11 Februari 2013
GEMAS – Rata-rata peniaga dan
pengunjung di deretan Gerai Arked Majlis Pekan Pasir Besar, di sini,
bimbang apabila bangunan berkenaan semakin usang dan mengundang
bahaya kepada orang awam.
Malah, ada peniaga tidak dapat
meneruskan perniagaan mereka di kedai yang disewa kerana bahagian
bumbung berkenaan bocor sehingga menyebabkan peralatan mereka rosak,
selain lokasi terlindung dari pandangan pengguna jalan raya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati
bahagian bumbung bocor bukan hanya di luar kedai, malah lebih buruk
lagi ia membabitkan bahagian dalam deretan kedai berkenaan.
Sembilan komputer rosak
Peniaga, Mohd Azhar Jafar, 52, sudah
lebih tiga bulan dia terpaksa beroperasi membaiki komputer dari rumah
sahaja memandangkan bahagian bumbung dalam kedai yang disewanya itu
bocor serta menyebabkan banyak barangan di kedainya dibasahi air.
Dia yang sudah berniaga di lokasi
berkenaan sejak enam tahun lalu kini terpaksa membuka
komponen-komponen komputer bagi mengeringkan bahagian yang terkena
air hujan.
“Bagaimanapun, sekiranya dihitung
sudah kira-kira sembilan unit PC termasuk komputer riba lama rosak
susulan masalah bumbung bocor ini sehingga saya terpaksa menanggung
kerugian mencecah ribuan ringgit.
“Sejak dua tahun yang lalu, saya
sudah dua kali mengetengahkan masalah ini kepada pihak
bertanggungjawab, namun sehingga ke hari ini tiada tindakan yang
diambil. Malah, saya juga disuruh untuk membaiki sendiri dan
kemudiannya membuat tuntutan kepada pihak berkenaan,” katanya
ketika ditemui di lokasi berkenaan, dekat sini, semalam.
Baiki tandas, pantau kebersihan
Peniaga, Siti Kalsom Anas, 38, yang
sudah berniaga di lokasi berkenaan sejak tujuh tahun lalu berkata,
dia bimbang melihat bahagian bumbung di hadapan kedai andaman
pengantinnya yang sudah lopong.
“Mujur masa ia jatuh, tiada orang
awam yang berada di bawahnya. Tetapi kita khuatir jika masalah ini
berlanjutan, setiap individu yang berada di bangunan ini berhadapan
dengan risiko bahagian bumbung jatuh.
“Oleh itu, saya harap berharap pihak
bertanggungjawab dapat memandang serius mengenai masalah kemudahan
yang sudah terlalu usang dan merbahaya. Malah, kita yang sudah lama
berniaga di sini memang berharap kemudahan seperti sinki, dan tandas
dapat diperbaiki serta dipantau kebersihannya,” katanya.
Terpaksa tambah lampu sendiri
Bagi peniaga warga emas, Musa Ahmad,
73, dia selesa berniaga di lokasi berkenaan sejak beberapa tahun yang
lalu sehingga lewat malam kerana ia merupakan sumber pendapatannya
bagi menyara kehidupan.
Bagaimanapun menurutnya, masalah lampu
menyebabkan dia terpaksa menambah kemudahan itu sendiri untuk
meneruskan operasi perniagaan sehingga malam.
“Dulu ada juga kedai yang membuka
perkhidmatan sehingga malam, namun susulan lokasi ini sudah jarang
dikunjungi, lebih banyak yang memilih untuk tidak beroperasi.
“Oleh itu, pak cik amat berharap
tindakan segera dari pihak berkenaan memandangkan masih ada beberapa
penaga lagi yang bertahan di sini untuk mencari rezeki buat keluarga
masing-masing,” katanya.
Peruntukan masih belum diluluskan
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP)
Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar ketika dihubungi berkata,
pihaknya memang sedia maklum mengenai masalah itu dan permohonan
untuk baik pulih gerai majlis sudah diketengahkan pada tahun lalu.
“Kita sudah mohon peruntukan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun hanya
permohonan baik pulih di Taman Sentosa sahaja mendapat kelulusan.
“Bagi gerai di Pekan Pasir Besar kita
akan membuat rayuan semula memandangkan ia membabitkan kos yang
begitu tinggi,” katanya.

No comments:
Post a Comment