
Sinar Harian 31 Jan 2011
Masalah berpanjangan sejak Taman Sri Telawi mula didiami pada 1999, penduduk bosan
SEREMBAN - Penduduk Taman Sri Telawi di Paroi dekat sini, bosan dan tertekan kerana terpaksa berdepan masalah paip air yang sering pecah di kawasan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Telawi, Mohd Saleh Ibrahim, 44, mendakwa, masalah itu berpanjangan sejak taman perumahan itu mula didiami pada 1999.
“Setiap bulan, terdapat hampir 10 kes paip pecah di sini. Baru-baru ini, dua kes paip pecah dekat rumah saya sendiri pada 20 dan 26 Januari lalu.
“Hampir 12 tahun begini keadaannya. Kami sudah tidak boleh bersabar lagi,” katanya, semalam.
Menurutnya, penduduk telah membuat banyak aduan kepada pihak berkenaan tetapi masih belum pasti tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah itu.
“Kami juga pernah mencadangkan agar diadakan dialog antara penduduk dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Setakat ini, kami berpuas hati dengan tindakan pantas Sains menyelesaikan aduan paip pecah di Taman Sri Telawi. Namun, penduduk mahu mendengar sendiri langkah penyelesaian jangka panjang,” katanya.
Mohd Saleh berkata, kerja membaiki paip turut mengakibatkan air dan lumpur memasuki kawasan halaman rumahnya.
“Saya sudah tidak larat membersihkan lumpur di depan rumah. Setiap kali selepas paip dibaiki, saya terpaksa menghabiskan masa selama dua jam untuk kerja pembersihan.
“Kerja mengorek tanah turut menyebabkan kerosakan jalan di sekitar taman perumahan ini, sedangkan ia baru sahaja diturap semula November lalu,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Saleh berharap, Sains menempatkan petugasnya untuk memantau kualiti kerja pembaikan dijalankan kontraktor.
Sementara itu, Sains telah mengenal pasti kelemahan sistem retikulasi adalah punca utama masalah paip pecah di Taman Sri Telawi.
Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Azlan Abdul Aziz berkata, paip `polyethylene’ berkepadatan tinggi (HDPE) dipasang pemaju taman perumahan terbabit tidak sesuai dan mudah pecah.
“Injap mengurangkan tekanan sudah dipasang di kawasan berkenaan namun masalah paip pecah masih lagi berlaku.
“Seluruh sistem perpaipan di Taman Sri Telawi perlu diganti sebagai langkah penyelesaian sepenuhnya,” katanya.
Sehubungan itu menurutnya, Sains telah mengemukakan permohonan peruntukan menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, setiap aduan penduduk taman perumahan berkenaan ditangani secepat mungkin dan Sains akan membaiki paip pecah dalam masa enam jam,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8697861.asp

















