KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/15/10

Kisah derita warga Felda di N.Sembilan

Derita 28 tahun air terputus
Kosmo 15 Mac 2010
MAHZAN menadah air sebagai persediaan menghadapi bekalan air yang sentiasa terputus di Felda Palong 8, Negeri Sembilan semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

JEMPOL - Ketika kebanyakan rakyat di negara ini menikmati kemudahan asas yang sempurna, lain pula ceritanya bagi 1,200 penduduk di Felda Palong 7 dan Palong 8 di sini yang terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan air terputus hampir setiap hari.

Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada tekanan air yang rendah sekali gus menyebabkan air gagal disalurkan secara berterusan kepada kira-kira 500 buah rumah di kawasan terlibat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

************************
Utusan Malaysia 15 Mac 2010
28 tahun hadapi masalah tekanan air rendah


Hasan Basri Sidek (kanan), menanti bekalan air sambil diperhatikan jirannya, Mah Zan Jidin di Felda Palong, Jempol, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

JEMPOL 14 Mac - Ketika beberapa daerah mengalami krisis bekalan air, masih ada lagi kawasan di negeri ini tidak dapat menikmati bekalan air dalam tempoh 24 jam sehari.

Itulah 'derita' yang dihadapi oleh lebih 1,200 penduduk di kawasan Felda Palong 7 dan 8 berikutan masalah tekanan air rendah sejak menduduki kawasan itu 28 tahun lalu.

Lebih menghairankan belum ada tanda-tanda masalah berkenaan akan diselesaikan sungguhpun permasalahan itu sudah dikemukakan oleh penduduk di kawasan tersebut.

Menurut Hasan Basri Sidek, 54, masalah itu menyebabkan ramai penduduk terpaksa menyediakan tong besar untuk menyimpan bekalan air lebih-lebih lagi apabila tiba musim kemarau.

"Masalah tekanan air rendah ini bukanlah sesuatu yang baru malah telah lama diperkatakan sejak kami menduduki kawasan ini sejak 1982.

"Malah sehingga kini belum ada apa-apa perubahan walaupun ada tangki kecil yang membekalkan air namun ia tidak mencukupi untuk menampung permintaan orang ramai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati orang ramai terpaksa menyediakan tong- tong besar bagi membolehkan mereka dapat menyimpan bekalan air untuk kegunaan harian.

Seorang lagi penduduk Mahzan Jidin, 61, memberitahu, masalah air akan bertambah kritikal terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah yang mana semua anak-anaknya akan pulang ke kampung.

"Apabila masalah ini berlaku, kami terpaksa menyimpan bekalan air dengan banyak. Bukan itu sahaja, keadaan boleh menjadi 'parah' ketika ada majlis perkahwinan.

"Bagi mengelakkan masalah ini berlaku, kami terpaksa menyediakan tong-tong besar bagi menampung keperluan sekeluarga lebih-lebih lagi musim perayaan,'' katanya.

Bagi Ridzuan Jaklan, 54, berkata, masalah tekanan air rendah mungkin disebabkan kerana keadaan paip yang sudah terlalu lama tidak berganti dan seringkali pecah.

"Antara kawasan yang paling kerap tidak menerima bekalan air adalah di kawasan-kawasan yang tinggi dan ini menyebabkan masalah air ini menjadi satu perkara biasa bagi penduduk di kawasan ini

"Oleh itu, saya meminta pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) bertindak kerana sudah terlalu lama kami menantikan bekalan air di kawasan ini untuk tempoh 24 jam,'' katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm