KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/31/10

Mohon lesen kebenaran elak kesulitan

Sinar Harian 31 Mac 2010

BAHAU – Tiada tindakan dikenakan pihak berkuasa terhadap lebih 380 pengusaha burung walid tidak berlesen di daerah ini didakwa menjadi kebimbangan kepada penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong berkata, tiada kepastian daripada sudut undang-undang boleh mendakwa atau mensabitkan kesalahan terhadap pengusaha burung walid.

Menurutnya, masyarakat amat mengalu-alukan inisiatif pihak berkuasa kerajaan bagi melaksanakan pemberian lesen kepada pengusaha tidak berdaftar.

“Kajian mendalam dan sepenuhnya perlu dilakukan bagi membendung masalah sampingan seperti gangguan kepada penduduk melalui suara burung tersebut.

“Justeru, pihak berkuasa tempatan perlu memberi penjelasan lanjut kepada orang ramai agar tidak timbul sebarang masalah atau kekacauan pada masa hadapan,” katanya.

Isu pemberian lesen kepada semua pengusaha burung walid merupakan pembaharuan cuba dilaksanakan pihak berkuasa tempatan bagi mewujudkan sistem berdaftar sempurna.

Kok Seong berkata, kerajaan menanggung kerugian sekiranya tiada undang-undang sebenar bagi mengatasi isu burung walid ini dan berharap pengusaha tidak mengganggu ketenteraman penduduk.

“Dewan Undangan Negeri juga sudah membahaskan perkara ini dan terdapat keterangan bertulis terhadap isu burung walid ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jempol, Yusuf Yunus berkata, setakat ini masih belum ada pengusaha memohon lesen kebenaran menjalankan perniagaan burung walid.

Menurutnya, pihak Majlis memperkenalkan pemberian lesen agar pengusaha burung walid dapat membuat semakan pendaftaran dan mengambil tindakan sewajarnya jika timbul masalah kelak.

“Pengusaha perlu mematuhi beberapa syarat seperti premis tidak dibenarkan dibina dalam kawasan kediaman, tidak di bantah mana-mana pihak dan sebagainya.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pengusaha datang ke pejabat daerah dan membuat permohonan lesen kebenaran mengusahakan perniagaan burung walid bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7255854.asp