KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/17/10

Kurangkan permit balak elak banjir


Sinar Harian 17 Mac 2010

TEMIANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai mendesak Kerajaan Negeri mengurangkan pengeluaran lesen pembalakan di hutan Ulu Temiang, dekat sini.

Beliau berkata, tindakan itu perlu untuk memben-dung masalah banjir yang berlaku di kawasan wakil rakyat dari DAP itu yang didakwa beliau berpunca daripada kerja-kerja pembalakan berkenaan.

Menurutnya, kegiatan pembalakan di kawasan itu kini bergerak aktif dan dikhuatiri mengundang kesan buruk terhadap penduduk setempat sekiranya diteruskan lebih-lebih lagi kawasan pembalakan itu berdekatan tiga kawasan perumahan.

“Saya bukan menghalang Kerajaan Negeri me-ngeluarkan permit penebangan kayu balak, tetapi saya mahu Kerajaan Negeri mengurangkan pengeluaran lesen di kawasan itu.

“Ini kerana sejak April 2008, kawasan Temiang sering dilanda banjir lumpur dan ia berterusan sehingga ke hari ini,” katanya ketika melawat kawasan pembalakan, semalam.

Menurut Chin Tsai, setiap kali hujan lebat, penduduk di sekitar Ulu Temiang tidak senang duduk kerana bimbang berlaku banjir sehingga merosakkan perkakas dan peralatan di rumah mereka.

Beliau mendakwa, keadaan bertambah buruk apabila kegiatan pembalakan semakin aktif di situ.

“Kalau banyak pokok ditebang sudah pasti banjir dan hakisan tanah mudah berlaku. Jika masalah ini berterusan, sudah pasti ia akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat, sekali gus menyusah-kan mereka,” katanya.

Berikutan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangannya agar mengurangkan pemberian lesen pembalakan itu yang dipercayai punca kawasan berkenaan menghadapi banjir.

“Kalau boleh, saya menyeru Kerajaan Negeri meneliti semula pengeluaran lesen bagi memberi keutamaan kepada penduduk di sekitar Temiang menjalani kehidupan lebih selesa.

“Sehingga ke hari ini, masalah banjir belum lagi selesai bagi penduduk di sini. Setiap kali hujan lebat, rumah mereka pasti dipenuhi banjir lumpur. Hingga hari ini, kita belum nampak sebarang tindakan diambil Kerajaan Negeri,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6962360.asp