BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

3/31/10

Mandi di pejabat, rumah Seremban tiada air

'Air oh air' hampakan penduduk Sikamat Utama
Utusan Malaysia 31 Mac 2010

SEREMBAN 30 Mac - Penduduk Taman Sikamat Utama dekat sini melahirkan rasa tidak puas hati dan buntu ekoran mengalami gangguan bekalan air yang berlarutan sejak pertengahan bulan lalu.

Lebih membingungkan, penduduk yang pernah membuat aduan mengenai masalah tersebut mendakwa kini mereka menerima bekalan air hanya dalam tempoh dua jam sehari.

Malah menurut penduduk terbabit, sejak kebelakangan ini, masalah tersebut kini berlaku setiap hari sekali gus menjejaskan aktiviti harian penduduk yang mendiami 200 buah rumah di sekitar kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Ahmad Rizal Radzi, 39, berkata, masalah tersebut sudah lama dihadapi oleh penduduk taman berkenaan dan ia membebankan penduduk.

''Saya tidak tahu punca sebenarnya, tapi masalah tiada air ini sudah lama dan sering berlaku. Namun, ia bertambah buruk sejak kebelakangan ini.

''Saya tidak tahu di mana lagi hendak mengadu berhubung masalah ini kerana ia amat menyusahkan kami," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya lagi, keadaan bertambah buruk apabila bekalan air disalurkan kepada penduduk hanya pada waktu awal pagi.

''Saya sudah tidak tahan lagi kerana di siang hari setitik air pun tiada.

''Sebagai contoh, sepanjang beberapa minggu lalu kami hanya menerima air kira-kira pukul 2 hingga 3 pagi. Itupun selepas puas membuat aduan kepada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains)," jelasnya.

Menurutnya, dia terpaksa menghubungi Sains setiap hari lebih daripada lima kali untuk memastikan bekalan air disambungkan semula.

''Saya faham kita sedang mengalami keadaan cuaca yang panas sehingga menyebabkan paras air di Loji Rawatan Air (LRA) di beberapa daerah di negeri ini berkurangan. Tetapi itu di Jempol dan Gemas bukan di Seremban.

''Yang peliknya, sebuah kedai mencuci kereta yang berada berdekatan kawasan taman ini mempunyai air mencurah-curah.

''Mengapa penduduk di sini tidak mendapat bekalan air sebegitu," tegasnya.

Kata seorang lagi penduduk, Sahsiah Jusoh, 50, dia telah menghubungi pihak Sains berhubung masalah itu, namun bekalan air hanya disalurkan sementara waktu sahaja.

''Masalah ini menyebabkan saya sekeluarga terpaksa bersusah payah demi menjalankan aktiviti harian seperti mandi dan membasuh.

''Jangan katakan hendak membasuh pakaian, hendak memasak pun susah," katanya.

Tambah seorang penduduk, Abdullah Yahya, 32, masalah berkenaan secara tidak langsung menyukarkan penduduk untuk menjalankan aktiviti harian.

''Kami terpaksa makan di luar. Bahan mentah ada tetapi air tidak ada macam mana hendak memasak. Ia juga menyukarkan penduduk untuk menunaikan ibadat.

''Lebih membebankan, saya sendiri terpaksa mandi di tempat kerja ekoran masalah ini sejak bulan lalu'' ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_07.htm