11:05AM Nov 4 2012
Walaupun hujan lebat bermula jam 2
petang dan padang becak, ia tidak menghalang kira-kira 30,000 orang
hadir dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di padang Taman Seremban
Jaya, Negeri Sembilan malam tadi.
Padang yang digenangi air dan
berlumpur, tidak mematahkan semangat mereka berpayung dan berbaju
hujan serta berdiri di tengah padang sewaktu hujan renyai bagi
mendengar penjelasan isu-isu semasa daripada pemimpin Pakatan Rakyat.
Himpunan anjuran gabungan tiga parti
dalam Pakatan Rakyat itu sebagai permulaan sebelum diteruskan di
beberapa buah negeri bagi menyokong tuntutan mengadakan pilihan raya
bersih dan adil.
"Kenapa kita memilih Negeri
Sembilan, kerana ia negeri paling awal kita akan berkuasa dalam
pilihan raya umum akan datang. Bila tiba mengundi, jam 7 malam
(keputusan diumumkan), Wisma Negeri kita telah tawan," kata
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Wisma Negeri merupakan pusat
pentadbiran kerajaan negeri itu yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamad
Hassan
Kata-kata pemimpin PAS yang mesra
dipanggil 'Abang Mat' itu - juga merupakan pengarah program -
diiringi tepukan dan sorakan hadirin yang hadir.
'Ayam sabung' PAS itu juga berkata
perhimpunan seumpama itu, bakal diteruskan di Stadium Muhammad ke-IV
di Kelantan pada 16 November ini sebelum diikuti di beberapa negeri
mengikut zon - Pahang, Kedah, Johor dan Perak.
Perhimpunan itu juga kemudiannya, akan
diteruskan oleh kepimpinan Pakatan di peringkat negeri yang
melibatkan antaranya Melaka, Pulau Pinang dan Perlis, tambahnya.
Mohamad Sabu berkata acara kemuncak
perhimpunan tersebut akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12
Januari tahun depan dengan sasaran sebanyak sejuta rakyat akan
berhimpun di situ.
"Perhimpunan seluruh rakyat di
Kuala Lumpur di antaranya menyokong tuntutan BERSIH, (dan) tuntutan
rakyat (yang akan disertai) tidak kira (penyokong) Hijau (Lynas),
Merah (royalti), Oren (Felda), Kuning (BERSIH) atau apa-apa warna
sekalipun," katanya.
Sebelum itu, ketua pimpinan Pakatan
Rakyat Negeri Sembilan menyampaikan ucapan yang pada umumnya
menyatakan kehadiran puluhan ribuan di situ sebagai indikasi bahawa
Pakatan Rakyat mampu menguasai Wisma Negeri pada pilihan raya umum
akan datang.
Mereka adalah Pesuruhjaya PAS Mohd
Taufek Abdul Ghani, Anthony Loke (Ketua DAP Negeri Sembilan) dan
Datuk Kamarul Baharin Abbas (ketua pimpinan PKR negeri).
Sementara itu, dalam ucapannya, Anthony
menegaskan DAP berjanji akan bertungkus-lumus untuk mengalah MCA,
Gerakan dan MIC di kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya
umum akan datang.
"Saya juga mahu tuan-tuan berjanji
di mana kerusi PAS atau PKR bertemu Umno, adalah menjadi kewajipan
kita untuk habiskan (kalahkan) Umno dan BN. Marilah sama-sama kita
jatuhkan BN," katanya yang diirngi tepukan dan sorakan gemuruh
hadirin.
Beliau sekali lagi menempelak Presiden
MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang didakwanya "biadap" dengan
menghina Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mengulangi
janjinya untuk membelanya.
"Jika agama Buddha dihina
(sekalipun), saya yakin pemimpin PAS juga akan mempertahankannya.
Kalau agama Hindu dan Kristian dihina, saya yakin PKR akan
mempertahankan. Kalau agama Islam dihina, DAP akan
mempertahankannya," katanya yang juga ahli parlimen Lobak.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya
memeterai dengan membaca satu persefahaman untuk mendokong dan
menjunjung Undang-undang Tubuh negeri serta Tonggak Nan9 iaitu janji
untuk membela rakyat termasuk Orang Asal jika diberi kepercayaan
mentadbir negeri itu.
Selepas itu, Sasterawan Negara dan
Pengerusi bersama BERSIH Datuk A Samad Said kemudiannya,
mendeklamasikan puisi bertajuk 'Pelamin Kuasa' yang mendapat tepukan
gemuruh para hadirin.