KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

3/26/10

Tunggu masa pokok hempap masjid

Sinar Harian 26 Mac 2010

Kuala Pilah, IBOL – Pokok pulai di tepi jalan raya bersebelahan Masjid Kariah Kampung Ibol, boleh mengundang bahaya jika tiada tindakan diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ibol merangkap Setiausaha Masjid Kariah Ibol, Kamarulzaman Othman, 54, berkata, pokok pulai berusia lebih 10 tahun itu merbahaya apabila condong ke masjid.

“Saya lihat kedudukan pokok pulai ini semakin hari semakin condong ke masjid dan kemungkinan besar akan menghempap hampir separuh ruang masjid berdasarkan kepada ketinggian pokok tersebut.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak berkaitan mengenai masalah ini supaya mengambil tindakan dengan memotong pokok itu,” k:atanya.

Menurutnya, bagaimanapun, pihak terbabit memberitahu tiada peruntukan.

“Jika soal peruntukan dipertikaikan bagaimana jika tiba masanya pokok itu tumbang hingga melibatkan kemusnahan masjid, sudah tentu peruntukan lebih besar diperlukan,” katanya.

Kamarulzaman berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan bila-bila masa sahaja akan tumbang tanpa disedari.

“Kita bukan minta ia terjadi tetapi sebelum perkara buruk menimpa, lebih elok dihindari supaya tidak menyesal di kemudian hari.

“Saya suarakan perkara ini bukan disebabkan kepentingan mana-mana pihak tetapi untuk keselamatan masyarakat dan tanggungjawab sebagai ketua kampung,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan pokok berada di tebing tanah manakala pangkalnya sudah reput disebabkan pembakaran sampah di situ.

“Ini mengundang bahaya apabila bebanan atas pokok lebih berat berbanding dipangkal pokok yang tidak dapat menampung.

“Jika tidak bertindak secepat mungkin, bukan sahaja kemusnahan masjid tetapi mungkin melibatkan nyawa seseorang,” katanya.

Menurutnya, masjid itu, sememangnya menjadi tumpuan kepada musafir yang melalui jalan utama berdasarkan kedudukannya terletak di tepi jalan raya.

“Ramai pengunjung dari arah Pantai Timur akan singgah ke masjid untuk menunaikan solat.

“Bukan tujuan menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi saya berharap pihak berkaitan dapat mengambil serius perkara ini dan memikirkan keselamatan pengguna jalan raya serta jemaah masjid,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7230700.asp