8 pengguna gula tertinggi di dunia dengan purata 26 sudu teh gula sehari diambil oleh setiap rakyat Malaysia.

Ujian oleh CAP mendapati minuman ringan di dalam tin mempunyai kandungan gula antara 4 – 8 sudu teh dan Coca-Cola mengandungi 7 sudu teh gula. Apabila Syarikat Coca-Cola merancang untuk mensasarkan belia Malaysia, kami bimbang akan implikasi kesihatan yang akan dibawa olehnya.

Gula bukanlah sebahagian daripada diet semula jadi kita, jadi walaupun satu tin minuman ringan diambil sehari, ia adalah tidak sihat dan tidak perlu sama sekali. Malah pada hakikatnya terdapat lebih daripada 60 penyakit yang telah dikaitkan dengan pengambilan gula dalam dokumen perubatan. Kerajaan Malaysia melalui kementeriannya menjalankan kempen untuk mengurangkan pengambilan gula. Adalah menjadi satu ironi untuk membenarkan pembinaan kilang Coca-Cola di Malaysia memandangkan ia jelas merendahkan usaha untuk mengurangkan pengambilan gula.

Kami amat bimbang bahawa lebih ramai orang yang akan dijangkiti dengan penyakit yang dikaitkan dengan gula dan obesiti dengan menjemput Syarikat Coca-Cola untuk membina kilang pembotolan di negara ini dan berdasarkan strategi pemasarannya. Adakah kerajaan melakukan penyelidikan yang sempurna sebelum meluluskan pelaburan ini, yang jelas diluluskan secara cepat sepertimana yang dilaporkan bahawa syarikat itu hanya mengambil masa empat bulan selepas perbincangan awal untuk menubuhkan kilang itu di sini.

Bagaimana dengan permintaan untuk air bagi kilang ini? Berapa banyakkah air yang akan digunakan oleh kilang ini dan dari mana sumber air ini akan diambil? Baru-baru ini terdapat laporan berhubung catuan air di Seremban akibat kemarau panjang dan kekurangan hujan di kawasan tadahan air. Kekurangan air ini akan kerap berlaku akibat kesan daripada perubahan iklim.

Selepas kilang Coca-Cola ini mula beroperasi, kami bimbang air yang amat diperlukan oleh orang ramai ini akan dialihkan kepada pihak industri. Perkara ini perlu diambil serius memandangkan Syarikat Coca-Cola mempunyai reputasi yang buruk dalam bentuk konflik dengan komuniti dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan air. Jawapan kepada kekurangan air bukanlah dengan membina lebih banyak empangan kerana empangan boleh menyebabkan kesan negatif kepada alam sekitar.

Perjuangan untuk mempertahankan alam sekitar terhadap Coca-Cola di India seharusnya menjadi amaran kepada kita. Amalan Syarikat Coca-Cola di beberapa negeri di India telah mengakibatkan kesukaran kepada komuniti, ia termasuklah kekurangan air yang serius, pencemaran, masalah kesihatan, kelaparan dan kehilangan pendapatan daripada pertanian.

Rekod buruk Coca-Cola tidak terhad kepada India sahaja, ia juga berdepan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia, pencabulan terhadap buruh dan pencabulan terhadap buruh kontrak di Colombia, Turki, Pakistan, China, Afrika Selatan, dan Guatemala.

Kami berpendapat pembinaan kilang Syarikat Coca-Cola ini akan menjejaskan komuniti, kesihatan awam dan alam sekitar. Sehubungan itu, CAP menuntut agar kerajaan Malaysia membatalkan rancangan untuk membina kilang Coca-Cola di negara ini.

SM Mohamed Idris,
Presiden CAP

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=25579:coca-cola-pelaburan-tidak-baik-untuk-komuniti-kesihatan-awam-&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131