BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT - 26 APRIL 2014, SABTU

BONGEK BERSELAWAT

BONGEK BERSELAWAT

3/29/10

Tiga rumah retak

Pemilik dakwa kerja bina lebuhraya punca kerosakan

Berita Harian 29 Mac 2010

PAROI: Sekurang-kurangnya tiga buah rumah di Jalan 18 Taman Bukit Margosa di sini, mengalami keretakan yang dipercayai akibat kerja pembinaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) yang melalui taman perumahan itu. Kejadian itu dikatakan berlaku sebaik syarikat konsesi projek itu menyambung semula kerja pembinaan lebuh raya itu, Rabu lalu. Pembinaan Lekas dihentikan berikutan tindakan mahkamah oleh penduduk taman itu kerana beberapa masalah yang dihadapi akibat kerja yang dijalankan. Bagaimanapun, projek pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kajang dan Seremban kemudian dibenarkan diteruskan.

Seorang penduduk yang mengalami keretakan pada kediamannya, Saiful Nizam Shamsuddin, 37, berkata dinding rumahnya retak, manakala plaster siling ruang tetamu dan dapur pecah akibat gegaran yang dipercayai dari jentera di tapak projek terbabit.

Katanya, keretakan itu berlaku sebaik kerja dilakukan kira-kira 25 meter dari kediamannya, Rabu lalu.

"Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, saya dan ahli keluarga sedang menjamu selera di ruang makan dan tiba-tiba siling rumah di ruang tamu pecah dan jatuh.
"Kesan gegaran dari jentera berat amat dirasakan kerana rumah kami adalah antara yang terletak berhampiran tapak projek itu," katanya.

Saiful Nizam mendakwa beberapa jirannya turut mengalami keadaan yang sama apabila terdapat bahagian rumah yang retak akibat kerja pembinaan itu.

Beliau bimbang kerosakan rumahnya bertambah teruk jika kerja pembinaan lebuh raya diteruskan kerana gegaran kuat masih berterusan.

Kakitangan swasta itu berkata, dia membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Paroi sehari selepas kejadian itu serta mengadu kepada jawatankuasa bertindak taman itu untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya khuatir kerosakan akan bertambah teruk jika tiada langkah drastik diambil pihak terbabit, sekali gus boleh mengancam keselamatan ahli keluarga, terutama kanak-kanak," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Taman Bukit Margosa, Zakaria Sheikh Othman, berkata masalah yang dihadapi penduduk terbabit dimaklumkan kepada pengurusan syarikat yang mengendalikan projek berkenaan.

Beliau berharap syarikat terbabit dapat mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan dan keselamatan penduduk, terutama mereka yang terletak berhampiran tapak projek yang terdedah kepada gegaran.

"Kami berharap syarikat berkenaan prihatin dengan kepentingan dan keselamatan penduduk taman ini dengan mengambil langkah tertentu sebelum kejadian lebih teruk," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Tigarumahretak/Article