Sinar Harian
12 Februari 2013
Masalah gangguan
bekalan elektrik yang kerap terputus sejak empat bulan lalu menyukarkan
kehidupan penduduk Kampung Kepis Hilir yang mahu perkara itu diatasi dengan
segera.
Penduduk, Rajumah Akhir, 62, berkata, dia bimbang gangguan
bekalan elektrik berlaku hampir setiap hari.
“Makcik sudahlah tinggal seorang diri. Kadang-kadang tengah
makan, lampu yang dipasang tiba-tiba terpadam. Terpaksalah gunakan lilin.
“Gangguan bekalan ini biasa berlaku pada waktu senja dan
malam di mana ketika itu penggunaan elektrik meningkat.
“Kalau ada lampu yang menyala pun, keadaannya berkelip-kelip
seperti tak cukup bekalan elektrik,” katanya.
Rajumah mendakwa, gangguan ini berpunca daripada kabel
elektrik di hadapan rumahnya yang pernah terputus berikutan dihempap pokok.
“Kejadian itu
sudah lama, makcik pun tak berapa ingat. Kemudian, pihak berkaitan telah datang
baiki kerosakan, namun gangguan bekalan elektrik tetap berlaku,” katanya.
Pengalaman sama
turut disuarakan penduduk, Amran Tahir, 43. Kata Amran, lima biji lampu
rumahnya telah terbakar berikutan sering berlaku gangguan bekalan elektrik.
“Gangguan bekalan
elektrik berlaku di bahagian dapur, tapi di tangga rumah saya ada lampu.
Kemungkinan perkara ini disebabkan bekalan elektrik tidak mencukupi dan kerana
itu lampu sering berkelip-kelip.
“Penduduk memang
sering mengadu hal ini. Bila
bertemu sahaja, pasti ada yang tanya, rumah ada bekalan elektrik tak?
“Sangat berharap,
pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.
Seorang penduduk
dikenali sebagai Man Bongai, 33, turut menyatakan perkara yang sama.
Katanya,
berikutan bekalan elektrik yang sering terganggu menyebabkan sebuah peti aisnya
terbakar.
“Perkara ini
berlaku sudah lama. Bila elektrik tiada seketika, kemudian secara tiba-tiba
bekalan elektrik yang dialirkan tinggi menyebabkan motor peti ais saya
terbakar.
“Aliran bekalan elektrik
tidak menentu. Kadang-kadang arus elektrik yang diterima tinggi, lampu pun
terang dan ada kalanya, malap dan berkelip-kelip. Saya rasa lebih dari 10 rumah mengalami masalah
yang sama seperti saya,” katanya.
Menurutnya,
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah memaklumkan perkara
ini kepada pihak berkaitan, namun tiada sebarang tindakan diambil.
“Kami bukan apa,
bimbang berlaku kebakaran yang melibatkan rumah. Kawasan ini terdapat warga
emas yang tinggal seorang diri. Jadi saya harap sangat pihak berkaitan dapat
memberi perhatian kepada masalah kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment