4 Feb 2012 - Adun Pilah, Adnan Abu Hassan didakwa memiliki
50 peratus saham syarikat Cekap Sejagat yang mempunyai 7.4 peratus kepentingan
Negeri Roadstone, milik PKNNS.
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan hari ini mencabar Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Pilah, Adnan Abu Hassan agar mengisytiharkan harta dan
kepentingan-kepentingan beliau.
Ketua Penerangan, Nor
Azman Mohamad dalam sidang akhbar
sebentar tadi mempertikaikan kedudukan Adnan sebagai salah seorang pemegang
saham dalam sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri.
“Sedia maklum Negeri Roadstone Sdn Bhd adalah syarikat milik
kerajaan Negeri Sembilan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan
(PKNNS) yang memiliki kepentingan 51 peratus dan selebihnya dimiliki oleh
syarikat swasta lain.
“Syarikat Cekap Sejagat Sdn Bhd pula memiliki 7.4 peratus
dalam Negeri Roadstone Sdn Bhd. Hasil carian kami di Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) mendapati Adnan memiliki 50 peratus saham di dalam syarikat
Cekap Sejagat.
“Sebuah syarikat ditubuhkan bertujuan memberikan
perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Jika ada keuntungan ia akan disalurkan
kembali kepada rakyat. Malangnya Adun Pilah ini telah mengambil kesempatan bagi
mencabuli hak rakyat dengan memiliki kepentingan dalam Negeri Roadstone melalui
syarikat Cekap Sejagat.
“Jika seorang Adun mendapat tender kerajaan pun sudah
menjadi satu amalan yang ditolak, apatah lagi dalam kes seperti ini iaitu
seolah-olah mengambil keuntungan yang sepatutnya dimiliki oleh kerajaan negeri. Kedudukan ini mewujudkan
situasi ‘konflik kepentingan’,” kata Norazman.
Nor Azman juga memaklumkan bahawa adalah sesuatu yang
janggal apabila PKNNS hanya diwakili oleh seorang ahli lembaga pengarah
daripada lima
ahli lembaga pengarah di dalam Negeri Roadstone.
“Ia satu kejanggalan seolah-olah PKNNS tiada kuasa terhadap
dasar dan pengurusan Negeri Roadstone sedangkan PKNNS mempunyai kepentingan
majoriti dalam Negeri Roadstone iaitu sebanyak 51 peratus. Mengapa ini berlaku?
“Saya juga mencabar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk
Seri Mohamad Hasan supaya mendedahkan siapa lagi Adun dan bekas Adun Umno yang
terlibat dalam Negeri Roadstone.
“Jika tiada tindakan sehingga Jumaat ini, kami akan
mengambil tindakan susulan dengan membuat satu laporan polis dan dikuti dengan
laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ia akan disusuli dengan pendedahan lain,” tegas Nor Azman.
1 comment:
relax dlu OSTART , jangan cepat melompart. penjelasan di sini Terima kasih...:-)
Post a Comment