Sinar Harian 9 April 2010
PANTAI – Masih banyak jalan kampung perlu dinaiktaraf bagi keselesaan penduduk, namun perkara itu tidak berlaku pada penduduk kampung ini. Sebaliknya, jalan ke tanah perkuburan pula diberi keutamaan dan amat dikesali Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu 8 Pantai, di sini.
Keadaan itu semestinya menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk kerana sebelum ini tidak pernah timbul sebarang masalah untuk ke tanah perkuburan berkenaan.
Pengerusi JKKK Batu 8 Pantai, Mustafa Pendek, 60, berkata, pihaknya bukan sahaja kecewa dengan keadaan itu namun terkejut kerana tidak dimaklumkan berhubung projek pembinaan jalan berkenaan.
Menurutnya, beliau hanya menyedari perkara itu sejak tiga minggu lalu apabila melihat kewujudan batu pasir diratakan di kawasan Tanah Perkuburan Mahang merupakan tanah perkuburan awam membolehkan sesiapa sahaja dikebumikan di situ.
“Di kawasan Pantai ini, kita mempunyai 15 tanah perkuburan, tetapi Tanah Perkuburan Mahang sahaja merupakan kubur awam sementara 14 lagi hanya boleh mengebumikan individu tertentu mengikut persukuan adat perpatih di kawasan Pantai.
“Bila jalan ini dibina, kawasan kubur akan menjadi semakin kecil. Lagipun, sebelum ini tiada sebarang masalah menggunakan jalan sedia ada bagi proses pengebumian,” katanya.
Mustafa berkata, beliau kesal apabila projek tidak memberikan kepentingan orang ramai diutamakan sedangkan masih banyak di kawasan lain memerlukan kemudahan jalan lebih baik.
Menurutnya, tidak timbul langsung masalah jalan tanah perkuburan itu berlopak atau berpaya hingga menyukarkan urusan pengebumian.
Selain itu menurutnya, selaku pemimpin di kawasan itu, beliau sepatutnya dimaklumkan sebarang projek dilakukan agar tidak timbul persoalan pada masa akan datang.
“Lagipun memang saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pejabat Daerah meminta semua pihak buat begitu,” katanya.
Bagi Pengerusi JKKK Pantai Batu 7, Wa Othman Nain, 59, berkata, perkara yang dirancang tidak dilaksanakan tetapi yang tidak dirancang pula dilakukan dan lebih dikesalkan apabila berlaku tanpa pengetahuan JKKK.
“Kami di sini sudah mengemukakan perancangan pembangunan 2010 bagi kesejahteraan penduduk di kawasan Pantai, tetapi disebabkan kurang peruntukan ia tidak dapat dilaksanakan.
“Tiada pula pada perancangan kami mahu membina jalan ke tanah perkuburan dan ini memang tidak logik,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng, Mustafa Salim ketika dihubungi berkata, pihak-nya sudah dimaklumkan pihak JKKK berhubung masalah tersebut.
“Saya sendiri tidak tahu tentang projek pembinaan jalan di tanah perkuburan berkenaan sedangkan selaku wakil rakyat saya akan diberitahu terlebih dahulu sebelum ia dilakukan.
“Lagipun masih banyak lagi kemudahan jalan diperlukan penduduk di kawasan Pantai. Jadi, mengapa pula jalan di tanah perkuburan diberi keutamaan. Perkara ini memang tidak masuk akal,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7541840.asp