KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

1/12/12

Koyak poster, dakwa semarak Rapat Rakyat N9



Koyak poster, dakwa semarak Rapat Rakyat N9
Harakahdaily

SEREMBAN, 11 Jan 2012 : Pakatan Rakyat Negeri Sembilan berazam untuk menjadikan kawasan Gemas yang menjadi tapak projek Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC) sebagai tapak pelancaran kebangkitan rakyat negeri ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Taufek Abdul Ghani berkata, atas dasar itulah, Pakatan akan melancarkan Rapat Rakyat N9 Ahad ini di Dataran Rakyat Gemas.

"Walaupun tiga ahli PAS akan didakwa esok ekoran program ini, kita akan jadikannya pembakar semangat," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS bertanding di Parlimen Tampin, Dun Gemas dan Gemencheh manakala DAP bertanding di Dun Repah. Namun, Harakahdaily difahamkan, selepas ini akan ada perubahan pembahagian kerusi kawasan ini.

9 Januari lepas, tiga ahli PAS ditahan polis ketika mereka datang ke Balai Polis Tampin untuk membuat laporan ekoran satu kejadian pertengkaran mereka dengan beberapa orang yang tidak dikenali.

Sekitar jam 10 malam, lima petugas PAS dengan diketuai Zanil Subuh, Ketua Penerangan PAS Tampin menampal poster rapat ini di sekitar pekan Gemencheh.

Namun, apabila mereka pusing balik ke tempat poster itu ditampal, mereka mendapati poster-poster yang dipasang mereka telah dikoyak.

Setelah disiasat mereka menjumpai sekumpulan orang sedang mengoyak poster itu. Apabila ditanya, mereka menjawab, mendapat arahan untuk membuang poster itu.

Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara mereka kerana para petugas PAS ini beranggapan mereka dari parti lawan yang cuba merosakkan majlis mereka kerana mereka tidak memperkenalkan diri atau berpakaian seragam.

Selepas itu, satu laporan polis dibuat. Para petugas PAS ini pula ke balai polis Tampin jam 2 pagi hari yang sama untuk membuat laporan polis juga ekoran pertengkaran itu.

Namun, tiga orang termasuk Zanil telah ditahan polis atas dakwaan menghalang tugas pejawat awam iaitu petugas Majlis Daerah Tampin yang membuang poster itu.

"Kami telah menziarahi mereka di lokap dan kita juga telah memaklumkan hal ini kepada keluarga masing-masing. Kita juga telah siapkan peguam untuk mereka kerana kita dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes ini ketiga-tiga mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin esok," kata Taufek yang juga Adun Paroi itu.

Ahad ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan ucapannya yang pertama di Negeri Sembilan selepas dibebaskan dari pertuduhan liwat 9 Januari lepas. Beliau akan disertai oleh timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Perhimpunan di pekan Gemas Ahad ini adalah yang pertama selepas Konvensyen Pakatan Rakyat ke 3 yang akan diadakan di Alor Setar 14 Januari ini.

"Sehingga kini, 80 peratus persiapan sudah siap. Kita jangkakan lebih 20,000 rakyat negeri ini akan hadir majlis ini," kata Taufek kepada Harakahdaiily.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7513-koyak-poster-dakwa-semarak-rapat-rakyat-n9

No comments: