FORUM

FORUM

KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

1/12/13

Kegagalan Felda dalam urusan tanam semula getah


11 Jan 2013

Peneroka mendapat maklumat Felda melantik kontraktor yang bukan berpengalaman tetapi yang ada kepentingan dengan Umno.

JEMPOL: Sekumpulan peneroka dari Felda Palong 12, Jempol, Negeri Sembilan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan Felda yang mereka dakwa gagal menguruskan proses tanam semula dengan sempurna.

S Moorthy, 57, berkata, setelah dua tahun proses menebang pokok getah lama dan proses tanam semula dijalankan, beliau mendapati Felda gagal menanam semula pokok getah secara keseluruhan.

“Pengurusan Felda memaklumkan 2, 000 anak benih getah sudah ditanam di ladang saya. Bagaimanapun setelah saya mengira semula didapati lebih kurang 750 anak benih getah sahaja ditanam.

“Ladang saya asalnya hanya mempunyai jalan pertanian merentasi ladang saya. Ketika kontraktor lantikan Felda menjalankan kerja-kerja penebangan pokok getah dua tahun lepas, mereka telah membuat enam jalan pertanian baru untuk membawa keluar kayu getah.

“Sepatutnya ketika kontraktor menjalankan kerja-kerja penanaman semula perlu merawat semula tanah pertanian yang dijadikan jalan pertanian sementara dan membuat teres.

“Tetapi kontraktor membiarkan jalan pertanian begitu sahaja dan tidak menanam pokok getah di situ. Saya kerugian dalam 200 pokok dalam kawasan seluas satu ekar yang membabitkan tujuh jalan pertanian tersebut,” kata Moorthy.

Ladang getah semak samun

Moorthy juga berang apabila dengan keadaan ladang getah beliau yang berada dalam keadaan semak samun dan tidak diracun.

“Sepatutnya setelah selesai kerja-kerja penebangan pokok getah dulu, tunggul-tunggul kayu perlu dibakar tetapi kontraktor membiarkan sahaja longgokan tunggul kayu tersebut. Longgokan tunggul kayu ini juga mengambil ruang dalam ladang saya yang merupakan satu lagi kerugian kerana anak benih getah tidak dapat ditanam di situ.

“Saya kecewa dengan pengurusan Felda (yang melantik kontraktor) kerana tidak menjalankan kerja-kerja penanaman semula dengan teratur dan sempurna,” katanya.

Tanam sendiri kalau nak cepat

Abdul Rahman Hasan, 65, pula mempunyai masalah yang lebih teruk apabila mendakwa setelah dua tahun berlalu, ladang getah beliau masih belum ditanam dengan anak benih getah.

“Lubang untuk menanam anak benih getah sudah dikorek, tetapi anak benih getahnya tidak ditanam langsung sehingga ke hari ini.

“Kontraktor yang menjalankan kerja penanaman semula tak ada (tiada pekerja kontrak tanam semula) dan melakukan kerja penanaman semula dengan begitu lambat sekali. Apabila saya mengadu pada pengurusan Felda, mereka minta saya tanam sendiri kalau nak cepat,” keluh Abdul Rahman.

Sementara itu Naib Ketua Cabang PKR Jempol, Rebin Birham berkata masalah ini berpunca daripada sikap pengurusan Felda yang tidak selia kontraktor-kontraktor yang menjalankan kerja penebangan pokok getah, pembersihan ladang dan proses tanam semula.

Beliau membawa media melawat ladang getah yang bermasalah ini.

PKR mahu saman Felda

“Kita mendapat maklumat Felda melantik kontraktor yang bukan berpengalaman tetapi yang ada kepentingan dengan Umno.

“Felda perlu bertanggungjawab kerana apabila proses tanam semula mengambil masa yang lama, peneroka yang tanggung kerugian.

“Peneroka Felda menyerahkan proses tanam semula kepada Felda tetapi hasilnya pada hari ini amat mendukacitakan. Ini satu isu besar kerana membabitkan kos hidup dan ekonomi peneroka Felda di sini.

“Kelewatan proses tanam semula akan membuatkan peneroka terpaksa menunggu lebih lama untuk melihat hasil getah iaitu dalam enam tahun selepas anak benih getah ditanam. Ini akan memberi kesan ekonomi kepada peneroka.

“Lagi lama peneroka menunggu hasil getah dari pokok getah yang matang, selagi itulah peneroka terpaksa bergantung kepada elaun sara hidup yang diberikan oleh Felda yang sebenarnya hutang peneroka kepada Felda.

“Kalau Felda masih tidak mengambil langkah segera untuk memperbetulkan segala masalah yang timbul ini, PKR tidak teragak-agak mengambil tindakan menyaman Felda demi hak peneroka terbabit,” kata Rebin.
Turut hadir Ketua Cabang PKR Jempol, Karip Mohd Salleh.


No comments: