BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

3/4/10

“Kami sudah hilang kepercayaan”


Sinar Harian 4 Mac 2010

GEMENCHEH – Peserta Projek Tanam Semula Berkelompok (TSB) Kampung Tenai/Air Gelugor meluahkan rasa tidak puas hati dengan bayaran dividen diterima hasil pengeluaran buah kelapa sawit yang dikatakan tidak munasabah.

Mereka menyifatkan pembayaran dividen itu tidak setimpal sehingga terpaksa menanggung hutang bayaran ganti rugi mencecah puluhan ribu ringgit.

Peserta, Hassan Mohd Dom, 60, berkata, pembayaran dividen sebanyak RM100 sebulan tidak memadai dengan segala usaha dilakukan, sebaliknya menyedari menanggung hutang ganti rugi RM10,648 bagi satu lot tanah selepas mencuba keluar daripada Projek TSB terbabit.

“Saya berasa amat kecewa dengan pentadbiran jawatankuasa pengelola Projek TSB kerana melakukan sebegini rupa. Kesemua peserta kebanyakannya adalah ibu tunggal serta warga emas.

“Pendapatan peserta semakin susut dengan anggaran purata RM80 hingga RM100 sebulan mengikut keluasan tanah. Bayaran dividen ini sebenarnya tidak munasabah kerana hasil yang dikeluarkan kebun adalah 100 peratus,” katanya.

Hassan berkata, bayaran dividen itu menjadikan peserta atau pemilik tanah berada dalam lingkungan tahap miskin tegar.

“Bagaimanapun, peserta yang kecewa tidak boleh keluar daripada Projek TSB sebelum menjelaskan hutang bayaran ganti rugi terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Bayaran ganti rugi bertambah

Hassan berkata, peserta juga bingung kerana mendapati hutang bayaran ganti rugi projek yang dikenakan semakin bertambah tanpa mengetahui sebabnya.

Malah, katanya, jumlah ganti rugi mencecah puluhan ribu ringgit dan membebankan peserta.

Menurutnya, perkara itu pernah dibangkitkan dalam mesyuarat bersama jawatankuasa pengelola Projek TSB kampung bagi mendapatkan penjelasan, namun segala pertanyaan tidak dilayan.

“Rasa tidak puas hati juga timbul apabila pelantikan jawatankuasa pengelola Projek TSB kini dibuat secara dwi-tahunan berbanding terdahulu pada setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, peserta ada memohon supaya jawatankuasa pengelola Projek TSB dipilih setiap tahun, namun, mereka hanya diberitahu proses pemilihan dibuat mengikut dwi tahunan.

Dividen tak relevan

Mokhtar Hamid, 56, berkata, pembayaran dividen yang diberikan kepada peserta setiap empat bulan sekali dengan anggaran purata RM100 sebulan adalah tidak relevan.

“Saya rasa tidak munasabah dengan pembayaran wang dividen yang diberikan mengikut lot tanah masing-masing kerana hasil buah kelapa sawit amat memuaskan. Sepatutnya peserta hanya menanggung hutang berjumlah kecil sekarang.

“Tambahan pula, saya yang juga salah seorang peserta TSB kampung ada mencuba mengusahakan sendiri projek di atas tanah milik ipar dan mampu meraih pendapatan sebanyak RM1,000 bagi tempoh 20 hari tanpa menanggung hutang,” katanya.

Mokhtar berkata, peserta merasakan sudah hilang tempat mengadu dan tidak dapat berbuat apa-apa melainkan akur untuk menjelaskan hutang bayaran ganti rugi dikenakan sekiranya mahu keluar daripada Projek TSB kampung ini.

“Kami ada menyuarakan permasalahan kami kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Risda negeri dan daerah ini namun tidak pasti langkah diambil pihak berkaitan untuk menyelesaikan maslaah ini,” katanya.

JKKK sudah maklumkan Risda

Ahmad Ramlan, 63, mendakwa, terdapat sub kontraktor dilantik bagi memetik hasil tanaman menjalankan kerja di luar waktu ditetapkan dan aduan pernah dibuat kepada Risda daerah, namun tindakan tidak dapat diambil berikutan tiada bukti sahih.

Pengerusi Jawatankuasa Kese-lamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tenai Air Gelugor, Baharudin Rashid ketika dihubungi mengesahkan ada menerima keluhan peserta projek TSB terbabit sekali gus menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera.

“Pihak JKKK sudah memak-lumkan kepada wakil rakyat kawasan, pentadbiran Risda peringkat daerah dan negeri bagi mengambil tindakan segera dengan memulangkan semula tanah peserta di samping melupuskan hutang bayaran ganti rugi.

“Hal ini perlu diperhalusi dan disegerakan proses penyelesaian-nya demi kesejahteraan peserta kerana saya sendiri sudah tidak tahan melihat kesusahan yang dialami mereka dengan pemberian dividen hasil tidak seberapa,” katanya.

Sementara itu Sinar Harian cuba menghubungi pihak Risda untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai permasalahan itu namun gagal.

Tiada berlaku penyelewengan

Pengerusi Jawatankuasa Projek TSB, Siti Rohani Ayob berkata, tiada penyelewengan berlaku di dalam projek itu seperti didakwa, sebaliknya peserta perlu mematuhi peraturan yang sudah dipersetujui dalam projek itu.

Menurutnya, dividen diterima peserta lebih kecil jumlahnya sebelum beliau mengambil alih jawatan itu pada 1 Januari 2009.

“Sebelum ini, semasa Pengerusi lama memegang jawatan, peserta hanya mampu meraih dividen RM50 hingga RM150 setahun.

“Bagaimanapun sejak saya mengambil alih, mereka mampu meraih RM400 dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau sendiri tidak faham mengapa ada pihak cuba menjatuhkannya sedangkan selaku Pengerusi, dia hanya menjaga dan membersihkan kawasan Projek TSB.

“Bagaimanapun apabila kawasan ladang sudah bersih dan cantik, timbul pula masalah dividen ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6892128.asp