KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/31/10

Mangsa paip pecah rayu pembelaan

Sinar Harian 31 Mac 2010

AMPANGAN – Kejadian paip pecah di Kampung Dusun Nyior dua bulan lalu didakwa menjejaskan kehidupan beberapa penduduk berikutan perabot dan perkakas rumah rosak teruk.

Walaupun kerugian dianggarkan tidak mencecah puluhan ribu ringgit, namun bagi mereka kurang berkemampuan, barangan rosak bagaikan sukar diganti baru.

Malah, Sinar Harian difahamkan terdapat sesetengah penduduk terpaksa berhutang membeli perabot baru biarpun kejadian tersebut sudah dua bulan berlalu.

Mereka mendakwa laporan polis sudah dibuat dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dusun Nyior bagi tujuan menuntut ganti rugi, namun penantian mereka masih belum berakhir kerana sehingga kini terus menunggu maklum balas pihak berkaitan.

Kerugian RM6,000

Seorang mangsa, Zainab Abdullah @ Parvady, 66, mendakwa, disebabkan kejadian tersebut, dia kerugian hampir RM6,000 apabila perabot, tilam dan beberapa perkakas rumah lain rosak ditenggelami air.

Menceritakan semula kejadian, Zainab berkata, ketika kejadian berlaku, dia dan suami nyenyak tidur diruang tamu dan tiba-tiba suaminya terjaga apabila menyedari tilamnya basah.

“Suami memberitahu saya tilamnya basah dan terus membuka lampu. Saya terkejut apabila melihat keadaan rumah dipenuhi air.

“Saya segera membuka pintu melihat apa yang berlaku dan keadaan bertambah teruk apabila air masuk ke dalam rumah bagaikan banjir besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kejadian paip pecah berlaku jam 1.30 pagi itu membuatkan suasana malam bertukar kecoh apabila mangsa cuba menyelamatkan harta benda masing-masing.

Malu jumpa JKKK

Suami Zainab, T Kader Mohaideen, 65, mendakwa, dia berasa malu apabila terpaksa berjumpa tiga kali dengan Pengerusi JKKK, Mohd Rofik Mohd Yusof bagi bertanyakan tuntutan tersebut.

Menurutnya, disebabkan tidak sanggup menunggu, dia mengambil keputusan membeli perabot baru dengan cara berhutang.

“Kami orang susah dan anak-anak semuanya bekerja biasa sahaja. Saya pun tidak mahu menyusahkan mereka.

“Sepatutnya pihak berkaitan perlu membayar ganti rugi kepada kami kerana masalah berlaku bukan disebabkan bencana alam, tetapi berpunca daripada sistem mereka,” katanya.

Yakin dapat pampasan

Muhammad Hussien, 74, berkata, mereka yakin boleh mendapatkan ganti rugi kerana masalah berlaku didakwa bukan berpunca daripada bencana alam.

Menurutnya, sebelum ini banjir kerap berlaku, tetapi mereka tidak menyalahkan sesiapa kerana mengetahui ia berlaku secara semula jadi.

“Saya dapat tahu pihak Sains (Syarikat Air Negeri Sembilan) datang dan berbincang berkaitan masalah ini, tetapi sampai sekarang tiada sebarang berita diperoleh.

“Saya memang kecewa apabila berlaku masalah ini kerana mereka meminta kami membuat laporan polis. Apabila laporan sudah dibuat, perkara ini diam begitu sahaja,” dakwanya.

Sudah buat aduan

Sementara itu, Mohd Rofik ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan penduduk berhubung masalah itu.

Menurutnya, pada kejadian tersebut, sebanyak lima rumah terlibat, namun hanya empat sahaja berpenghuni.

“Disebabkan itu saya minta semua mangsa membuat laporan polis dan serahkan laporan kepada saya bagi tindakan selanjutnya.

“Saya sudah menyerahkan laporan itu bersama surat JKKK kepada pihak Sains bagi tuntutan ganti rugi, tetapi sampai sekarang kita masih belum menerima sebarang jawapan” katanya.

Rofik berkata, pada 5 Mac lalu ketika mesyuarat JKKK bersama beberapa agensi kerajaan, pihaknya ada bertanyakan masalah tersebut kepada pegawai Sains yang hadir, namun beliau memberitahu hal itu perlu diajukan kepada pegawai lain.

Menurutnya, mangsa diminta tidak mengharap pampasan tersebut kerana dia sendiri kurang pasti sama ada Sains menyediakan peruntukan atau tidak.

“Cuma saya harap pihak Sains memberikan jawapan segera berkaitan pampasan ini supaya mangsa tidak tertunggu-tunggu.

“Saya bagi pihak JKKK sudah berusaha menyelesaikan masalah ini, tetapi penduduk perlu faham masalah ini turut melibatkan pihak lain,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7256053.asp