FORUM

FORUM

KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/1/10

Terminal 1, di Seremban Berisiko, sunyi

Berisiko, sunyi
Berita Harian 1 Mac 2010


GAMBAR atas dan bawah menunjukkan bangunan tempat letak kereta yang sunyi dan gelap di Terminal 1, di Seremban.

SEREMBAN: Pengunjung di Terminal 1 di sini terpaksa mengambil risiko meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta yang disediakan walaupun tiada ciri keselamatan kelihatan di bangunan usang itu.

Tinjauan Berita Harian mendapati, walaupun perlu membayar sebanyak RM2.10 sekali masuk, namun tidak ada pengawal yang berjaga di setiap tingkat bangunan 12 tingkat itu.

Ciri keselamatan utama yang perlu disediakan di mana-mana tempat letak kereta seperti litar kamera tertutup (CCTV) juga tiada menyebabkan sering berlaku kes kehilangan kenderaan di situ selain kecurian barang berharga yang ditinggalkan di dalam kereta.

Walaupun bangunan itu turut menyediakan dua tempat letak kereta terbuka di bahagian bumbung iaitu di tingkat 11 dan 12 namun pengunjung hanya meletakkan kenderaan mereka sehingga tingkat lapan kerana di tingkat lebih tinggi kawasan menjadi semakin sunyi.
Difahamkan pengguna lebih rela mencari tempat letak kereta dengan memusing banyak kali kawasan sama untuk mencari tempat kosong daripada meletakkan kenderaan mereka di tingkat lapan dan ke atas kerana bimbang keselamatan kereta mereka.

Keadaan kawasan persekitaran yang agak gelap walaupun pada waktu siang menambahkan lagi risiko bahaya kepada pengunjung, terutama wanita yang berjalan seorang diri untuk ke kereta mereka.

Malah ketika tinjauan dilakukan, sebuah kereta jenis Proton Persona yang diletakkan di tingkat lapan iaitu tingkat yang paling sedikit kenderaan, dipercayai cuba diumpil penjenayah menyebabkan alat penggera kenderaan itu tidak berhenti berbunyi.

Seorang pekerja kilang, Zaipul Azrul, 26, berkata dia mahu ciri keselamatan seperti CCTV diletakkan di setiap tingkat bangunan itu supaya kenderaan yang berada di situ lebih terjamin.


Katanya, semua pengunjung tiada pilihan memilih tempat itu walaupun ia tidak dilengkapi kemudahan yang sepatutnya selain perlu menanggung risiko jika berlaku apa jua situasi.

"Setiap kali letak kereta di sini saya akan pastikan tiada barang berharga ditinggalkan dan meletakkan kunci tambahan kerana bimbang dengan keselamatan kereta yang diletakkan," katanya ketika ditemui di sini.

Bagi pekerja swasta, M Eravintar, 19, dia jarang datang ke situ kerana tahu kawasan tempat letak keretanya kurang selamat selepas mendengar laporan pernah berlaku kejadian kenderaan hilang.

Malah katanya, jika berlaku apa-apa kejadian di situ, pengawal yang hanya berada di tingkat paling bawah tidak akan bertanggungjawab dengan perkara itu.

"Saya tidak tahu apa tugas pengawal sebenarnya. Mereka sapatutnya melakukan rondaan dengan lebih kerap memandangkan tiada CCTV yang disediakan tapi masih gagal berbuat demikian," katanya.

Bagi Siti Aishah Ibrahim, 33, berkata dia akan memastikan tidak datang ke tempat itu berseorangan kerana bimbang dengan keselamatan diri.

"Kawasan ini gelap dan sunyi menyebabkan saya sering berasa ketakutan jika mahu keluar atau masuk ke kereta. Setiap kali perlu ke sini, saya akan pastikan berteman," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Wilayah/20100301085602/Article/index_html