7 Dis 2012
Kira-kira 100
orang mengayuh basikal menyertai acara 'Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0' yang
dianjurkan oleh NGO Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) di Negeri Sembilan hari
ini.
Majlis itu
dilancarkan oleh Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim dan
enam wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat di Pasar Besar Seremban pada jam 9.30
pagi ini.
Antara ADUN
Pakatan yang hadir memberi sokongan ialah Chai Tong Chai (PKR-Chuah), Che Kee
Chin (DAP-Bukit Kepayang), Mohamed Taufek Abd Ghani (PAS-Paroi) dan M Ravy
(PKR-Port Dickson).
Acara itu
bertujuan menuntut tujuh perkara antaranya pilihan raya bersih dan adil, gesaan
supaya menghentikan pemusnahan alam sekitar, perumahan selesa untuk rakyat dan
tuntutan supaya kerajaan menghentikan penswastaan perkhidmatan awam.
Selain itu,
mereka juga menuntut supaya kerajaan melindungi hak dan kebajikan pekerja, hak
untuk berhimpun secara aman, hak bersuara dan juga memansuhkan undang-undang
yang didakwa zalim.
Peserta akan
melalui 23 kawasan luar bandar dan ladang di tujuh daerah di negeri itu sebelum
berakhir di Wisma Negeri untuk menyerahkan memorandum tuntutan kepada Menteri
Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri,
Anthony Loke.
Ketika dihubungi
Malaysiakini petang ini, Koordinator JERIT Negeri Sembilan P Nithiya berkata
sepuluh lokasi yang menjadi laluan dan tumpuan peserta pada hari ini.
"Kami tiba
di Lenggeng pada jam 10.30 pagi tadi. Kami disambut oleh PAS kawasan itu, dan
turut menyajikan makanan untuk kami. Kami mengedar risalah mengenai tuntutan
rakyat itu di semua tempat yang lalui," katanya.
Menurutnya lagi,
peserta turut disambut penduduk Ladang Kerbi kira-kira jam 12 tengahari. Mereka
turut meluangkan masa untuk mendengar keluhan dan tuntutan penduduk terbabit,
antaranya menuntut supaya rumah, tanah dan kuil mereka di ladang itu
dipelihara.
Mereka juga
menuntut pampasan daripada Sime Darby kerana mendakwa diberhentikan kerja
selepas tanaman getah ditukar kepada kelapa sawit.
"Sambutan
rakyat cukup bagus. Mereka bertanya tentang acara kami dan kami juga
menjelaskan tuntutan kami dan mengutip tandatangan untuk diserahkan bersama
memorandum itu nanti," katanya.
Nithiya berkata
pihaknya dijangka sampai di DUN Rantau dalam parlimen Rembau kira-kira jam 6
petang ini dan akan bermalam di pejabat PKR di situ sebelum meneruskan
berbasikal esok.
- Malaysiakini
Kempen ‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0’ mula di Seremban
7 Dis 2012
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Mohd Nasir Hashim
berkata tuntutan peserta kempen ini adalah tuntutan yang tidak boleh
dipertikaikan.
SEREMBAN: Kempen berbasikal ‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0′
selama 16 hari meliputi seluruh negara atas inisiatif Jaringan Rakyat Tertindas
(Jerit) bermula dari sini pagi tadi.
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Mohd Nasir
Hashim dalam ucapan ringkas sebelum peserta berbasikal dilepaskan berkata
tuntutan yang didokong oleh peserta kempen ini adalah tuntutan yang tidak boleh
dipertikaikan.
“Semua tuntutan tersebut adalah berkaitan masalah rakyat
maka semua pihak sepatutnya melibatkan diri dalam kempen ini terutama sekali
golongan muda,” kata Mohd Nasir.
Setiausaha PSM Seremban, S Tinagaran
berkata kempen ‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0’ ini yang bermula hari ini akan
berakhir pada Isnin 10 Disember ini.
“Jelajah dan kempen berbasikal ini akan meliputi semua
daerah di Negeri Sembilan termasuk Port Dickson, Rembau, Tampin, Jempol, Kuala
Pilah, Jelebu, Nilai dan Seremban.
“Pada hari Isnin ini kami akan menyerahkan memorandum kepada
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hasan pada pukul 10.00 pagi
di Wisma Negeri, Seremban.
“Sepanjang kempen
ini kami akan edarkan risalah berkaitan tuntutan-tuntutan Jerit. Terdapat tujuh
tuntutan bertaraf nasional dan tujuh tuntutan untuk Negeri Sembilan”, jelas
Tinagaran.
Ahli Dewan
Undangan Negeri Senawang, P Gunasekaran (DAP) berharap Menteri Besar dapat
menunjukkan semangat keterbukaan dan menerima memorandum tersebut pada hari
Isnin ini.
Setiausaha PAS
Negeri Sembilan, Mohamad Hassan Tamby pula menjanjikan sokongan penuh PAS
Negeri Sembilan kepada peserta dan penganjur kempen tersebut.
“PAS kawasan akan
menunggu peserta kempen di setiap ‘check point’ dan akan meraikan mereka dengan
menyediakan makanan dan minuman.
“Di setiap lokasi
PAS juga akan membawa peserta kempen berkunjung rumah ke rumah untuk mengedar
risalah tersebut,” kata Mohamad Hassan.
Turut terlibat
dan memberikan sokongan kepada Jerit dalam kempen ini ialah Solidariti Anak
Muda Malaysia (SAMM).
Tujuh tuntutan
Jerit untuk kempen ‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0’ peringkat nasional ialah
pilihan raya yang bersih dan adil, hentikan pemusnahan alam sekitar, perumahan
selesa untuk rakyat, hentikan penswastaan perkhidmatan asas,
lindungi hak dan
kebajikan pekerja, lindungi hak demokrasi rakyat dan mansuh undang-undang
zalim.
Sementara untuk
peringkat Negeri Sembilan; tujuh tuntutan Jerit untuk kempen ‘Rakyat Pengayuh
Perubahan 2.0’ adalah skim perumahan alternatif, perkhidmatan awam dan jalan
raya, keperluan asas, penternakan, pendidikan, keselamatan dan pembangunan.
- Free Malaysia
Today