Sinar Harian
5 Januari 2013
SEREMBAN - “Kehidupan saya dan
keluarga tidak lagi tenang kerana bimbang rumah kami akan musnah
disebabkan bencana tanah runtuh,” kata Yusof Ibrahim 60, yang
diselubungi resah berikutan keadaan rumahnya di Taman Bukti, Ampangan
di sini, didakwa berisiko.
Menurutnya, beberapa bahagian dinding
rumahnya yang dihuni lebih 30 tahun itu mula mengalami keretakan
serius sejak 10 tahun lalu disebabkan kejadian tanah menggelongsor di
belakang rumahnya yang dikesan dari masa ke semasa.
“Masalah ini telah lama berlaku, tapi
ia semakin serius sejak kebelakangan ini menyebabkan saya bersama
penduduk lain mula bimbang.
“Jika dulu setiap kali ada keretakan
berlaku, saya akan baiki. Tapi selepas beberapa tahun retak baru akan
timbul dan saya dah muak,” katanya.
Yusof berkata, masalah itu telah
diadukan beberapa kali kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil
tindakan namun ia memerlukan tindakan penyelesaian menyeluruh.
Katanya, disebabkan keadaan cuaca yang
tidak menentu kebelakangan ini, kejadian gelongsoran tanah di kawasan
itu semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera.
Yusof berkata, lama-kelamaan ia
menyebabkan struktur tanah menjadi tidak kuat sehingga berlakunya
hakisan dan tanah runtuh.
Menurutnya, dia berharap tindakan
segera dapat diambil sebelum kejadian buruk terjadi.
“Bayangkan pagar bahagian belakang
rumah jiran saya ‘tergantung’ sejak sebulan lalu disebabkan
kejadian itu.
“Saya pun tidak berani membuang semak
samun di belakang rumah kerana itulah yang menjadi penahan tanah,”
katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kudus Thamby Ibrahim ketika
melawat lokasi berkata, pihaknya mendapati masalah itu melibatkan
sembilan buah rumah penduduk di taman itu membabitkan nombor rumah
135 hingga 142.
“Sebenarnya masalah sama pernah
berlaku di rumah penduduk lain di kawasan ini, tapi ia telah pun
dibaik pulih.
“Tapi saya lihat ia memerlukan
tindakan menyeluruh kerana ia membabitkan kawasan lereng bukit yang
sama dan tidak mustahil ia mudah merebak ke bahagian lain,”
katanya.

No comments:
Post a Comment