FORUM

FORUM

KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/30/10

Penduduk bimbang rumah retak

Berita Harian 30 Mac 2010

Penghuni dakwa aduan banyak dibuat tetapi tiada pihak ambil tindakan

SEREMBAN: Lebih 1,000 penduduk Pangsapuri Dahlia di Seremban 2 di sini, kini hidup dalam kebimbangan kerana rumah yang mereka duduki sejak lima tahun lalu mula menunjukkan tanda keretakan dan rekahan kecil, terutama pada bahagian dinding. Penduduk mendakwa mula mengesan kesan retak pada rumah terbabit selepas setahun mendiaminya, namun masalah itu dapat diatasi selepas pemaju yang menerima aduan mereka menjalankan kerja pembaikan dan menutupnya. Bagaimanapun, masalah itu berulang kembali sejak dua tahun lalu, namun kali ini mereka mendakwa tiada mana-mana pihak mengambil tindakan walaupun banyak aduan dibuat oleh penduduk yang tidak mahu masalah itu mengundang tragedi jika tidak segera diatasi.

Pengerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kepayang, Adam Mohd Yaacob, 34, berkata masalah berkenaan mula dikesan ketika bangunan itu masih dalam jaminan pemaju dan pada masa itu mereka membaiki kerosakan dan menutup rekahan.

"Selepas tempoh jaminan tamat, masalah itu berulang kembali dan menjadi semakin serius. Jika dulu rekahan hanya berlaku pada tingkat bawah, kini ia sudah merebak ke tingkat empat.

"Pada mulanya kami beranggapan masalah itu berpunca daripada keadaan cuaca yang menyebabkan cat merekah, tetapi apabila retakan itu mula berlaku di dalam rumah, penduduk mula panik kerana takut ia akan mendatangkan bahaya," katanya ketika ditemui Berita Harian.
Katanya, penduduk memohon kerjasama pihak berkaitan termasuk pemaju dan pihak berkuasa tempatan untuk meneliti masalah itu selain membuat kajian mengenai tahap keselamatan bangunan berkenaan untuk diduduki.

Beliau mendakwa, banyak aduan sudah diajukan kepada pemaju dan beberapa agensi lain namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Jahlilawati Yusof, 47, pula berkata beliau bimbang dengan keadaan itu kerana semakin hari keadaan semakin teruk dan berharap ada pihak tampil memberi penjelasan mengenai punca berlakunya keretakan itu.

"Kebanyakan kami di sini tidak mengetahui punca ia berlaku dan tahap keselamatan bangunan. Kami mahu pihak bertanggungjawab memberi penjelasan sama ada ia membahayakan atau tidak.

"Semakin hari, kesan rekahan semakin banyak, walaupun ia kecil tetapi sudah menjalar ke seluruh bahagian rumah dan semua tingkat di pangsapuri ini," dakwanya.

Suhaimi Ismail, 37, pula mempertikaikan kerja pembaikan yang dilakukan pemaju empat tahun lalu.

"Pemaju hanya mengecat dinding yang merekah itu untuk menutup kesan rekahan, tetapi selepas beberapa tahun, rekahan itu kembali timbul dan membimbangkan penduduk di sini.

"Kami berharap ada agensi kerajaan yang bertanggungjawab dapat campur tangan membantu kami," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Pendudukbimbangrumahretak/Article